Bergelar bapa kepada dua anak yang masih kecil memerlukan tumpuan yang bukan sedikit. Namun bagi pengacara Nabil Mahir yang juga suami kepada Ayda Jebat, dia menikmati malah mensyukuri nikmat kehidupan bergelar bapa.
Tambah Nabil lagi yang dipilih sebagai penerima anugerah Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Papa Millennial meluahkan rasa bahagia dan nikmatnya bergelar seorang bapa.
Malah kata Nabil lagi sebolehnya dia mahu memperuntukkan lebih masa dengan anak serta tidak pernah rasa terbeban.
“Alhamdulillah bila kita dah ada anak ni rezeki pun makin bertambah. Alhamdulillah struggle jaga anak ni pada saya bila nak bangun malam saja.
“Tambah pula anak pertama dah besar sikit dan anak kedua pula kecil, nak kena lalui lagi sekali ia jadi sukar tapi bagi saya ia bukan masalah sebab saya cukup enjoy perjalanan menjadi seorang bapa.
“Bagi saya kalau tak enjoy journey ni apa makna kehidupan kita. Kalau kita jadi bapa, kita cuba enjoy dengan setiap momen. Bagi saya semua momen ini akan berlalu dengan cepat.
“Sampai satu waktu saya pasti akan rindukan fasa-fasa waktu anak masih bayi dulu. Jadi enjoy lah dengan setiap momen dengan anak-anak,” kata Nabil berkongsi kisah hidupnya bergelar bapa.
Tambah Nabil lagi dia sebolehnya mahu sentiasa bersama dengan anak dalam setiap masa biarpun terpaksa mengorbankan masa untuk dirinya sendiri.
Ads
“Saya sebenarnya suka sangat main game, sejak kecil lagi memang minat cuma bila dah jadi parent ini saya tak ada masa untuk semua itu.
“Kadang nak me time, kita pun cubalah nak main game tapi baru nak main tiba rasa macam tak cukup main dengan anak tadi. Off balik dan saya main dengan anak.
“Saya memang nak main game sangat-sangat tapi saya tak nak kehilangan masa saya sekarang dengan anak-anak. Begitulah,” luahnya.
Karektor anak-anak berbeza
Ketika ditanya mengenai keletah dua anaknya, akui Nabil ia momen yang paling mengujakan lebih-lebih lagi kini anak sulungnya, Ana Nayla sudah semakin menampakkan karektornya.
“Dua-dua alhamdulillah sangat baik dan mudah dijaga. Apa yang membezakan perangai keduanya ialah Nayla dia sangat bersifat keperempuanan. Dia paling suka menari. Masa dekat pertunjukkan sekolah dia pandai dan cepat ikut rentak menari dan keadaan itu buat kami berdua terkejut.
Ads
“Masa Ayda masuk pertandingan hari itu dia pun tengok macam mana ibu dia buat persembahan dan dia pun nak buat sama. Dia suka,” tambahnya lagi.
Bercerita kisah anak sulungnya itu kata Nabil lagi, dia kini melalui fasa-fasa yang amat diimpikannya sejak dulu bila mana anak perempuannya mula cemburu dengan Ayda dan merebut perhatiannya.
“Orang kata anak perempuan ni anak daddy kan tapi tidak pada Nayla, dia lebih rapat dengan ibu dia. Tapi satu momen ni yang cukup menyentuh hati saya dan dah lama saya tunggu-tunggu sejak dulu.
“Hari ini dia bangun tidur dia cakap ‘I want Dada dan terus peluk saya tapi Ayda pun menyakat nak peluk saya dan waktu itulah dia tolak dan tepis tangan Ayda. Dia cakap “No, Dada is mine”.
Ads
“Dah lama saya tunggu momen ni tapi sayangnya saya tak dapat nak rekod momen itu sebab berlaku secara spontan saja,” ujarnya berkongsi.
Bagi Nabil lagi, dua anaknya sememangnya dibawah jagaannya sepenuhnya dan dia tidak kekok menguruskan kedua-duanya sekali.
