
Hari ibu bapa dikejutkan dengan berita Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya hari ini. Jika sebelum ini ramai ibu bapa bersuara mempersoalkan ketiadaan peperiksaan UPSR bagi darjah enam, namun sebaliknya apabila peperiksaan dipercepatkan seawal darjah 4.
Kata PM Anwar ia sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Berikut Ringkasan tiga pembaharuan yang diumumkan oleh Anwar dalam ucapannya hari ini:
Tahun 4 bermula 2026 untuk subjek: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains
Tingkatan 3 bermula 2027 untuk subjek: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah
Menurut Anwar, Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat ini membolehkan murid-murid sekolah rendah lebih bersedia sebelum melangkah ke tingkatan satu.
“Kedua-dua pengukuran ini akan ditadbir oleh Lembaga Peperiksaan (LA) secara berpusat.
“Nama lain bagi pengukuran ini adalah Matriks Pembelajaran Malaysia,” ujar Anwar lagi.
Mulai tahun 2027, umur kemasukan murid ke Tahun 1 diselaraskan kepada 6 tahun (5+), bergantung pada kesiapsiagaan pelaksanaan nasional. Tujuannya untuk memperkukuh asas pembelajaran dan memastikan murid lebih bersedia.
“Sekarang ni anak-anak masuk sekolah darjah satu umur tujuh tahun. Mulai tahun depan, pra-sekolah (umur) lima tahun, darjah satu (pada usia) enam tahun
“Untuk tahun 2027, kita belum bersedia mewajibkan kerana ada ibu bapa yang rasa anak-anak belum bersedia.
“Masih boleh masuk darjah satu pada usia tujuh tahun. Tapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia daripada sekarang supaya umur lima tahun masuk pra-sekolah,” ujarnya lagi.
Semua anak warganegara Malaysia wajib mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut kurikulum kebangsaan. Peraturan ini terpakai untuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Persendirian dan Sekolah Antarabangsa.
Sumber: Berita Harian