
Bermula hari ini, 17 September 2026, rakyat Malaysia yang membuat permohonan kad pengenalan boleh mula menerima MyKad Generasi Baharu yang tampil dengan reka bentuk serta ciri keselamatan dipertingkatkan.
Namun bagi anda yang masih menggunakan MyKad sedia ada, tak perlu tergesa-gesa ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semata-mata mahu mendapatkan kad versi baharu.
Menurut JPN, MyKad sedia ada masih boleh digunakan seperti biasa selagi kad tersebut berada dalam keadaan baik dan tidak rosak. Peralihan kepada MyKad Generasi Baharu juga dilaksanakan secara berperingkat, bukannya melibatkan pertukaran semua kad secara serentak.
Antara perkara paling menarik mengenai kad generasi baharu ini ialah peningkatan ketara pada ciri keselamatannya.
Kad versi baharu itu mempunyai 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri pada versi terdahulu.
Antara ciri yang diperkenalkan termasuk turihan atau ukiran laser, elemen ultraungu, hologram, corak guilloche, teks mikro serta kod QR bagi tujuan penguatkuasaan.
Cip pada kad berkenaan turut menggunakan tahap enkripsi yang dipertingkatkan bagi memperkukuh keselamatan identiti pemegang kad.
JPN sebelum ini menjelaskan pembaharuan tersebut dibuat bagi memastikan dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia terus mempunyai tahap keselamatan yang sesuai dengan perkembangan teknologi serta membantu menangani risiko pemalsuan dan penyalahgunaan identiti.
Bagi permohonan yang tidak bermasalah dan memenuhi syarat ditetapkan, MyKad Generasi Baharu mula dikeluarkan pada 17 September 2026.
Sebanyak 40 cawangan JPN di seluruh negara yang mempunyai kemudahan cetakan boleh menyiapkan MyKad Generasi Baharu pada hari yang sama.
Antara lokasi tersebut termasuk JPN Putrajaya, JPN Petaling Jaya, JPN Selangor, UTC Selangor, JPN Kuala Lumpur serta beberapa pejabat JPN dan UTC di negeri-negeri lain.
Bagi cawangan yang tidak mempunyai kemudahan mencetak kad versi baharu itu, JPN memaklumkan kad berkenaan akan disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja bagi permohonan yang memenuhi syarat.
Dalam keterujaan melihat rupa dan ciri baharu MyKad, orang ramai diingatkan supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat JPN hanya untuk menukar kad lama kepada versi terkini.
JPN menjelaskan bahawa pemegang MyKad sedia ada tidak perlu membuat pertukaran semata-mata kerana MyKad Generasi Baharu sudah diperkenalkan, selagi kad yang digunakan tidak rosak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini juga menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menggantikan MyKad kerana proses berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa, manakala MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk urusan harian.
Jadi, tak perlu risau jika anda masih memegang MyKad versi lama selepas hari ini.
Walaupun kebanyakan pemegang MyKad tidak diwajibkan terus membuat pertukaran, JPN memaklumkan pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad tanpa ciri “ghost image” perlu membuat pertukaran kepada MyKad Generasi Baharu.
Bagi mereka yang memang perlu membuat permohonan MyKad atas sebab tertentu seperti kad rosak, hilang atau urusan penggantian yang lain, permohonan boleh dibuat mengikut prosedur sedia ada.
Orang ramai juga digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu sebelum hadir ke JPN bagi memudahkan urusan di kaunter.
Satu lagi perkara yang mungkin menjadi persoalan ramai, nombor kad pengenalan tidak akan berubah
apabila seseorang menerima kad generasi baharu.Maklumat peribadi pada kad juga kekal berdasarkan rekod rasmi JPN. MyKad baharu boleh digunakan untuk urusan kerajaan seperti biasa, termasuk urusan yang menggunakan kad pengenalan sebagai medium pengesahan.
Jadi buat masa ini, tak perlu tergesa-gesa. Kalau MyKad yang ada masih elok dan boleh digunakan, teruskan sahaja seperti biasa. MyKad Generasi Baharu akan diperkenalkan secara berperingkat apabila tiba masa untuk anda membuat permohonan atau penggantian kad.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Berita Harian