Ayda Jebat jadi penguat
Pun begitu tanpa sokongan Ayda, pastinya kehidupannya bergelar bapa tidak sempurna. Malah kata Nabil lagi, Ayda adalah kekuatan bagi dirinya.
“Kalau Ayda tak ada saya rasa saya tak sekuat apa yang saya ada hari ini. Dia seorang yang sentiasa bagi saya motivasi.
“Dia bukan bagi kata-kata semangat tapi cara dia sentiasa buat saya rasa bersemangat untuk buat sesuatu.
“Kadang-kadang kalau saya tak cakap dengan dia pun dia boleh tahu. Dia selalu datang pada waktu yang tepat untuk bertanyakan pada saya sama ada saya okay atau tidak.
“Bagi saya dalam rumah tangga, kita tak boleh harapkan pasangan bagi 50-50. Ada waktunya kita kena bagi 90-10 mengikut situasi dan saling bekerjasama,” tambah Nabil lagi.
Terdahulu Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021. Pasangan ini kini dikurniakan dengan sepasang cahaya mata, Ana Nayla dan Aali Mateen.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu ayah mungkin pernah mendengar ayat, “Tak apa, nanti pandailah dia sendiri,” apabila anak lambat bercakap, lambat berjalan, susah fokus atau sukar bergaul dengan orang lain.
Memang benar setiap anak membesar pada kadar yang berbeza. Ada yang cepat bercakap, ada yang lambat sedikit. Ada yang aktif bergerak, ada pula yang memerlukan lebih masa untuk yakin mencuba sesuatu.
Namun begitu, ibu ayah juga tidak boleh terlalu lama menunggu jika perkembangan anak kelihatan jauh berbeza daripada usia sepatutnya. Masalah pembelajaran anak bukan sesuatu yang perlu disembunyikan. Ia bukan tanda ibu ayah gagal mendidik, bukan juga bermaksud anak malas atau degil. Sebaliknya, ia mungkin petunjuk awal bahawa anak memerlukan pemerhatian, sokongan dan bantuan yang lebih sesuai.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Wai Loong, di Malaysia seramai 7.4 peratus kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022.
Kadar prevalens tersebut merangkumi kelewatan dalam kemahiran motor kasar sebanyak 1.0 peratus, kemahiran motor halus 1.9 peratus, pertuturan dan pendengaran 2.7 peratus serta perkembangan sosial 4.1 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa statistik ini menunjukkan kepentingan pengesanan awal dan bantuan yang sesuai bagi menangani cabaran perkembangan kanak-kanak dengan lebih berkesan.
Walaupun angka ini kelihatan kecil, bagi ibu ayah yang sedang membesarkan anak, ia membawa makna yang sangat besar. Setiap kelewatan perkembangan boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran apabila anak mula memasuki taska, tadika atau sekolah.
Pembelajaran bukan sekadar kebolehan membaca, mengira atau menulis. Sebelum mencapai tahap tersebut, anak perlu menguasai pelbagai kemahiran asas yang menjadi asas kepada perkembangan mereka.
Anak perlu mampu duduk dengan stabil, memegang pensel, mendengar arahan, memahami bahasa, menyebut perkataan, bermain bersama rakan, menunggu giliran dan mengawal emosi. Semua kemahiran ini saling berkait rapat dengan perkembangan motor, bahasa, sosial dan kognitif.
Jika terdapat gangguan dalam mana-mana aspek perkembangan ini, anak mungkin kelihatan seperti tidak mahu belajar sedangkan hakikatnya mereka sedang bergelut untuk memahami, memproses atau melakukan sesuatu kemahiran.
Sebagai contoh, anak yang mempunyai kelemahan motor halus mungkin sukar memegang pensel dan cepat berasa penat ketika menulis. Anak yang mengalami kelewatan pertuturan pula mungkin sukar menjawab soalan guru atau menyampaikan keperluan mereka sendiri.
