Semestinya ibu bapa pernah melalui fasa anak marah, menjerit dan mengamuk kan? Biasanya apa tindakan yang kita buat. Bertegas, marah, pukul atau biarkan anak tenang dulu sebelum moodnya ok.
Menurut kajian, mendidik anak-anak, ibu bapa kena lebih profesional dan tak boleh menggunakan pendekatan kekerasan walaupun ia bertujuan untuk mendidik.
Melalui perkongsian Terapis Cara Kerja, Siti ‘Aisyah Rozalli, bila anak bagi ‘hint’ ni, maknanya ibu bapa kena cepat bertindak.
5 TANDA PERANGAI ANAK PERLUKAN BANTUAN SEGERA
1. Menjerit setiap kali tak dapat apa yang dimahukannya.
2. Membentak dan kelihatan sangat marah bila diminta buat sesuatu.
3. Kita takut untuk larang kerana takut anak mengamuk.
4. Boleh berubah dari good mood ke mengamuk dan mengamuk ke good mood dalam waktu yang sangat singkat.
5. Kita takut dan buntu untuk tegur perangai anak kerana takut anak jadi bad mood.
Hmm…Kalau ada satu daripada senarai di atas, biasanya saya akan ajak ibu bapa untuk lihat pada perkara-perkara ini:
– Ada tak moment yang parents dah cakap “tak boleh”, tapi bila anak menangis atau marah, tiba-tiba “tak boleh” bertukar jadi boleh?
Contohnya, kita kata “tak boleh aiskrim tau…”. Anak kita pun nangis… Kita tak larat tengok dia nangis, kita pun bagi aiskrim yang kita kata tak boleh tadi tu.
Ads
– Ada tak waktu yang anak cakap elok-elok, kita buat tak peduli… Tapi, bila anak dah jerit, baru kita menyahut dan layan anak?
Contohnya, anak panggil kita elok-elok, kita sibuk dengan handphone. Pastu anak pun jerit “AYAH!!!!” Baru kita, “Apa dia?!”
– Ada tak kita semak perkembangan kemahiran anak kita tu sesuai tak dengan umur dia?
Contohnya, patut umur anak kita tu dah boleh dah makan sendiri, tapi kita tak pernah bagi dan kalau anak kita macam susah sikit nak makan sendiri, kita terus tolong.
– Ada tak kita ni terlalu permisif? Apa je anak nak, kita bagi sebab rasa tak boleh kalau nak kata “tak boleh”, “tunggu”, “bukan hari ni” pada anak.
– Ada tak kita ni takut sangat nak anak rasa susah? Anak tak boleh buat sikit, kita “escape” kan anak kita. Anak rasa “homework” susah, kita marah cikgu.
Ads
Mama ayah…Sikap terlalu permisif dan “takut anak marah”, “takut anak susah” ni sebenarnya akan menimbulkan satu rasa negatif pada anak.
Anak akan timbul satu sifat yang dipanggil ENTITLED. Bagi mereka, semua perkara yang berlaku ada kaitan dengan mereka.
Bagi mereka, apa yang mereka mahu, mereka patut dapat. Bagi mereka, apa yang mereka rasa susah, mesti dimudahkan oleh orang lain. Kasihan tau anak-anak macam ni.
Ads
Mereka akan kurang sifat ketahanan terhadap cabaran dan akan membesar menjadi manusia yang sangat mudah stres dan putus asa.
Jadi ibu bapa kena lakukan sesuatu. Kenal pasti perkembangan anak kita secara holistik kenal pasti apakah yang sihat dan tak sihat dalam menguruskan tingkah laku anak.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan Allah mudahkan kita semua menguruskan anak kesayangan kita. Anak ni saham ke syurga tau. Elok kita didik, inshaaAllah jadi penyumbang doa untuk kita nanti
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan saja anak-anak kecil kita, adakalanya kita sendiri terkeliru dengan sifir sembilan yang mengelirukan. Macam mana nak anak mudah dapat jawapan sifir sembilan?
Perkongsian seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Irma di Tik Tok, @tutorhub_hq ini mendapat perhatian ramai. Mana tidaknya dengan hanya menggunakan jari, anak-anak boleh menguasai sifir sembilan dengan mudah. Mak ayah boleh cuba aplikasikan pada anak. Memang mudah!
Sifir 9 guna jari.
Keluarkan sepuluh jari korang, 4 x 9, ambil nombor empat dan tutup.
Belah sini tiga dan belah sini 6. Jawapan dia 36, terus tulis.
Kita berkira dengan anak, rezeki akan berkira dengan kita. Pernah tak kita terfikir? Orang tua-tua cakap bila ada anak ni rezeki murah. Tapi lain jadi kat kita, anak dah ramai tapi rezeki masih sama macam masa belum ada anak.
Perkongsian dari seorang bapa, Mohd Fhais ini mengenai rezeki yang tak pernah putus baginya walaupun pada awalnya dia sendiri rasa tak mampu.
Pengalaman sendiri.
