
Ujian berat kembali menimpa pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 41, dan Sabrina Hakiem Zaini, 41, apabila bayi kedua daripada kembar tiga mereka, Maryam Al Khawla, disahkan meninggal dunia selepas 90 hari bertarung nyawa sebagai bayi pramatang di Hospital Melaka.
Mohd Fikry memaklumkan bahawa Maryam Al Khawla menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.20 pagi, Sabtu, ketika genap berusia tiga bulan.
“Dukacita dimaklumkan anak syurga saya, Maryam Al Khawla, telah meninggal dunia pada jam 7.20 pagi di Hospital Melaka pada 24 Januari 2026, genap usianya tiga bulan.
ALLAH SWT lebih menyayanginya,” katanya menerusi mesej ringkas kepada pihak media.
Sebelum pemergian bayi berkenaan, Mohd Fikry memaklumkan keadaan Maryam Al Khawla semakin lemah dan berada dalam keadaan tenat, susulan bacaan kuning yang meningkat hampir dua kali ganda berbanding hari sebelumnya.
Keadaan mata bayi pramatang itu dilaporkan semakin menguning, manakala perutnya turut kelihatan membesar. Pihak doktor turut menggunakan dos rendah ubat tidur, namun Maryam Al Khawla berada dalam keadaan sangat lemah dan tidak aktif.
“Anak Mummy Pergi Dengan Tenang”
Perkongsian ibunya, Sabrina Hakiem Zaini, di media sosial mengundang sebak ramai apabila memaklumkan puterinya pergi dalam keadaan tenang dan tidak lagi menanggung kesakitan.
“Alhamdulillah, anak mummy pergi dengan senyuman. Khawla sudah tidak rasa sakit lagi.
Buat pertama kali mummy dapat sentuh Khawla tanpa sarung tangan. Buat pertama kali juga mummy dapat peluk Khawla.”
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menjaga dan menemani Maryam Al Khawla sepanjang tiga bulan kehidupannya.
“Al Khawla dan abang Al-Fateh, tunggulah mummy dan daddy di syurga ya.
Terima kasih ALLAH kerana meminjamkan Maryam Al Khawla selama tiga bulan kepada mummy dan daddy.”
Jenazah Maryam Al Khawla dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Alor Gajah, selepas solat Asar, sebaik selesai urusan solat jenazah di rumah keluarga.
Untuk rekod, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata perempuan menerusi rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kisah kelahiran bayi kembar tiga ini sebelum ini turut mendapat perhatian ramai kerana pasangan tersebut menanti kehadiran cahaya mata selama bertahun-tahun.
Tragedi Kehilangan Anak Lelaki Sebelum Ini
Pasangan ini sebelum ini turut diuji dengan kehilangan anak lelaki mereka, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, yang meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah pada September 2024.
Tragedi itu mengundang simpati seluruh rakyat Malaysia memandangkan pasangan ini menunggu kehadiran cahaya mata selama 13 tahun, sebelum diuji dengan kehilangan anak lelaki mereka ketika berusia lapan bulan.
Pa&Ma merakamkan ucapan takziah kepada Mohd Fikry dan Sabrina sekeluarga. Semoga ibu dan ayah diberikan kekuatan luar biasa, ketabahan hati serta perlindungan Allah SWT dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
BACA LAGI : Maryam Al Khawla Kritikal, Ibu Bapa Al Fateh Sekali Lagi Diuji
SUMBER : SINAR HARIAN