ISU mandi wiladah selepas bersalin sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan wanita Islam, terutama ibu yang baru pertama kali menimang cahaya mata.
Ramai yang beranggapan mandi wiladah perlu dilakukan sejurus selepas bersalin, walaupun darah nifas masih keluar. Hakikatnya, hukum sebenar bergantung kepada keadaan sama ada terdapat darah nifas atau tidak.
Perkara ini menjadi bualan hangat di media sosial apabila rata-rata masih kurang jelas, malah ada yang menganggap ia hanya perkara kecil sedangkan ia melibatkan hukum fardu ain berkait rapat dengan ibadah wajib seperti solat dan puasa.
Ads
Apa Itu Mandi Wiladah?
Menurut pandangan fuqaha’ yang dirujuk melalui Mufti Wilayah Persekutuan, wiladah bermaksud mandi wajib bagi wanita yang melahirkan anak. Ia termasuklah bersalin secara normal, pembedahan caesarean, malah keguguran sekalipun. Semua keadaan ini dianggap hadas besar yang mewajibkan mandi.
Namun, kebiasaannya wanita akan mengalami nifas selepas melahirkan. Jika ada darah nifas, wanita hanya wajib mandi nifas selepas darah benar-benar kering. Dalam situasi ini, tidak perlu mandi wiladah berasingan.
Ads
Bila Perlu Mandi Wajib?
Ulama menjelaskan, mandi wajib hanya perlu dilakukan apabila darah nifas benar-benar berhenti. Tanda berhenti nifas ialah apabila kapas yang dimasukkan tidak lagi meninggalkan kesan darah, kekuningan atau kekeruhan. Jika masih ada kesan, wanita tersebut masih dianggap bernifas.
Bagi wanita yang bersalin tanpa keluar darah nifas, maka diwajibkan mandi wiladah kerana kedudukannya sama seperti mandi janabah.
Ads
Perlu Mandi Dua Kali Ke?
Soalan ini sering timbul dalam kalangan ibu-ibu. Menurut pandangan ulama seperti yang dihuraikan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam kitab al-Mu’tamad, hanya sekali mandi wajib sudah memadai. Caranya adalah berniat mengangkat hadas besar, sama ada kerana wiladah, nifas, haid atau janabah.
Kesimpulan Untuk Ibu-Ibu
✔ Jika bersalin dengan keluar darah nifas → hanya wajib mandi nifas selepas nifas kering. ✔ Jika bersalin tanpa nifas → wajib mandi wiladah selepas melahirkan. ✔ Tidak perlu mandi dua kali, cukup sekali sahaja dengan niat yang betul.
Ilmu tentang mandi wiladah ini sangat penting untuk ibu-ibu fahami kerana ia berkait langsung dengan kesahihan ibadah. Jangan terburu-buru mandi selepas bersalin, sebaliknya tunggulah keadaan yang tepat agar ibadah selepas itu sah di sisi syarak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Latihan pernafasan rupanya boleh mengurangkan sakit kontraksi jika dilakukan dengan betul. Malah proses meneran di dewan bersalin juga dapat dipermudahkan.
Tidak sabar rasanya nak memeluk si kecil dalam kandungan! Tapi rasa takut menghadapi proses bersalin itu tentu ada. Cuak pula rasanya! Apa kata cuba amalkan latihan bernafas ini. Ia boleh dilakukan bila-bila masa bila berkelapangan. Selain memudahkan kelahiran, ia juga dapat membantu anda menghadapi kesakitan semasa proses kelahiran.
Fikirkan perkataan relaks. Ingat ia mempunyai dua suku kata iaitu “re” dan “laks”.
Sewaktu menarik nafas, fikirkan “re”. Manakala semasa menghembus nafas pula, fikirkan “laks”. Berikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan ini. Sebut perkataan “re” dan “laks” berulang-ulang selari dengan corak pernafasan anda.
Dalam pada itu, semasa anda menghembus nafas, cuba lepaskan sebarang tekanan yang mungkin anda alami. Fokuskan kepada otot yang anda tahu ia selalu mengalami ketegangan apabila anda mengalami stres. Setiap kali menghembus nafas juga, anda perlu fikir dalam tempoh yang agak panjang iaitu “laaaks”. Fokuslah kepada hembusan nafas. Tarikan nafas lazimnya akan berlaku secara semula jadi.
