Dilihat pada fizikal kanak-kanak perempuan ini, tidak sangka usianya sudah mencecah enam tahun. Tubuhnya genit, umpama baharu saha berumur dua atau tiga tahun. Pada usianya itu, berat Laila Az Zahra Mohd Ramdi Hafiz hanyalah 10kg dengan ketinggian tidak sampai pun 100sm. Kisah Rokiah Deraman, 36, telah dikongsikan Pa&Ma tidak lama dahulu.
Kali ini kami mendekati pasangan dua beranak ini untuk cerita lebih lanjut. Sesungguhnya Laila adalah kurniaan terindah dari Allah SWT buat Rokiah dan suaminya. Selepas melahirkan Laila, rahimnya terpaksa dibuang. Kini mereka bertiga sekeluarga hidup bahagia dan saling menjadi penguat antara satu sama lain.
Ikuti sesi temu ramah Pa&Ma bersama Rokiah yang menceritakan detik cemas ketika melahirkan anaknya itu. Sejurus dilahirkan, Laila terus dibawa ke NICU manakala Rokiah pula terpaksa menjalani pembedahan kedua selepas caesarean. Ternyata, kedua-dua ibu dan anak ini mempunyai semangat juang yang tinggi.
Alami Pendarahan Pada Awal Kehamilan
“Ketika saya mengandungkan Laila, tak ada masalah. Cuma pada awalnya tu ada pendarahan kerana saya pun tidak tahu saya sedang hamil. Saya berjumpa doktor kerana khuatir ada fibroid atau cyst. Bila doktor buat imbasan, rupa-rupanya saya sedang hamil,” cerita Rokiah.
Memandangkan keadaan rahimnya lemah dan mempunyai kemungkinan untuk gugur, doktor menyarankan Rokiah untuk mengambil ubat. Selama dua minggu pertama selepas menegtahui dirinya hamil, Rokiah terpaksa disuntik dan makan ubat penguat rahim. Sepanjang tiga bulan hamil, Rokiah dinasihatkan untuk banyak berehat.
Ketika usia kandungannya empat dan lima bulan, perkembangan Rokiah sangat baik. Perutnya juga membesar seperti yang sepatutnya. Rokiah menjalani pemeriksaan bulanan di Shah Alam, jadi bila dia pulang ke kampung untuk mengundi pada tahun 2013, rekodnya dirujuk ke klinik daerah di kampung Rokiah.
Laila ketika masih bayi
Balik Kampung Untuk Mengundi, Tak Sangka Terus Bersalin
Ads
“Kalau tidak salah saya, tarikh mengundi tahun itu adalah pada lima atau enam haribulan Mei. Laila pula saya lahirkan pada 8 Mei 2013. Kandungan saya baharu mencecah lapan bulan ketika itu. Tak sangka langsung akan bersalin. Memang ada perancangan mahu bersalin di Kelantan, jadi waktu itu kes kehamilan saya memang dah dirujuk ke salah sebuah klinik daerah di sana,” tambah Rokiah menceritakan detik-detik dia melahirkan Laila.
Kata Rokiah lagi, sepanjang pemeriksaan bulanannya di klinik sebelum ini, dia tidak pernah diminta untuk minum air gula. Mungkin kerana kandungannya tidak bermasalah dan berat juga tidak naik drastik, dia tidak perlu minum air gula. Apabila dia ke klinik daerah di kampungnya, dia diminta untuk membuat ujian glukosa pada usia kandungan lapan bulan.
Selepas tamat tempoh dua jam, darahnya diambil dan kemudian diminta berjumpa doktor. Tujuaannya ketika itu hanyalah untuk membuat imbasan biasa seperti yang selalu dilakukan kepada ibu hamil. “Pada waktu itulah doktor di klinik daerah mengesan ada sesuatu yang tidak kena. Menurut imbasannya, dia lihat seperti ada ketumbuhan dalam kandungan. Terperanjat doktor bila dia periksa bacaan air ketuban saya, indeksnya tinggal satu sahaja. Terus kes saya ditolak ke hospital. Sehelai sepinggang saya dibawa naik ambulans untuk menjalani pembedahan kecemasan,” kata Rokiah lagi.
Laila membesar sihat, cuma tumbesarannya lambat sedikit
Selepas dibawa ke hospital, Rokiah terus dibedah untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya. Jika mengikut tarikh jangkaan bersalin adalah pada 11 Jun 2013. Ketika dilahirkan, berat Laila hanyalah 1.6kg. Untuk menstabilkan keadaannya, Laila terus dihantar ke NICU. Rokiah tidak berpeluang untuk menatap wajah Laila langsung.
