
Mengambil air manis atau minuman dengan kuantiti gula yang tinggi sememangnya perlu dikurangkan, terutamanya buat pejuang garis dua yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.
Menurut beberapa kajian kesihatan, pengambilan gula secara berlebihan khususnya daripada minuman manis boleh menjejaskan kesuburan wanita dan lelaki tanpa disedari.
Ini bermakna sekiranya anda sedang dalam fasa TTC atau trying to conceive, anda sangat disarankan untuk menghadkan pengambilan gula supaya tahap kesuburan kekal optimum dan tubuh berada dalam keadaan lebih seimbang.
Pengambilan gula secara berlebihan, terutamanya melalui air manis, boleh memberi kesan jangka panjang terhadap sistem hormon dan metabolisme badan. Kesan ini bukan sahaja dirasai oleh wanita, malah lelaki juga terlibat secara langsung.
Antara kesan yang sering dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan termasuk kualiti air mani terjejas, penambahan berat badan, serta rintangan insulin yang boleh mengganggu proses ovulasi dan penghasilan sperma.
Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa pasangan TTC disarankan untuk mengurangkan pengambilan air manis secara berlebihan.
Insulin adalah hormon yang dirembeskan oleh pankreas dan berperanan penting dalam mengawal paras gula darah dalam badan.
Rintangan insulin berlaku apabila sel otot, lemak dan hati gagal bertindak balas dengan baik terhadap insulin. Akibatnya, glukosa tidak dapat diserap dengan cekap dan pankreas terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengimbangi keadaan ini.
Paras insulin yang tinggi secara berterusan boleh mengganggu keseimbangan hormon reproduktif, terutamanya bagi wanita. Keadaan ini boleh menjejaskan proses ovulasi dan mengurangkan peluang kehamilan secara semula jadi.
Sama seperti wanita, kesuburan lelaki juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk gaya pemakanan dan pengambilan gula harian.
Satu kajian mendapati pengambilan gula yang berlebihan dikaitkan dengan pengurangan kepekatan sperma dalam kalangan lelaki. Penurunan ini sangat ketara apabila gula diperoleh daripada minuman ringan dan makanan proses.
Menariknya, pengambilan minuman manis dalam kajian tersebut tidaklah terlalu tinggi, dengan purata hanya 0.2 minuman sehari. Namun begitu, ia masih menyebabkan penurunan kepekatan sperma sekitar 18 hingga 23 peratus.
Ini jelas menunjukkan bahawa air manis dan kesuburan TTC mempunyai hubungan yang lebih rapat daripada yang disangka.
Pengambilan gula berlebihan juga boleh menyebabkan penambahan berat badan serta peningkatan lemak dalam badan.
Berat badan berlebihan boleh menjejaskan keseimbangan hormon, meningkatkan risiko rintangan insulin, serta memberi kesan negatif terhadap kitaran haid dan kualiti sperma.
Walaupun penambahan berat badan yang sederhana mungkin bermanfaat bagi individu yang kurang berat badan, pengambilan gula bukanlah kaedah yang sihat untuk tujuan tersebut.
Sebaliknya, pasangan TTC disarankan untuk meningkatkan berat badan melalui pemakanan seimbang, diet sihat yang padat nutrien, serta pengambilan kalori berkualiti tinggi.
Jika anda dan pasangan sedang berada dalam fasa TTC, cubalah untuk mengurangkan pengambilan minuman bergula dalam kehidupan seharian. Langkah kecil ini mampu memberi impak besar terhadap kesihatan hormon dan kesuburan jangka panjang.
Pilih air kosong, kurangkan minuman manis, dan fokus kepada gaya hidup yang lebih sihat. Biar sihat, baru subur.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan membuka mata tentang kepentingan menjaga pemakanan sepanjang perjalanan TTC.