Kemahiran motor kasar dan motor halus kanak-kanak merupakan antara asas penting dalam perkembangan kanak-kanak. Ia membantu anak membina kekuatan fizikal, koordinasi pergerakan serta keyakinan diri sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan.
Namun kebelakangan ini, ramai guru mula meluahkan kebimbangan terhadap tahap kemahiran asas dalam kalangan murid yang baru memulakan sesi persekolahan.
Walaupun penekanan terhadap kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) semakin diperkukuhkan, terdapat satu aspek lain yang dilihat semakin terabai iaitu kemahiran motor halus.


Perkara ini menjadi perhatian apabila beberapa guru berkongsi pengalaman mereka di platform Threads mengenai situasi yang berlaku di sekolah.
Menurut perkongsian tersebut, terdapat murid yang masih menghadapi kesukaran melakukan perkara asas seperti menggunakan gunting, mengoyakkan kertas malah ada yang tidak tahu cara mengupas buah.
Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada anak-anak benar-benar sudah bersedia dari segi perkembangan fizikal dan kemahiran asas sebelum memasuki alam sekolah rendah.
Kebimbangan Guru Terhadap Motor Halus Kanak-Kanak
Kemahiran membaca, menulis dan mengira sememangnya menjadi fokus utama dalam pendidikan awal kanak-kanak. Namun pada masa sama, motor halus kanak-kanak juga memainkan peranan penting kerana ia menyokong keupayaan anak untuk menulis, memegang alat tulis dan melakukan aktiviti pembelajaran dengan baik.
Seorang guru turut berkongsi kebimbangannya mengenai perkara ini menerusi Threads.
“Tekankan kemahiran 3M itu memang betul dah, tapi tahu tak, kemahiran motor halus budak-budak sekarang sangat membimbangkan ya.
“Gunting kertas guna gunting pun susah, itu belum suruh potong kertas guna pembaris,” luahnya.
Luahan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada guru lain yang turut berdepan pengalaman yang hampir sama di sekolah.


Ramai Murid Sukar Lakukan Kemahiran Asas
Seorang lagi pendidik turut bersetuju dengan kebimbangan yang dikongsikan itu dan menyatakan bahawa situasi tersebut benar-benar berlaku dalam kalangan murid Tahun 1.
“Sangatlah setuju. Tahun ini paling mencabar keimanan saya bila ramai pelajar Tahun 1 saya tidak boleh pegang gunting, koyak kertas, apatah lagi kupas kulit buah.
“Anak tuan puan mungkin bijak bestari dari segi 3M, tapi dari segi mendengar arahan, motor halus kanak-kanak dan pengurusan emosi semuanya boleh dikatakan masih lemah,” ujarnya.
Perkongsian tersebut menunjukkan bahawa walaupun sebahagian kanak-kanak mampu menguasai kemahiran akademik asas, mereka masih memerlukan sokongan dalam aspek perkembangan fizikal dan emosi.
Aktiviti Bermain Bantu Perkembangan Motor Halus Kanak-Kanak
Menurut pandangan para pendidik, ibu bapa disarankan memberi lebih peluang kepada anak-anak melakukan aktiviti bermain dan pergerakan fizikal sejak kecil. Aktiviti seperti ini mampu membantu menguatkan otot tangan serta meningkatkan koordinasi badan anak secara semula jadi.
Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak dapat belajar menggunakan tangan dengan lebih baik tanpa tekanan seperti ketika belajar di dalam bilik darjah.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak termasuk:
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat membantu anak menguatkan otot tangan dan meningkatkan kemahiran koordinasi mereka.


Perkembangan Anak Perlu Seimbang
Dalam membesarkan anak, ibu bapa sering memberi perhatian kepada pencapaian akademik seperti membaca, menulis dan mengira. Walau bagaimanapun, perkembangan kanak-kanak sebenarnya perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
Kemahiran asas seperti memegang pensel dengan betul, menggunakan gunting, mendengar arahan serta mengawal emosi juga merupakan aspek penting sebelum anak bersedia untuk mengikuti pembelajaran formal di sekolah.
Oleh itu, pendekatan yang seimbang antara aktiviti akademik dan permainan fizikal sangat penting bagi membantu kanak-kanak membina asas perkembangan yang lebih kukuh.
Sumber: Threads (@aflahrusdi)