Tibalah waktunya untuk mengeluarkan uri, doktor dapati ia melekat pada dinding rahim Rokiah. “Saya masih mamai ketika itu, doktor maklumkan saya harus menjalani pembedahan membuang rahim. Saya tak boleh fikir apa pun, cuma terdetik jugalah waktu itu, apalah dosa saya sehingga diuji sebegini berat.
Ads
Doktor harus dapatkan keizinan suami untuk menjalankan pembedahan ini. Waktu itu dia sedang memandu untuk ke hospital. Sempat dia bertanya risikonya jika saya tidak dibedah. Kata doktor, kemungkinan saya akan meninggal dunia kerana saya mengalami pendarahan yang teruk.
Pengorbanan terbesar Rokiah adalah dia berhenti kerja sebaik sahaja melahirkan Laila untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak tunggalnya itu
Pun begitu, suami sangat kuat. Dia katakan kepada saya, tidak mengapalah jika rahim terpaksa dibuang. Sekurang-kurangnya saya dan anak selamat. Bayangkan jika Laila ‘pergi’, macam mana dengan nasib saya yang tidak boleh hamil lagi? Alhamdulillah, walaupun rahim dibuang, Allah SWT berikan juga peluang untuk saya menjadi seorang ibu,” cerita Rokiah.
Disahkan Menghidap Silver Rusell Syndrome
Apabila suaminya sudah membenarkan, doktor segera menjalankan pembedahan membuang rahim dan pemindahan darah ke atas Rokiah dengan segera. Menurut doktor, berat badan Laila menurun ke 1.4kg dan dalam tempoh 19 hari ia naik semula ke berat asalnya. memang normal anak pra matang mengecut, tetapi mereka akan segera naik berat badan semula.
Ads
Berbeza dengan Laila, perkembangannya sangat lambat dan ketika itu doktor merasakan Laila menghidap Silver Rusell Syndrome. Memandangkan pada awalnya mereka mengesyaki Laila menghidap Edward Syndrome, mereka mengambil sampel kromosom untuk dihantar ke Hospital USM dan keputusannya negatif. Doktor terus menggugurkan Laila dari kes tersebut.
Walaupun tubuhnya kecil, dari segi akdemik Laila sangat bagus. Sudah boleh menulis, mewarna, mengeja dan membaca dengan lancar
“Pakar kanak-kanak mengesahkan Laila dengan sindrom ini yang dikatakan sangat jarang berlaku dan bukan disebabkan genetik. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Bahkan nisbahnya 500, 000 : 1. Memang rare sangat kes Laila ni.
“Saya ingat lagi, ketika bawa pulang Laila ke rumah emak saya untuk berpantang, anak saudara saya panggil Laila alien. Yalah, tubuh dia kecil dan kepalanya besar. Saya tak salahkan dia, sebab dia pu masih kecil. Tapi teruk jugalah abang saya (ayahnya) marahkan anak dia,” kata Rokiah mengimbau kenangan ketika Laila baharu lahir.
Laila Sama Seperti Kanak-Kanak Normal
“Saya bersyukur kerana Laila membesar dengan sihat walaupun lambat. Dia minum susu sehingga sekarang dan sukakan sayur terutamanya ulam-ulaman. Ulam pegaga, salad dan kacang botol menjadi kegemarannya. Dicicah pula dengan budu dan makan dengan nasi putih. Dia agak lambat berjalan, pada usia dua tahun baharu ‘dapat kaki’. Pada usianya tiga ke empat bulan, dia harus berjumpa pakar di Hospital Serdang. Mereka banyak membantu Laila. Sehingga sekarang, setiap enam bulan dia ada temu janji bersama pakar di sana dan kami tidak pernah skip sebarang appointment.
Saya bersyukur perkembangan pembelajarannya sama seperti anak-anak normal. Dia sudah boleh membaca dan membuat aktiviti seperti kawan-kawan lain di sekolah. Mereka juga banyak bantu Laila dan tidak pernah mengejek anak saya. Guru-guru di sekolah pun sangat baik. Tiada lain yang saya harapkan, cuma mahu dia membesar dengan baik dan menjalani kehidupannya sama seperti orang lain yang normal,” akhiri Rokiah ketika pertemuan kami pada hari itu.
Bukan tak mampu untuk meraikan isteri dan anak-anak, namun komitmen bulanan kadang-kadang membuatkan kita tak sempat untuk membelikan anak dan isteri hadiah.
Ramai yang menarik nafas lega apabila Perdana Menteri mengumumkan Moratorium sewa beli selama 6 bulan. Sekurang-kurangnya bagi yang tidak berkesempatan menyimpan duit, akhirnya dapat menyimpan setiap bulan.