Begitu juga dengan anak yang mengalami kelewatan perkembangan sosial. Mereka mungkin tidak tahu cara bermain bersama rakan, berkawan atau mengikuti rutin di dalam kelas.
Oleh sebab itu, ibu ayah tidak seharusnya menganggap perkembangan anak sebagai perkara kecil. Ia merupakan asas penting yang membentuk keyakinan diri, komunikasi, emosi dan keupayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Antara kesilapan yang sering berlaku ialah ibu ayah menunggu terlalu lama kerana menganggap anak akan mengejar perkembangan sendiri apabila semakin membesar.
Ada yang hanya mula risau apabila anak memasuki tadika tetapi masih belum boleh bercakap dengan jelas, tidak memahami arahan mudah atau sukar bergaul dengan rakan sebaya.
Sebenarnya, pemerhatian awal memainkan peranan yang sangat penting. Lebih awal ibu ayah bertindak, lebih banyak peluang untuk anak dibantu melalui intervensi, terapi, latihan di rumah atau sokongan pembelajaran yang sesuai.
Anak kecil mungkin belum mampu memberitahu apa yang mereka rasa atau apa yang mereka sukar lakukan. Oleh itu, ibu ayahlah yang perlu lebih peka melihat perubahan tingkah laku dan perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Berikut ialah beberapa tanda yang wajar diberi perhatian oleh ibu ayah sekiranya berlaku secara berterusan.
Antara tanda yang paling mudah disedari ialah anak lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusia. Contohnya, anak masih kurang menggunakan perkataan, sukar menyebut ayat mudah atau hanya menunjuk apabila mahukan sesuatu.
Ada anak yang memahami arahan tetapi sukar meluahkan apa yang mereka mahu. Ada juga yang kurang menunjukkan usaha untuk berkomunikasi dengan orang di sekeliling.
Jika keadaan ini berterusan, jangan sekadar berharap anak akan bercakap sendiri. Pemeriksaan pendengaran, penilaian bahasa atau terapi pertuturan mungkin diperlukan bagi membantu perkembangan mereka.
Anak kecil biasanya mula memahami arahan ringkas seperti “ambil kasut”, “duduk sini”, “beri pada mama” atau “letak mainan dalam kotak”. Kemahiran ini berkembang secara berperingkat mengikut usia dan menjadi asas kepada proses pembelajaran.
Jika anak kerap kelihatan terpinga-pinga, tidak memberi respons atau gagal mengikut arahan mudah walaupun telah diulang beberapa kali, ibu ayah perlu memberi perhatian. Keadaan ini mungkin berkait dengan pemahaman bahasa, pendengaran, tumpuan atau perkembangan kognitif.
Semakin awal puncanya dikenal pasti, semakin mudah anak menerima bantuan yang bersesuaian.
Sesetengah ibu ayah mungkin menyangka anak terlalu leka bermain apabila tidak menoleh apabila nama dipanggil. Namun, jika perkara ini berlaku secara konsisten bersama tanda seperti kurang bertentang mata, kurang berminat berinteraksi atau jarang memberi respons kepada orang di sekeliling, ia tidak seharusnya dipandang ringan.
Langkah pertama ialah memastikan pendengaran anak berada dalam keadaan baik. Selepas itu, ibu ayah boleh mendapatkan penilaian perkembangan sekiranya kebimbangan masih berterusan.
Kemahiran motor halus memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak. Ia melibatkan penggunaan jari dan tangan untuk memegang sudu, menyusun blok, membuka bekas, mengoyak kertas, mewarna dan memegang pensel.
Jika anak kelihatan terlalu sukar melakukan aktiviti ini berbanding rakan seusia, cepat berputus asa atau sering mengelakkan aktiviti yang menggunakan tangan, jangan terus menganggap mereka malas.
Anak mungkin memerlukan sokongan bagi menguatkan otot kecil tangan, meningkatkan koordinasi mata dan tangan atau menangani cabaran sensori tertentu yang akhirnya boleh memberi kesan kepada kemahiran menulis.
