Murid Tahun Tiga Maut Jatuh Dalam Kumbahan, Pernah Luah Hasrat ‘Nak Pergi Dulu’

Share

Hati ibu bapa mana yang tak luluh bila kehilangan anak tersayang dalam sekelip mata. Lebih menyayat hati, apabila kata-kata polos si kecil yang pernah meluahkan hasrat untuk “meninggal masa kecil” supaya terus masuk syurga, menjadi kenyataan.

Itulah kisah menyedihkan yang menimpa Abdul Fattah Khairul Rizal, murid Tahun Tiga sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter ketika berlangsungnya program Hari Sukan pada Sabtu lalu.

Kata-Kata Arwah Jadi Kenangan Buat Keluarga

Menurut bapanya, Khairol Rizal Mustafar, 42, anak kedua daripada empat beradik itu sudah beberapa kali menyuarakan hasrat yang sama namun beliau hanya menganggapnya sebagai perbualan kosong seorang anak kecil.

“Dah lama juga dia tanya soalan ini, kalau meninggal dunia masa kecil boleh terus masuk syurga ke? Kalau macam tu dia mahu meninggal masa kecil. Bila saya tanya apa cita-cita bila besar nanti, arwah jawab tidak tahu. Rupanya dia nak pergi dulu,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.

Khairol Rizal yang juga Imam 2 Masjid Khairiah turut berada di sekolah berkenaan semasa kejadian kerana memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) PIBG untuk program hari sukan yang dirasmikan ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Detik Cemas Di Hari Sukan

Bercerita lanjut, beliau berkata keadaan menjadi kecoh selepas dimaklumkan ada murid terjatuh ke dalam lubang kumbahan.

“Bila dengar ada budak jatuh, saya tak terus ke tempat kejadian tapi saya pergi padang dulu nak tengok anak-anak saya. Jumpa anak ketiga, saya lega tapi Abdul Fattah saya tak jumpa…” ceritanya dengan suara sebak.

Menurutnya lagi, seorang guru memaklumkan bahawa anaknya adalah mangsa yang terjatuh ke dalam lubang dan sedang diberi bantuan kecemasan.

“Masa saya sampai, anak saya dah dibawa naik dan diberikan CPR dalam keadaan tak sedarkan diri. CPR dibuat hampir setengah jam… akhirnya doktor kata prosedur dah buat sepenuhnya, memang tak boleh selamatkan sebab air dah banyak masuk dalam badan,” katanya.

Arwah Hanya Hadir Memeriahkan Program

Abdul Fattah tidak menyertai sebarang acara balapan pada hari kejadian kerana tidak terpilih dalam saringan sebaliknya hanya hadir untuk memeriahkan program.

“Saya tidak mengetahui secara tepat bagaimana kejadian berlaku, namun dimaklumkan ada orang terdengar bunyi sesuatu jatuh. Saya pun tak tahu apa tujuan dia ke belakang bangunan, tak tahu kenapa dia berlari ke situ,” ujarnya lagi.

Walaupun sedih kehilangan anak lelaki tunggal dalam keluarga, Khairol Rizal tetap menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Pesanan Kesedaran Buat Ibu Bapa

Kes ini menjadi peringatan tentang pentingnya aspek keselamatan di kawasan sekolah dan program melibatkan kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang diuji kehilangan anak, doa dan sokongan moral amat penting untuk terus kuat.

Pa&Ma mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Abdul Fattah. Semoga Allah mengangkat darjat arwah di syurga dan memberikan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan.

Sumber : Sinar Harian

Published by
Nana