MyKad Baharu Bermula Jun 2026, Ini Ciri Keselamatan Terkini & Siapa Perlu Tukar?

Share

MyKad baharu 2026 dijangka menjadi perhatian ramai apabila kerajaan merancang memperkenalkannya sekitar Jun 2026 dengan pelbagai penambahbaikan dari sudut keselamatan serta teknologi terkini.

Perubahan ini bukan hanya melibatkan reka bentuk kad semata-mata, malah turut merangkumi fungsi yang lebih moden bagi memudahkan urusan harian rakyat Malaysia.

Selari dengan perkembangan dunia digital masa kini, MyKad generasi baharu ini dijangka hadir dengan penggunaan yang lebih praktikal, pantas dan selamat. Jadi, apakah pembaharuan yang bakal diperkenalkan dan siapakah yang perlu menukar kepada versi terkini ini?

Apa Itu MyKad Baharu?

MyKad merupakan kad pengenalan pintar rasmi untuk warganegara Malaysia yang diperkenalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kad ini digunakan sebagai dokumen pengenalan diri bagi individu berumur 12 tahun ke atas.

MyKad turut dilengkapi cip khas yang menyimpan maklumat peribadi pemilik dan boleh digunakan untuk pelbagai urusan serta aplikasi tertentu.

Menerusi laporan Bernama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa kerajaan kini dalam persediaan untuk memperkenalkan MyKad dengan rekaan serta ciri keselamatan baharu bermula Jun 2026. Pada masa sama, pelaksanaan aplikasi National Integrated Immigration System (MyNIISe) pula dijadual diperkenalkan sekitar September 2026.

Selain itu, pindaan Akta Pendaftaran Negara turut diperkasakan menerusi kesiapsiagaan infrastruktur digital, latihan kepada pegawai berkaitan, audit berkala serta kerjasama bersama agensi penguatkuasaan bagi memastikan setiap pelaksanaan berjalan secara lebih cekap dan berintegriti.

Di samping pembaharuan MyKad, pasport Malaysia juga bakal menerima penambahbaikan dari aspek reka bentuk dan keselamatan menerusi pelaksanaan secara berperingkat oleh Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen Malaysia.

Ciri-Ciri MyKad Baharu

Antara pembaharuan yang dijangka diperkenalkan untuk MyKad generasi baharu ialah:

  • Rekaan lebih moden dan terkini
  • Menggunakan bahan polikarbonat berkualiti tinggi
  • Dilengkapi ciri keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko pemalsuan
  • Ketahanan kad yang lebih baik dan tahan lama
  • Mempunyai elemen pengesahan digital berlapis

Adakah Semua Perlu Tukar MyKad Baharu?

Jawapannya tidak.

Bukan semua rakyat Malaysia diwajibkan menukar MyKad sedia ada kepada versi baharu yang bakal diperkenalkan nanti.

Sekiranya MyKad anda masih berada dalam keadaan baik, cip masih boleh dibaca dan tiada perubahan maklumat peribadi, kad tersebut masih boleh digunakan seperti biasa.

MyKad sedia ada juga kekal sah sehingga tamat tempoh dan orang ramai tidak perlu terburu-buru membuat pertukaran.

Bila Perlu Tukar MyKad?

Antara situasi yang memerlukan seseorang membuat gantian MyKad ialah:

  • MyKad rosak
  • MyKad hilang
  • Pertukaran alamat
  • Pertukaran maklumat peribadi seperti nama atau agama
  • Naik taraf daripada MyKid kepada MyKad apabila berumur 12 tahun

Selain daripada situasi di atas, tiada keperluan untuk menukar MyKad buat masa ini.

Sehingga kini juga, tiada pengumuman rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara yang mewajibkan rakyat Malaysia menukar MyKad kepada versi baharu.

Maklumat Lanjut

Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi:

Laman web: e-Pertanyaan (SISPAA JPN)

atau sila hubungi:
Pegawai Perkhidmatan Pelanggan
Tel : 03-80008000
Faks : 03-88808288
Emel (@jpn.gov.my)

Facebook : Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia
Laman web: https://www.jpn.gov.my

 

Published by
SRM