Anda juga boleh cuba mengira setiap kali melakukan latihan bernafas. Semasa menarik nafas, kira sehingga tiga atau empat dengan perlahan (atau sebarang nombor yang anda mahu).
Sewaktu menghembus nafas keluar pula, kira sebanyak tiga atau empat kali lagi. Anda akan dapati bahawa adalah lebih selesa mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.
Cuba bernafas melalui hidung dan hembus melalui mulut anda. Hembuslah nafas melalui mulut dengan lembut. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut. Ramai ibu hamil mendapati bahawa membuat bunyi semasa menghembus nafas seperti “Oooh” atau “Aaah” amat membantu. Ketika dalam proses kelahiran kelak, sewaktu di antara sela kontraksi, minum sedikit air untuk mengelakkan mulut anda menjadi kering.
Tarik nafas pendek-pendek menerusi mulut dan lepaskan cepat-cepat melalui mulut juga. Ia seolah-olah anda sedang bernafas dalam keadaan tercungap-cungap. Namun, lakukannya dalam keadaan tenang. Dalam pada itu, jangan kosongkan paru-paru sebelum menyedut nafas seterusnya.
Tarik nafas dua kali melalui hidung dan lepas mengikut mulut. Seterusnya setelah tiada gesaan meneran, hembus nafas seperti biasa.
Tarik nafas dalam-dalam menerusi mulut dan lepaskan dengan sekali nafas secara perlahan-lahan melalui mulut juga.
Langkah ini dilakukan bagi mengelakkan bayi yang sudah pun berada di pintu serviks termasuk ke dalam semula.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kadang-kadang kita risau dengan pengambilan makanan ketika berpantang. Orang melayu memang kaya dengan adat berpantang. Tapi sebenarnya ada makanan yang boleh dimakan ketika berpantang yang dulunya dianggap berbisa dan tak bagus untuk ibu berpantang. Ikuti perkongsian doktor ini tentang makanan dalam pantang.
STATUS PASAL MAKAN MINUM DALAM PANTANG LEPAS BERSALIN
Macam biasa, tulisan saya memang panjang. Ambil masa baca dan hadam.
Tahniah untuk suami yang sudi meringankan tulang dan membantu isteri yang dalam pantang selepas bersalin. Bab pantang ni kalau di FB, nama saya antara doktor yang mesti kena seru oleh netizen.
Saya pernah menulis yang sebenarnya pantang ni benda yang bukan satu beban pun. Tapi ia jadi batu yang mesti galas dan bata yang mesti dipikul dek segala pantang larang ciptaan dan rekaan adat dan budaya yang langsung tidak berasas.
Bab makan dalam pantang lepas bersalin ialah topik yang suka sangat diperbesarkan oleh orang kita. Ni dah jadi macam hidup untuk makan, dan bukan makan untuk kelangsungan hidup.
Badan kita ni tetap sama. Tak kiralah sebelum mengandung, semasa hamil dan selepas bersalin. Tidak berubah. Kita bukan makhluk asing. Tak ada transformasi yang berlaku selepas 44 hari kita berpantang lepas bersalin. Tu fakta. Tak ada kena mengena dengan ‘antibodi orang lain-lain la’ bagai. Kalau tak tahu pun apa maksud antibodi, antigen, sel darah putih, radang dan bahan kimia yang dalam sistem pertahanan tubuh, tolong jangan guna ikut suka hati, sebab nanti kalian nampak dangkal walaupun kalian kononnya nak tunjuk bijak.
KKM dah keluarkan garis panduan pinggan sihat Malaysia seperti yang saya tunjukkan dalam gambar. Kecuali lah, ada arahan tertentu oleh doktor dan pegawai dietetik, kita sepatutnya amalkan cara makan ni SEPANJANG HAYAT. Untuk 1 hidangan: 1. Suku pinggan karbohidrat 2. Suku pinggan protein 3. Separuh pinggan sayur dan buah
Tu asasnya. Senang kan? KKM bagi saranan cara makan ni bukan saja petik dari langit ya. Ni adalah berdasarkan kajian saintifik.