Bagi yang dah lama berjimat cermat setiap bulan, dapat gaji terus selesaikan komitmen bulanan sehingga tidak dapat berbelanja, sekurang-kurangnya dengan moratorium mereka dapat berbelanja sedikit sebagai hadiah untuk diri sendiri dan keluarga. Besar hikmahnya setiap apa yang berlaku.
Begitulah kisah yang dikongsi oleh pemilik Facebook, Pe Chey. Akhirnya dia dapat menghadiahkan seutas gelang buat anak-anak dan isteri. Suami mana yang tak teringin nak hadiahkan sesuatu buat isteri dan anak-anak cuma mereka ada komitmen yang perlu diutamakan.
Duit moratorium, aku dah niat, nak belikan “gelang getah” untuk anak-anak dara aku. Dari bulan April hari tu lagi aku dah bagitahu orang rumah,
“Yang, abang teringin nak belikan budak-budak ni ” gelang getahlah”. Kesian, diaorang tak pernah merasa pakai “gelang getah” lagi.
Sebagai ayah, bila aku tengok diaorang togel je kat tangan, aku rasa bersalah. Kurangnya adalah seurat besar gelang getah pun jadiklah.
Jadinya, tadi, aku ajaklah orang rumah dengan budak-budak jalan-jalan. Konon. Padahal aku hala ke kedai jual “gelang getah’. Bila sampai, orang rumah pun dah besarkan mata.
Aku sengih kambing.
Bila masuk kedai, budak-budak bersorak,
“Ayah nak belikan kami gelang ke yah. Uiyooo seronoknya yah.”
Kita nak yang tu yah, kata Qaisara. Ecya nak ni. Keena je senang, dia tunggu je. Ragam, 3 anak dara aku yang makin membesar.
Bila, gelang dah terlekat di tangan, ketiga-ketiganya peluk aku, siap cium. Pekerja di kedai dan pelanggan yang lain menyaksikan adegan penuh sentimental itu.
“Ayah tak banyak duit. Ayah dapat belikan yang kecik ni je ye. Kalau ayah ada banyak duit, ayah belikan yang besar sikit. Korang suka tak?”
“Suka yah. Terima kasih.”
Serentak suara ketiga anak dara aku menjawab. Aku sebak di dada bila mereka nampak ketara gembiranya siap terus pakai. Tangan masing-masing dah rupa tangan patah. Kekok bila ada “gelang getah” di tangan.
Kesiannya anak-anak dara aku. Salah aku sebab tak belikan untuk mereka dahulu lagi.
Orang rumah senyum tengok anak-anaknya.
Aku tanya,
“Ayang nak tak? Carilah satu yang lebih kurang macam bebudak punya. Abang takdelah banyak bajek, tapi kalau kena harga, abang belikan. Nak tak?”
Terus bercahaya matanya. Orang rumah pun jarang aku belikan. Silap aku, sebagai seorang suami yang tak memahami psikologi wanita.
” Abang biar betul. Cukup ke duit? Tak payahlah. Belikan je untuk budak cukup. Orang takde tak apa.”.
Orang rumah aku, memang tak menyusahkan. Aku nak belikan, dia tetap begitulah soalannya.
” Dik, kau carikan untuk akak ni satu, yang designnya sama dengan budak-budak, yang harganya sama macam budak-budak punya.”
” Baik bang”.
Laju budak tu buat kerja, tau-tau di tangan orang rumah, terpasang seutas gelang getah baru. Aku suka tengoknya. Suka tengok dia senyum. Senyum bahagia sebab tak sangka kot aku belikan seutas untuk dia.
Inilah kisah seorang ayah dan suami yang berwajah bengis. Petang ini dia kalah dengan anak dara dan isterinya. Jauh di hatinya,
“Kalau aku mati, taklah aku ralat sebab tak belikan untuk diaorang seutas gelang getah yang mungkin jadi kenangan abadi sepanjang usia mereka di dunia ini. “
Sebak dada aku bila tengok kebahagiaan yang terpancar di wajah mereka berempat petang ini. Semoga rezekiku melimpah ruah.
#NfI #gelanggetah
Ecya tanya,
“Ayah, bole tey titey patai gelang ni masey tido nanti? Keney butak tey ayah?”.
Perjalanan 5 beranak berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila suami dan anak lelaki maut dalam kemalangan akibat dirempuh dari arah belakang.
Menerusi laporan Bernama, seorang anggota tentera dan anak lelakinya maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di KM137.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuantan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata Mohamad Kausa Mustafa, 36, dan anaknya, Muhammad Ridwan berusia lima tahun meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 1.50 tengah hari itu.