Alhamdulillah selepas Annur Rania dilahirkan rezeki saya mudah je masuk. Kadang-kadang rezeki tak di sangka-sangka dapat. Dapat tawaran kerja di kampung halaman. Padahal tak pernah terfikir pun saya boleh dapat sebab ramai sangat calon yang temuduga.
Masa berhenti kerja lama gaji pada bulan tu di tahan sebab berhenti tak cukup notis. Susah jugak nak survive bulan tu dengan komitmen yang ada tapi alhamdulillah semua berjaya di harungi. Rezeki ada je untuk bayar semua.
Semua berubah bila saya leka.
Di tempat baru kerja bertambah banyak, kadang-kadang balik ke rumah jam 9-10 malam. Kurang luangkan masa dengan keluarga dan anak-anak. Sedikit demi sedikit wang gaji tak cukup.
Bila wang tak cukup mulalah berkira-kira dengan anak. Mainan rm5 pun tak belikan. Sanggup biarkan anak menangis berlinangan air mata. keluar beriadah jauh sekali.
Pada mulanya salahkan gaji yang sedikit jika banding dengan gaji dulu. Tapi sebenarnya semakin jauh kita mengabaikan anak semakin jauh rezeki akan bai bai kita.
Anak-anak adalah anugerah setiap insan bergelar ibu bapa. Mereka adalah amanah Allah kepada kita. Mereka adalah masa depan generasi kita.
Besar tanggungjawab kita untuk membesarkan mereka jadi seorang anak yang setia kepada negara dan agama.
Saya tidak manjakan anak cuma saya tidak pernah berkira dengan anak.
9 amalan saya menjemput rezeki berbakti pada anak :
Kanak-kanak pantang nampak mainan. Sebulan sekali beri mereka reward mainan yang mereka nak. Selagi termampu berilah barang kesukaan mereka. Apalah sangat mainan rm5-rm10 asalkan mereka happy. Ingat jika mereka happy kita sebagai ibu bapa turut happy, sama jugak jika sebaliknya. Bila keluarga happy baru rezeki mudah nak datang.
Berikan mereka pelajaran yang terbaik. Jangan pilih taska sebab sehala laluan ke tempat kerja sahaja. Fikirkan jugak keperluan anak-anak untuk belajar. Banyak taska hanya buka televisyen sahaja masa belajar. Taska yang bagus ialah yang penuh dengan aktiviti yang membantu perkembangan otak anak-anak.
Luangkan masa bersama anak-anak at least seminggu sekali. 6 hari masing-masing sibuk dengan urusan berbeza, apa kata sehari seminggu buat something bersama. Contoh jalan di zoo atau bawak anak-anak ke learning center. Banyak pusat learning center di malaysia yang bagus untuk perkembangan mereka.
Sediakan keperluan yang terbaik untuk mereka. Jangan recycle sahaja. Apa perasaan si adik yang hanya recycle barangan abang dan kakak. Contoh belikan baju baru kesukaan mereka. Mesti perasaan sayang tu bertambah-tambah.
Banyak kaedah pembelajaran awal kanak-kanak yang membantu perkembangan otak kanak-kanak sudah ada. Laburlah sedikit untuk masa depan mereka. Tahu tak 90% otak kanak-kanak berkembang sewaktu umur 0-6 tahun? Semua bahagian kritikal otak berkembang masa ini.
Sentiasa prihatin dengan perubahan sikap anak-anak. Jangan sentiasa fikir mereka akan cari jalan sendiri sebaliknya bantu selagi mereka boleh di bantu. Percaya tak yang kanak-kanak 1-6 tahun pun boleh kena STRESS? Sekali mereka stress dan kita tidak bantu emosi mereka akan terbantut dan boleh jadi serius.
Jangan marah anak tanpa berfikir panjang. Bila nak marah tu paksa diri diam atau minum air dan wuduk. Lebih baik berdiam diri dari marah dan terkeluar kata-kata kesat. Masa ini anak-anak masih belajar dan mereka akan ikut cara anda walaupun masa marah. Jika baik yang mereka nampak maka baiklah mereka buat.
Setiap kanak-kanak ada perkembangan berbeza. Fahami dan cuba bantu mereka. Berikan keperluan yang diperlukan bukan yang kita mahukan. Berhenti dari membanding dengan kanak-kanak lain.
Sebagai ibu bapa jangan berkira nak belajar ilmu parenting sebab tanpa ilmu bagaimana kita nak didik anak agar berilmu. Anak-anak ada kaedah dan cara pembelajaran berbeza, keperluan fisiologi pun berbeza. Kalau bayi kena tidur 14-17 jam, lain pulak untuk anak berumur 3-5 tahun kena tidur 10-13 jam sehari.
Alhamdulillah selepas saya praktis 8 amalan di atas rezeki mencurah-curah masuk. Satu persatu hutang dapat habis. Bisnes pun semakin berkembang sehingga mampu upah 5 orang staf.
Rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar kita merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat kita.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)
Nak rezeki mencurah-curah cuba curah dulu kasih sayang kat anak isteri. Barulah rezeki datang mencurah-curah.
P/s : Tolong sampaikan pesanan ini pada ibu bapa lain ye supaya makin ramai ibu bapa yang tahu pentingnya tak berkira untuk anak isteri.
Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.