Makanan yang dimasak dengan kaedah rebus, kukus, singgang, sup, dan bakar memang cara yang sihat . Menumis dengan minyak yang sikit tu lebih baik dari menggoreng. Yang tu semua orang tahu. Dan ia seharusnya menjadi pilihan kita SEPANJANG HAYAT. Bukan hanya dalam pantang selepas bersalin. Tak ada makna la 44 hari saja makan beria cara macam saya sebut, habis pantang terus pergi cari mekdogol dan kepci. Tu menipu diri sendiri namanya.
Makanan yang bersantan, dalam masak lemak dan kari tu kalorinya tinggi. Jadi, kenalah kurangkan makanan macam tu. Tu pun kena amalkan SEPANJANG HAYAT.
Masa dalam pantang, tak kiralah lepas bersalin ke, lepas pembedahan ke, atau lepas patah riuk tulang ke, selalu kan kena makan masakan yang tawar. Kurang manis dan kurang masin. Tu betul. Masalahnya, orang kita makan macam tu dalam pantang saja. Habis pantang? Melantak segala tak ingat dunia. Padahal makanan kurang garam dan gula tu kena amalkan SEPANJANG HAYAT.
Karbohidrat penting sebagai sumber tenaga penting. Tak boleh diketepikan dalam diet. Mesti ada. Tak kisahlah nasi ke, mee ke, bihun ke, roti ke, pasta ke, bijirin ke. Cuma kena jaga porsi.
Protein juga sangat penting dalam diet. Bila dalam pantang, ada fahaman menghalang atau menghad pengambilan protein atas alasan nanti luka menjadi gatal, atau bernanah bagai, itu adalah SANGAT SALAH.
Frasa ikan tu bisa la, tajam la tu datang dari mana? Memang la bisa kalau makan ikan buntal. Boleh mati ya. Tajam la kalau makan ikan tak buang tulang. Tercekik wei.
Protein menjadi asas untuk 1. Pertahanan tubuh 2. Pembentukan otot, tulang, kulit dan darah 3. Penghasilan enzim, vitamin dan hormon dalam badan
Kalau setakat makan ikan kering atau ikan bilis dalam pantang, mana ada protein pun. Yang ada hanyalah garam semata-mata. Macam mana nak sembuh cepat? TAK CUKUP ZAT TU!
Ikan, ayam, daging, telur dan makanan laut tu semua boleh diambil dalam pantang. Susu tu penting untuk keperluan kalsium, kena ambil 1000mg sehari.
Kalau sebelum ni tak ada alahan pada protein tertentu, jadi lepas bersalin pun sama lah. Ingat, saya kata, badan kita tak berubah pun. Tak kiralah bersalin secara normal atau Caesarean sekali pun. SAMA SAJA. Luka jadi bernanah sebab ada jangkitan kuman dan mesti dirawat oleh doktor. Bukan dengan pantang makan yang hujungnya mudarat.
TAK WUJUD SAYUR ATAU BUAH SEJUK ATAU ANGIN. Tolonglah jangan dok perturunkan ilmu sesat tu pada setiap generasi. Pelbagaikan sayur dan buah tu. Untuk satu hari, pastikan makan 2 jenis buah dan 3 jenis sayur. Lagi banyak jenis dan warna sayur dan buah, lagi bagus.
Sayur dan buah tak boleh tak ada dalam diet sebab: 1. Sumber serat yang tinggi – maka tak adalah sembelit yang boleh menyebabkan buasir. Serat bagi rasa kenyang, maka nafsu makan dapat dikawal. Serat tu kurangkan penyerapan kolesterol dalam darah. Serat juga bekalkan kandungan tenaga yang rendah sebab ia ada gula semulajadi. 2. Sumber vitamin dan mineral tertentu bergantung pada jenis. 3. Merendahkan risiko penyakit jantung, obesiti, kencing manis dan kanser. Yang penting, jaga kuantiti. Kalau makan rambutan pun dah 1kg, memang melampau la. Apa pun yang disumbat dalam mulut tu, tolong la JANGAN BERLEBIHAN.
Gunakan rempah ratus dan herba yang ada di sekeliling kita dengan kadar yang sederhana untuk tambah perisa dalam masakan. Halia, kunyit, lengkuas, serai, halba, lada hitam bagai tu ada kandungan phytonutrien yang berguna pada badan kita. Tapi tak perlu pun sampai kena minum air rebusan bagai.
