
Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak pergi ke sekolah dengan hati yang gembira dan pulang dengan selamat. Namun, kisah seorang murid tahun satu di Seksyen 32, Shah Alam ini cukup menyayat hati. Si kecil yang baru menjejak dunia persekolahan didakwa menjadi mangsa buli tiga murid tahun tiga, hingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Menurut laporan Kosmo Online, bapa mangsa, Ghadaffi Zainudin, 47, kejadian berlaku ketika waktu rehat di sekolah. Anak lelakinya mendakwa telah dipijak berkali-kali di bahagian perut, dada dan kaki oleh salah seorang pelaku. Lebih menyedihkan, mulutnya turut ditekup dan diugut akan dicekik jika melawan atau menjerit.
“Salah seorang daripada mereka pijak anak saya, seorang lagi cuba menconteng bajunya, manakala seorang lagi hanya memerhati. Anak saya kata hidungnya berdarah selepas kejadian. Malah, pada hari sebelumnya pun dia sudah dibaling sup panas di tangan,” katanya ketika dihubungi.
Bukan itu sahaja, menurutnya anaknya juga kerap diganggu dan duit sekolah sering diambil oleh pelaku yang sama.
Bimbang dengan keadaan anak yang mengadu sakit di bahagian dada dan perut, ibu bapanya segera membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Alhamdulillah, hasil pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan dalaman serius. Tapi anak masih sakit bila disentuh dan agak trauma dengan kejadian itu,” jelas bapa mangsa lagi.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 7, Shah Alam, dan pihak sekolah turut hadir ke hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut. Menurutnya lagi, kejadian buli itu bukan kali pertama berlaku di sekolah terbabit dan dipercayai pernah melibatkan individu sama.
Difahamkan, pihak sekolah sedang mengenal pasti murid yang terlibat serta akan mengambil tindakan sewajarnya. Dalam masa sama, ibu bapa lain turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
Insiden ini tular di media sosial selepas ibu mangsa berkongsi hantaran di laman Threads bersama gambar baju sekolah anaknya yang kotor dipercayai akibat dipijak. Ramai netizen meluahkan rasa simpati dan marah, meminta agar pihak berkuasa serta Kementerian Pendidikan memperketatkan pemantauan dan tindakan terhadap kes buli di sekolah rendah.
Kejadian ini menjadi peringatan besar buat semua. Anak kecil seusia tujuh tahun masih belajar mengenal dunia dan belum tahu mempertahankan diri. Oleh itu, ibu bapa perlu peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak — seperti takut ke sekolah, hilang selera makan, atau menjadi terlalu pendiam.
Selain itu, guru dan pihak sekolah wajar mempertingkatkan pengawasan di waktu rehat dan kawasan berisiko seperti kantin atau tandas. Pendidikan tentang empati, hormat-menghormati dan kawalan emosi juga perlu diterapkan sejak awal.
Tiada anak yang patut melalui pengalaman menakutkan di tempat mereka belajar. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran buat semua pihak agar sekolah benar-benar menjadi tempat selamat, seronok dan membentuk sahsiah anak-anak kita.