Real Case : Ada parents di sini yang mengaku tak pernah dan tak tahu untuk marah anak. Parents…. Marah tu tandanya untuk menegur kesalahan anak. Kan ada pepatah mengatakan marah tandanya sayang. Real case ini adalah perkongsian daripada Cik Aishah Kassim, Pakar Pertuturan Bahasa.
Sanggup ke kita tengok anak kita buat salah tapi kita biarkan je anak buat tingkahlaku macam tu? Sanggup ke kita biarkan anak baling barang dekat kita, sepak, tampar kita?
Kita mungkin sanggup, tapi bagaimana bila di luar? Jika anak buat perkara yang sama dekat kita kepada orang lain. Ada yang kata takut anak berdendam. Ada yang kata takut anak trauma dan emosi. Hm. Marah ada hadnya. Jangan marah sehingga menghina dan mengeluarkan kata-kata yang buruk dan negatif kepada anak. Jangan marah setiap masa pulak, tu parents yg ada masalah!
Ads
Marah anak ketika dia buat kesalahan. Puji anak ketika dia buat kebaikan.
Ads
Dari sini anak akan belajar bahawa setiap perkara yang baik akan diberi pujian dan dihargai & perkara yang buruk jika dilakukan pasti akan dihukum. Yang salah tetap salah, dan yang betul kita raikan.
Biarkan anak menangis harini. Jangan satu hari nanti kita pula yg menangis melihat anak kita
Baru-baru ini viral di media sosial seorang bayi lelaki didera oleh pengasuh sehingga mengalami pendarahan pada otak. Tndakan pengasuh wanita yang berusia 39 tahun yang mendera bayi itu mendapat reaksi marah seluruh netizen. Menerusi Harian Metro, bayi itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu hari ini.
Perasaan sedih, sayu dan hiba bercampur baur apabila melihat status yang dimuat naik Hajijah Tahir di Facebooknya hari ini, sebaik mengetahui harapan untuk anaknya, Aariz Harraz Zahin Azman, kembali pulih agak tipis.
Aariz Harraz, sembilan bulan kini hanya bergantung kepada mesin bantuan hayat selepas dipercayai didera pengasuhnya, Selasa lalu.
Luahan Hajijah itu mengundang simpati ramai netizen yang turut mendoakan agar keajaiban memihak bayi berusia sembilan bulan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengesahan itu dibuat doktor selepas pemeriksaan dan ujian terhadap otak bayi malang itu.
“Masa kematian otak bayi itu direkodkan jam 9.10 pagi tadi. Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu belum bersedia untuk menghentikan mesin bantuan oksigen hari ini.
“Jadi, pihak hospital bersetuju dengan permintaan mereka untuk menghentikannya esok,”
Mangsa telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.55 pagi tadi di pangkuan ibunya selepas mesin bantuan hayatnya ditutup pada 11:30 pagi.
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.
Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak di bahagian kiri kepala akibat hentakan kuat.
Suspek ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa dan dia kemudiannya mengakui menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis, selain mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat datang bulan.
Suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja
Perjuangan melahirkan anak bagi seorang wanita ibarat hidup dan mati. Tak kira sama ada bersalin secara normal ataupun pembedahan. Kedua-dua sakit sama, hanya cara saja yang berbeza.
Tiada apa yang diperlukan bagi wanita selain sokongan suami atau ahli keluarga terdekat ketika saat nak bersalin.
Perkongsian dari seorang suami, Azlan Noor mengenai kenapa masa isteri nak melahirkan anak suami sangat diperlukan disisi ataupun ahli keluarga terdekat.
Kalau masa seronok boleh sama-sama, kenapa masa nak melahirkan, isteri kena tanggung seorang diri? Saya ada satu kisah.
Yang buatkan saya nekad untuk tak terlepas setiap kelahiran anak kami lagi.
Malam tu Surihati kejut,
“Papa, jom pergi hospital. Sakit makin kerap ni.”
Saya tenyeh-tenyeh mata dan tengok jam di henset. Pukul 1 pagi. Cepat-cepat saya bangkit dan bersiap ke hospital.
Sementara Surihati bersiap, saya angkat masuk kereta beg yang dia dah sediakan. Beg pakaian si ibu dan baby. Awal awal lagi dah standby sebab beberapa hari sebelum tu baby bagi false alarm. Haha.
Sampai di hospital, terus pergi ke tempat bersalin. Sementara Surihati duduk di kerusi sekejap, saya pergi daftar. Lepas beberapa minit, misi panggil masuk. Nak periksa bukaan. Tak lama lepas tu dia keluar. Perlahan langkahnya.
Masa duduk di kerusi tu, saya tengok mata dia pejam sambil muka berkerut. Tangan erat pegang kerusi. Saya tahu dia sedang tahan sakit. Tak lama lepas tu, misi datang dengan kerusi roda.