Tolong! MINUM AIR. Lebih kurang 2-3 liter sehari. Tak kisahlah air tu ada ais ke, sejuk ke, panas ke, suam ke. Yang mesti, minum air! Tak payah minum air akar kayu siap bersukat dengan sudu. American Society of Sport Medicine cakap, kalau air tu ada sedikit berperisa, dan sejuk, ia lebih sedap dan maknanya kita akan minum lebih banyak.
Dan yang paling penting, waktu berpantang ni tak ada bezanya dengan waktu lain dalam hidup kita. Hentikan petua dan mitos mengarut ni. Kenapa lah nak kompleks kan lagi hidup kita sedangkan ni hanya bab makan saja.
KALAU DAH MAKAN SECARA SIHAT SELAMA HIDUP NI, tak payah la dok kalut bila waktu berpantang. Teruskan saja apa amalan tu. Makan secara sihat tu kan RUTIN SEPANJANG HAYAT.
Saya dah berleter panjang dan membebel berjela ni. Tolong tepek status bab makan minum dalam pantang lepas bersalin ni pada mana-mana kengkawan kalian yang masih keliru. Sampaikan salam saya, katakan, meh lah keluar dari gua gelap gelita tu. Ni saya dah tunjuk jalan yang betul dah ni.
Pengalaman melahirkan anak sudah cukup membuatkan ada ibu yang trauma dengan proses kelahiran ditambah proses bersalin yang memenatkan. Ini mungkin biasa.
Namun satu hal yang membuatkan perubahan besar berlaku pada wanita selepas melahirkan adalah emosi yang mengalami kecelaruan. Makin rasa sedih dan sensitif dalam semua hal. Jangan biarkan sebaliknya suami bantulah isteri. Ada sebabnya isteri menjadi semakin murung dan sensitif. Ini yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari.
5 perkara tentang Postpartum Blues yang semua suami wajib belajar. Kalau buat tak tahu, isteri lepas bersalin mungkin stress sampai tahap meroyan!
1. Lepas je bersalin, emosi isteri boleh jadi sangat kacau bilau. Sebab tu jangan pelik kalau perangai isteri tiba-tiba berubah tak menentu.
Masa ni lah tak semena-mena dia jadi sangat sensitif. Hati asyik redup je. Cepat rasa sedih nak menangis, cepat merajuk dan rasa stress. Kadang tu jadi tak fokus. Sampaikan nak selesaikan tugasan mudah pun dia tak mampu.
2. Ini lah yang disebut Postnatal blues atau postpartum blues. Perkara ni boleh berlaku kepada 50 – 80% ibu yang baru bersalin.
Ia selalunya bermula pada hari kedua lepas bersalin dan mungkin akan berterusan selama beberapa hari, satu minggu atau paling lama hingga dua minggu.
3. Kalau nak tahu, simptom ni semua berlaku disebabkan hormon kat dalam badan isteri kita tu drop secara mendadak lepas bersalin.
Masa tempoh dia mengandung, tubuh dia penuh dengan hormon kehamilan seperti Estrogen dan Progesterone. Selepas uri dikeluarkan, tiba-tiba level hormon yang banyak-banyak tadi terus hilang. Tu yang trigger perasaan isteri kita berubah jadi sangat berbeza.
4. Masalah ni memang tak boleh dibiarkan jika berlanjutan lebih 2 minggu. Kena jumpa doktor segera untuk kenalpasti kalau-kalau ada tanda kemurungan. Takut-takut ia melarat makin teruk hingga mengakibatkan Postpartum Depression atau Postpartum Psychosis. Inilah yang orang kita duk sebut meroyan tu.
5. Suami yang faham tentang fisiologi yang berlaku ni insyaAllah akan jadi lebih positif untuk bantu isteri supaya lebih kuat dan sabar untuk menempuhi fasa mencabar ni. Waktu ni, dia bukan je perlukan tidur yang cukup serta makanan dan minuman yang berkhasiat untuk rawat balik luka yang ditanggung masa bersalin.
Tapi dia juga sebenarnya sangat perlukan sokongan emosi yang berterusan daripada suaminya sendiri dan ahli keluarga yang lain untuk rawat balik luka emosi yang sedang terjadi.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!