
Satu kejadian mengejutkan berlaku di sebuah sekolah di Solo, Indonesia, apabila seorang murid lelaki berusia empat hingga lima tahun cedera di bahagian kemaluan selepas digunting oleh rakan sekelasnya sendiri! Difahamkan, kejadian berlaku ketika aktiviti “gunting dan tampal” dijalankan dalam kelas di bawah pengawasan guru.
Menurut Ketua Pejabat Pendidikan Kota Solo, Dwi Ariyatno, insiden bermula apabila guru meninggalkan sebentar sebahagian murid untuk membawa kumpulan lain mencuci tangan. Dalam tempoh singkat itu, seorang murid lain dikatakan mengambil gunting dan menggunting kemaluan rakannya.
“Kanak-kanak itu memberitahu dia melakukannya kerana mahu ‘mempraktikkan’ amalan berkhatan,” jelas Dwi kepada media tempatan.
Menuut laporan Mstar, mangsa segera dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan dan doktor mengesahkan kecederaan tersebut tidak mengancam nyawa. Kanak-kanak itu kini dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan pulang.
Namun begitu, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pemerkasaan Wanita serta Perlindungan Kanak-Kanak Kota Surakarta tetap memantau keadaan mangsa bagi memastikan emosi dan fizikalnya tidak terjejas.
Pihak sekolah turut mengadakan sesi rundingan dengan keluarga kedua-dua murid dan akan memperketatkan prosedur keselamatan termasuk penggunaan alat tajam di dalam kelas.
“Kita akan mempertingkat kawalan keselamatan terutama ketika melibatkan gunting, pisau dan peralatan seni yang berisiko mencederakan,” kata Dwi.
Pakar psikologi kanak-kanak menjelaskan bahawa anak kecil belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Mereka belum mampu membezakan antara perkara yang selamat atau berbahaya. Oleh itu, apa yang mereka lihat atau dengar boleh menjadi sesuatu yang mereka cuba praktikkan tanpa sedar.
Dalam kes ini, tindakan si kecil bukan kerana niat jahat, tetapi kerana ingin tahu dan cuba meniru perbuatan orang dewasa. Inilah sebabnya mengapa pendidikan awal tentang keselamatan diri dan tubuh badan sangat penting.
Ibu bapa boleh mula mendidik anak dengan cara mudah:
Terangkan bahawa bahagian sulit adalah bahagian privasi dan tidak boleh disentuh atau dilihat sesiapa tanpa kebenaran.
Jika anak bertanya tentang berkhatan, jelaskan dengan tenang bahawa ia dilakukan oleh doktor di tempat khas, bukan sesuatu yang boleh dilakukan sendiri.
Gunakan bahasa yang sesuai usia, tanpa menakutkan atau memalukan mereka.
Latih anak cara berkata “tidak” jika berasa tidak selesa dan beritahu orang dewasa yang dipercayai.
Kejadian ini juga menjadi peringatan penting untuk semua institusi pendidikan awal kanak-kanak.
Peralatan tajam seperti gunting perlu disimpan dengan selamat dan hanya digunakan di bawah pengawasan rapat. Guru juga perlu memastikan semua murid difahamkan tentang bahaya peralatan tersebut sebelum aktiviti dijalankan.
Anak-anak kecil memang penuh rasa ingin tahu dan cepat meniru apa yang mereka lihat. Namun, tanpa panduan dan pengawasan, rasa ingin tahu itu boleh mendatangkan bahaya.
Sebagai ibu bapa dan guru, kita perlu lebih peka — bukan hanya melindungi fizikal mereka, tetapi juga mendidik tentang keselamatan diri, sentuhan selamat, dan batas privasi sejak kecil.
💬 “Anak bukan nakal, mereka cuma ingin tahu. Tapi rasa ingin tahu itu perlu dipimpin dengan ilmu dan kasih sayang.”