Motor kasar merangkumi kemahiran seperti duduk, merangkak, berdiri, berjalan, berlari, melompat dan memanjat.
Jika anak lambat berjalan, kerap terjatuh, sukar menaiki tangga atau kelihatan kurang yakin melakukan aktiviti fizikal mengikut usia, ibu ayah digalakkan mendapatkan pandangan profesional.
Motor kasar yang baik bukan sahaja membantu aktiviti harian, malah membina keseimbangan badan, koordinasi serta keyakinan diri apabila anak mula belajar di persekitaran sekolah.
Bermain merupakan proses pembelajaran yang sangat penting bagi kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain, mereka belajar berkongsi, menunggu giliran, berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan memahami emosi orang lain.
Jika anak lebih gemar bermain bersendirian secara berulang, kurang berminat berkawan, sukar berkongsi perhatian atau tidak meniru cara bermain rakan sebaya, ibu ayah perlu memantau perkembangan sosial mereka dengan lebih teliti.
Perkembangan sosial yang terganggu boleh menyebabkan anak menghadapi kesukaran menyesuaikan diri apabila memasuki taska atau tadika.
Ada kanak-kanak yang sukar menerima perubahan kecil dalam rutin harian seperti laluan ke sekolah yang berbeza, makanan yang berubah atau jadual aktiviti yang tidak sama seperti kebiasaan.
Mereka mungkin menangis berlebihan, mengalami tantrum yang berpanjangan atau sangat sukar dipujuk apabila rutin berubah.
Walaupun kanak-kanak sememangnya memerlukan rutin yang konsisten, reaksi yang terlalu kuat dan kerap sehingga mengganggu kehidupan harian mungkin menunjukkan keperluan kepada penilaian lanjut.
Anak kecil memang aktif dan mudah beralih perhatian. Namun begitu, jika mereka langsung tidak mampu memberi tumpuan walaupun kepada aktiviti ringkas yang sesuai dengan usia, ibu ayah perlu mengambil perhatian.
Contohnya, anak tidak boleh duduk mendengar cerita pendek, cepat meninggalkan aktiviti, gagal menyiapkan tugasan mudah atau terlalu aktif sehingga sukar mengikuti rutin.
Masalah tumpuan boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran kerana anak sukar menerima arahan, memahami pengajaran dan menyiapkan tugasan dengan baik.
Perkara paling penting ialah jangan menyembunyikan keadaan anak kerana malu atau bimbang dipandang serong. Mendapatkan bantuan awal bukan bermaksud ibu ayah gagal, sebaliknya menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap perkembangan anak.
Anak yang mengalami kelewatan perkembangan bukan bererti mereka tidak bijak. Mereka mungkin hanya memerlukan pendekatan pembelajaran, terapi atau sokongan yang berbeza mengikut keperluan masing-masing.
Ada yang memerlukan terapi pertuturan, terapi cara kerja, pemeriksaan pendengaran atau penilaian perkembangan bagi mengenal pasti sama ada terdapat keadaan seperti autisme, ADHD atau kesukaran pembelajaran tertentu.
Pertama, perhatikan perkembangan anak mengikut usia dan catat perkara yang telah mereka kuasai serta perkara yang masih mencabar. Maklumat ini sangat membantu doktor atau ahli terapi semasa proses penilaian.
Kedua, elakkan membandingkan anak dengan adik-beradik atau anak orang lain secara berlebihan. Setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza.
Ketiga, jangan berlengah mendapatkan pemeriksaan sekiranya timbul keraguan. Ibu ayah boleh mendapatkan nasihat daripada klinik kesihatan, pakar pediatrik, pakar perkembangan kanak-kanak, audiologis, ahli terapi pertuturan atau ahli terapi cara kerja mengikut keperluan.