Angkut semua beg, misi tadi tolak sampai ke wad. Tukar baju hospital, letak beg, kemas barang semua. Masuk subuh tu pun Surihati belum masuk bilik bersalin sebab belum cukup bukaan lagi.
Pukul lapan pagi macam tu, baru dapat green light untuk ke bilik bersalin. Surihati terus ditolak masuk bilik. Saya diberi kad akses keluar masuk.
Di bilik, Surihati masih bertahan. Tenang wajahnya. Saya duduk disebelah kanan dia. Saya genggam erat tangan kanannya. Saya tahu dia dalam kesakitan. Saya ambil surah Yasin dan baca. Entah berapa kali ulang pun dah tak perasan.
Sesekali saya tengok muka dia. Jelas tanda keletihan. Masa tu contraction makin kerap. Ada ketika dia geliat menahan sakit. Dengan nafas turun naik yang makin laju, tiap kali sakit menyerang, dialihkan wajah ke sebelah sana.
Dahi dan atas bibirnya mula berpeluh. Saya gosok-gosok tangannya. Saya tahu itu tak beri apa-apa kesan, tapi saya percaya mental dia kuat bila saya ada bersama. Tiap kali sakit, tiap kali tulah dia ramas tangan saya. Dalam hati ni,
“Kalau itu boleh kurangkan sakitmu, buatlah apa sahaja sayang.”
Sesekali saya nampak ada air jernih mengalir dipipinya.
Tiba-tiba doktor datang. Dia periksa bukaan.
“Suami boleh tunggu di luar sekejap ye.”
Saya akur.
Beberapa minit lepas tu, doktor panggil.
Surihati dah sedia meneran. Saya pegang tangan dia untuk bagi semangat. Saya jadi saksi, betapa kuatnya dia usaha untuk lahirkan zuriat saya. Tudung dah senget benget. Muka pucat dengan peluh menitik di dahi.
Pembantu termasuk doktor juga bagi dorongan untuk meneran.
“Satu dua tiga, tarik nafas. Teran! Pandai! Sikit lagi.”
Lepas saya masuk tu, cukup tiga kali teran, Alhamdulillah anak ketiga kami selamat dilahirkan. Saya paling tak boleh lupa momen saya lihat anak itu diletakkan di dada Surihati. Allahu, air mata saya mengalir tanpa sedar.
Betapa saat hidup dan mati tu, Allah makbulkan doa untuk selamatkan isteri dan anak saya.
Tak henti-henti mulut saya ucap Alhamdulillah.
Masa tu teringat saat kelahiran anak pertama kami dulu sebab saya tak berpeluang untuk rasai pengalaman ni.
Dah dekat sangat dengan due bersalin, dapat arahan dari orang atasan. Kena outstation ke Jepun. Awal tu saya tolak. Tapi lepas bincang dengan bos, terpaksa pergi juga. Risau giler kot.
Hari kedua kat Jepun, dapat mesej dari Surihati katanya dah masuk hospital.
Allah.. Luluh hati saya.
Saya fikir satu je. Dah la anak pertama. Mana ada pengalaman bersalin. Dan dia terpaksa lalui seorang diri.
Terkulat-kulat saya dalam bilik hotel seorang diri. Sekejap duduk sekejap bangun. Serba tak kena. Mujurlah dia selamat lahirkan anak kami. Tak ada apa-apa masalah.
Cuma hingga sekarang, ralat masih ada dalam hati. Terfikir, kenapa tak tolak tawaran tu? Mungkin ada hikmah Allah nak bagi.
Lepas kejadian tu, saya nekad. Saya akan berada di sisi Surihati untuk kelahiran anak ke seterusnya. Biar saya sama-sama ada saat dia kesakitan.
Tak boleh saya bayangkan, jika Surihati kena lalui semua tu seorang diri lagi.
Saya tak sanggup.
Benar, bersalin tu adalah tugas yang Allah bagi khas buat wanita. Tapi sebagai suami, andalah yang patut temani isteri,
Masa ni lah nak buktikan kita pasangan sehidup semati. Kerana saat melahirkan zuriat itu, adalah saat antara hidup dan mati.
Antara keseronokan sambutan hari raya bagi anak-anak kecil sudah tentu peluang mendapat banyak duit raya yang diberikan oleh sanak saudara dan kenalan ibu ayah.
Lepas seminggu menyambut hari raya dan pulang ke rumah masing-masing, ramai yang mengadu bajet sudah lari ekoran berbelanja besar untuk sambutan raya tempoh hari.
“Eh, guna ajelah duit raya anak sementara tunggu gaji masuk.” Itu antara solusi yang memang ramai diguna pakai oleh ibu ayah.
Ada sesetengah pihak yang menganggap tindakan ibu ayah ini sangat tak berpatutan. Kata mereka, tak patut betul ibu ayah guna duit raya anak yang sepatutnya disimpan dalam akaun bank anak dan bukannya digunakan untuk keperluan harian.