Gambar kenangan seisi keluarga bersama anak sulung dan kedua beberapa tahun lalu
Beliau berkata, isteri mangsa, Ainul Yaqin Mokhtar, 31, dan dua lagi anak mereka, Nursyuhada, 8, serta Nur Sakinah berusia enam hari yang turut berada dalam kereta Perodua Viva itu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Temerloh.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki Mohamad Kausa sekeluarga dikatakan membuat brek secara mengejut dan menyebabkan pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.
“Pelanggaran ini menyebabkan kenderaan Mohamad Kausa terbabas ke sebelah kiri jalan dan kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamarulzaman berkata, pemandu Toyota Hilux berusia 21 tahun serta penumpangnya berusia 46 tahun selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. – BERNAMA
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam dunia hiburan yang sering menampilkan senyuman, glamor dan gaya hidup yang tampak sempurna, kisah pelakon dan penyanyi Betty Banafe membuka mata ramai. Di sebalik ketenangan wajahnya, rupanya tersembunyi luka dan perjuangan panjang yang tak ramai tahu.
🎭 Terpaksa Tanggung Hutang Bekas Suami
Selepas enam tahun bercerai dengan bekas suaminya, Bruce Dargus, Betty mendedahkan bahawa beliau kini menanggung beban hutang yang ditinggalkan semasa mereka masih bergelar suami isteri. Apa yang lebih mengejutkan, hutang itu bukan sedikit dan sehingga kini masih memberi kesan besar kepada kehidupannya.
Menurut Betty, sejak bercerai, beliau berdepan dengan berbelas-belas kes mahkamah yang difailkan oleh bekas suami yang kini tinggal di Amerika Syarikat. “Bukan saya yang saman, tapi saya kena pergi mahkamah sebab saya kena defend diri saya dan anak-anak,” luahnya.
⚖️ Belas-belas Kes Mahkamah & Tekanan Emosi
Betty menyatakan dia kini ‘berperang’ di mahkamah demi mempertahankan hak anak-anak dan membela dirinya daripada tuntutan yang dianggap tidak masuk akal. Bayangkan seorang ibu tunggal, terpaksa membahagikan masa antara kerja, anak-anak, dan urusan undang-undang yang memakan emosi dan tenaga.
Katanya lagi, kos guaman bukan kecil. Tapi demi masa depan anak-anak, dia tetap kuat walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu perasaannya. “Saya bayar peguam pakai duit sendiri, saya cari duit halal untuk anak-anak. Saya tak pernah minta sedekah.”
👩👧👦 Seorang Ibu, Dua Anak, Banyak Pengorbanan
Betty kini membesarkan dua anak hasil perkahwinannya terdahulu dengan penuh kasih sayang. Meski diuji dengan pelbagai tekanan, beliau tidak pernah menyalahkan takdir. Baginya, anak-anak adalah anugerah paling berharga dan sumber kekuatan yang tidak ternilai.
“Kalau saya jatuh, siapa nak bangun untuk anak-anak saya? Mereka tengok saya sebagai contoh. Saya kena terus senyum dan kuat walau dalam hati penuh luka,” katanya dengan nada penuh keibuan.
🌸 Dari Selebriti ke Pejuang Kehidupan
Betty bukan sekadar selebriti beliau kini menjadi simbol kekuatan wanita moden. Ramai netizen dan rakan artis tampil memberi sokongan moral, menyatakan rasa kagum terhadap keberanian dan ketabahannya yang luar biasa.
Ramai juga melihat Betty sebagai suara kepada wanita-wanita di luar sana yang turut berdepan dengan cabaran selepas perceraian sama ada dari segi kewangan, mental mahupun hak penjagaan anak.
✨ Harapan Baru, Doa Berterusan
Betty akui, kadang-kadang dia rasa penat dan hampir putus asa. Tapi dia yakin, ujian ini ada hikmah. Dia percaya satu hari nanti, semua ini akan berakhir dan dia akan bangkit dengan lebih kuat.
“Apa yang saya lalui ini mungkin pahit, tapi saya yakin Allah tak pernah sia-siakan air mata seorang ibu,” kongsinya.
Betty Banafe membuktikan bahawa kekuatan seorang wanita tidak hanya terletak pada wajah yang tersenyum di khalayak, tetapi pada keberanian untuk terus bangun walau berkali-kali dijatuhkan. Semoga kisahnya memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk tidak tunduk pada ujian, sebaliknya terus melangkah demi anak, demi masa depan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang remaja berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya, Mei...