Berita

Misteri Kematian Bayi Di Hospital Cetus Tragedi Mengerikan, Sistem Kesihatan Dipersoal

Share

Tragedi Menyayat Hati Gegarkan Dunia

Tragedi menyayat hati melibatkan kematian bayi di hospital Siberia apabila sembilan bayi baru lahir dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh yang singkat telah mencetuskan kebimbangan serius bukan sahaja dalam kalangan rakyat Russia, malah ibu bapa di seluruh dunia. Insiden ini menimbulkan persoalan besar terhadap tahap keselamatan dan pemantauan kesihatan neonatal di fasiliti perubatan moden.

Kejadian yang berlaku antara 4 Januari hingga 12 Januari 2026 itu kini berada di bawah siasatan menyeluruh selepas pihak polis Russia menahan ketua doktor serta pemangku ketua unit rawatan rapi (ICU) Hospital Bersalin Novokuznetsk No. 1 di wilayah Siberia.

Novokuznetsk Maternity Hospital No. 1

Penahanan Pegawai Kanan Hospital

Menurut kenyataan rasmi Jawatankuasa Penyiasatan Russia, kedua-dua individu terbabit didakwa atas kesalahan kecuaian dalam menjalankan tugas profesional sehingga menyebabkan kematian. Kes ini disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang serius memandangkan ia melibatkan nyawa bayi yang baru dilahirkan.

Kesemua bayi yang terlibat dalam kes kematian bayi di hospital Siberia ini dilaporkan mengalami komplikasi kesihatan sejurus selepas kelahiran dan memerlukan rawatan rapi.

Punca Kematian Masih Menjadi Tanda Tanya

Sehingga kini, punca sebenar kematian sembilan bayi tersebut masih belum dikenal pasti secara rasmi. Namun begitu, pihak berkuasa kesihatan wilayah memaklumkan bahawa kesemua bayi berkenaan menghidap pelbagai penyakit yang dipercayai dipindahkan semasa proses kelahiran.

Siasatan forensik sedang dijalankan terhadap setiap kes kematian bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyumbang kepada tragedi ini. Jawatankuasa Penyiasatan menegaskan bahawa siasatan dilakukan secara terperinci termasuk meneliti pematuhan prosedur rawatan, kawalan jangkitan, serta tahap penjagaan yang diberikan kepada bayi-bayi tersebut.

Gambar Hiasan

Hospital Henti Terima Pesakit Baharu

Susulan kejadian kematian bayi di hospital Siberia ini, pihak hospital mengumumkan penghentian sementara penerimaan pesakit baharu selepas mencatatkan kadar jangkitan pernafasan yang tinggi dalam kalangan pesakit.

Langkah ini diambil sebagai usaha kawalan bagi mengelakkan risiko jangkitan berterusan, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap fasiliti, peralatan perubatan serta prosedur operasi standard hospital tersebut.

Dalam masa sama, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa hospital berkenaan berdepan kekurangan kakitangan perubatan dan beban kerja yang tinggi. Namun dakwaan itu dinafikan oleh pihak pengurusan hospital yang menyatakan jumlah kakitangan adalah mencukupi.

Kebimbangan Ibu Bapa & Reaksi Pemimpin Negara

Insiden ini mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan ibu bapa, khususnya mereka yang sedang menantikan kelahiran cahaya mata. Kes kematian bayi di hospital Siberia ini membuatkan ramai mula mempersoalkan sejauh mana tahap keselamatan hospital bersalin, walaupun di negara yang memiliki sistem kesihatan maju.

Yang Dipertua Dewan Tinggi Parlimen Russia, Valentina Matvienko menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar dan menegaskan bahawa kejadian seumpama ini tidak boleh dibiarkan berulang. Beliau menggesa langkah pembetulan segera diambil di semua peringkat sistem kesihatan negara.

Gambar Hiasan

Sementara itu, Gabenor wilayah Kuzbass mengarahkan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua hospital bersalin dan kemudahan prakelahiran di wilayah tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan.

Seorang Ahli Parlimen Pro-Kremlin turut menyuarakan kebimbangan dengan menyifatkan insiden kematian bayi di hospital Siberia ini sebagai satu kesalahan besar terhadap negara, lebih-lebih lagi ketika Russia sedang berdepan krisis demografi dan kadar kelahiran yang semakin menurun.

Pengajaran Buat Semua Pihak

Tragedi ini menjadi peringatan penting bahawa keselamatan bayi baru lahir memerlukan pemantauan rapi, pematuhan prosedur yang ketat serta sistem kesihatan yang telus dan bertanggungjawab. Setiap kelemahan kecil dalam penjagaan neonatal boleh membawa akibat yang sangat besar.

Bagi ibu bapa, kepekaan terhadap keadaan bayi, keberanian untuk bertanya serta mendapatkan penjelasan terperinci daripada pihak hospital amatlah penting. Kes kematian bayi di hospital Siberia ini juga menekankan keperluan sokongan emosi dan komunikasi yang jelas antara kakitangan perubatan dan keluarga pesakit.

Pa&Ma akan terus mengikuti perkembangan kes ini dan berkongsi maklumat sahih demi membantu ibu bapa lebih peka tentang keselamatan bayi, kerana setiap nyawa kecil adalah amanah yang tidak ternilai dan tidak seharusnya dipandang ringan.

BACA LAGI : Bahaya Bila Ibu Melahirkan ‘Overdue’, Boleh Sebabkan Kematian Bayi Dalam Kandungan

Sumber : malaysiagazette

Published by
Nana