Betul ke tak boleh? Pandangan daripada guru yang perkongsian tulisannya selalu viral iaitu Cikgu Mohd Fadli Salleh ini ada betulnya. Sebelum sesuka hati mengecam perbuatan orang lain, adalah lebih baik kita fahamkan dulu masalah mereka.
BOLEH GUNA TAK DUIT RAYA ANAK?
Ada beberapa status menyelar ibu bapa yang guna duit raya anak-anak untuk buat belanja sementara tunggu gaji. Haram kata mereka.
Lebih pedih, ayat menikam marahkan ibu bapa tak buat simpanan. Tak buat perancangan rapi sebelum dan selepas raya. Boros, tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada anak sendiri mentang-mentang mereka kecil lagi.
Baik pakar kewangan, tabungan dan simpanan sekalian. Meh sini Cikgu Korea nak sekolahkan kau orang. Kau baca dan hadam baik-baik.
Kau sedap menulis, kau sedap berkata, kau sedap menyindir dan mengata sebab kau tak rasa. Itu point utama.
Kau punya income lebat, kau punya simpanan banyak, maka kau kutuk hina pula mereka yang pendapatan rendah serta tak punya tabungan dan simpanan macam kau. Ini sangat tak kena.
Kau bicara kau mampu beli rumah walau gaji baru 2500. Kau cerita kau mampu buat saving hingga seribu sebulan dan mampu rancang perbelanjaan dengan baik sempena raya.
Perbandingan kau tak kena. Kau tak lihat dari kaca mata orang yang punya anak ramai, punya tanggungjawab besar pada orang tua, adik-beradik dan anak-anak. Belum cerita bab komitmen hutang lagi yang bertambun banyak.
Bukan semua orang berhutang untuk berjoli. Kebanyakan mereka korbankan duit gaji baiki rumah ibu bapa. Hantar mak ayah pergi haji. Tanggung adik-adik di kampung disamping jaga keluarga sendiri.
Maka usahkan nak menyimpan, nak survive setiap bulan pun satu cabaran.
Dan kau terus menyindir mereka. Sedangkan kau tidak merasa.
Musim raya ini, kau terus dengan sindiran untuk ibu bapa yang guna duit raya anak-anak pula. Kejam kata kau. Haram kata kau. Ibu bapa tak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada kau.
Itu kau kata sebab kau tak rasa. Itu kau perli sebab kau tak lalui.
TAK SALAH PUN IBU AYAH GUNA DUIT RAYA ANAK
Aku sendiri secara peribadi pernah guna duit raya anak suatu ketika dahulu.
Isteri dan anak-anak lain ada di kampung. Duit belanja memang dah rancang, tapi perlu guna sedebuk untuk sesuatu hal luar jangkaan. Kes kecemasan yang tak boleh elak, maka habis segala duit yang ada.
Mujur ada duit raya anak-anak kat rumah. Aku pinjam hampir RM100 untuk teruskan hidup sementara tunggu gaji seterusnya ganti balik.
Masa itu aku terfikir, bagaimana mereka yang punya anak 7-8 orang survive sementara tunggu gaji. Aku yang masa tu duduk membujang sebab isteri berpantang pun terasa peritnya bila sampai waktu tersepit.
Maka pada aku, boleh saja ibu bapa guna duit raya anak-anak. Nanti ganti la balik bila ada duit.
Nak meminjam merata, orang lain pun bukan ada duit juga. Yang ada pun tak berapa nak bagi. Paling penting, air muka sewaktu meminta itu umpama pengemis pula.
Kadang disindir dan diperli hanya kerana nak pinjam RM50. Hinanya rasa pada waktu itu hanya Tuhan yang tahu.
Ye lah. Kau mana tahu. Kau mungkin tak merasa itu semua. Kau kan bijak merancang perbelanjaan. Kau kan hebat menyimpan.
Aku tahu sebahagian mereka ini hebat dalam pengurusan kewangan. Maka kau kongsilah tips menabung, kongsi tips mengurus kewangan tanpa perlu perli dan hina mereka yang guna duit raya anak untuk teruskan kehidupan.
Banyak masalah yang mereka lalui kau tak pernah pun tahu. Kau tak pernah pun ambil peduli. Banyak kesakitan dan kesengsaraan kau tak pernah rasa.
Maka sangat tidak adil kau menghukum mereka hanya kerana mereka guna duit raya anak. Sangat tidak adil dan khianat!
Jangan menilai orang tanpa tahu kisah hidup mereka. Jangan!
Berkongsi saja tips yang kau tahu secara umum untuk manfaat semua. Berkongsi tips dan cara tanpa menyindir dan menyakiti sesiapa.
Sepertimana aku selalu kongsi ebook yang bagus untuk pelaburan dan membeli rumah. Ya, tanpa sentuh peribadi dan kehidupan sesiapa aku terus berkongsi kombo ebook yang mampu memberi ilmu kewangan dan hartanah pada pembaca.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.