Keempat, teruskan memberi rangsangan di rumah melalui aktiviti mudah seperti membaca buku bersama, berbual, menyanyi, bermain blok, melukis, bermain di luar dan melibatkan anak dalam rutin harian. Aktiviti harian yang konsisten memberi manfaat besar kepada perkembangan bahasa, motor, sosial dan emosi.
Ibu ayah perlu memahami bahawa kelewatan perkembangan bukanlah pengakhiran. Ramai kanak-kanak menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan apabila menerima intervensi awal dan sokongan yang tepat.
Jangan tunggu sehingga anak jauh ketinggalan sebelum bertindak. Jangan tunggu guru yang menyedarinya terlebih dahulu. Jika naluri ibu ayah merasakan ada sesuatu yang tidak kena, dapatkan penilaian secepat mungkin.
Lebih baik menjalani pemeriksaan dan mengetahui anak berkembang dengan baik daripada menunggu terlalu lama sehingga peluang intervensi awal terlepas.
Akhir sekali, masalah pembelajaran anak bukan untuk disembunyikan. Ia perlu difahami, diterima dan ditangani dengan penuh kasih sayang. Anak-anak tidak memerlukan ibu ayah yang sempurna, tetapi mereka memerlukan ibu ayah yang peka, berani bertindak dan sentiasa memberikan sokongan sepanjang proses perkembangan mereka.
Sumber: Harian Metro, National Health and Morbidity Survey 2022: Maternal and Child Health, Institute for Public Health, National Institutes of Health Malaysia , CDC — Learn the Signs. Act Early: Developmental Milestones & WHO — Nurturing Care for Early Childhood Development.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesebuah perkahwinan tidak akan lengkap jika suami isteri itu tidak pernah bermasam muka. Ia adalah normal, kerana dalam kehidupan yang dikongsi dengan dua hati dan pemiran berbeza sudah tentu ada rasa tidak puas hati dan sebagainya.
Dengan bergaduh manja, ia akan membuatkan hubungan sesebuah pasangan lebih kuat dan saling memahami. Perselisihan pendapat pasti berlaku kerana pertembungan pendapat dua individu dengan perwatakan dan cara berfikir yang berbeza.
Ketika bergaduh dengan pasangan, tidak bolehlah kedua-duanya menunjukkan ‘angin’ masing-masing.
Jika salah seorang sudah jadi api, maka yang seorang lagi perlulah menjadi air. Tidak salah beralah, anda tidak kalah pun.
Selepas amarah mulai kurang, pasangan anda pasti akan merasa bersalah kerana memperlakukan begitu. Pada waktu itulah, paling sesuai untuk kalian berbincang dan masing-masing mengakui kesilapan sendiri.
Untuk mengekalkan kebahagiaan dalam perkahwinan, ada dua elemen penting yang harus dibuat bersama. Pertama, solat berjemaah. Kedua, saling bermaafan. Sebaiknya, tidurlah dalam keadaan anda dan pasangan saling menyayangi dan tidak bergaduh. Mengapa solat berjemaah itu penting?
Saat usai solat, isteri akan bersalam dengan suami dan mencium tangannya. Itu adalah satu simbol bagi mengingatkan si isteri bahawa suami adalah ketua dan perlu dihormati.
Sebelum tidur, bermaafan sesama sendiri. Dengan cara ini, Allah SWT akan memberi ketenangan kepada kita sekaligus melindungi rumah tangga dari sebarang anasir jahat.
1. Setiap hari kita akan sedar kesilapan yang kita lakukan. Mungkin salah itu tidaklah besar dan kita pun tak sedar telah berbuat silap. Jadi dengan tabiat bermaafan sebelum tidur, pasangan akan reda dan kita tiada lagi ‘hutang’ maaf terhadap si dia.
2. Apabila saling bermaafan, kita akan sedar yang pasangan selalu peka dengan perlakuan atau perkataan yang dibuat. Jadi tidaklah kita mengulangi perkara yang sama pada masa hadapan kerana sudah tahu, pasangan kita tidak suka dengannya.
3. Hati lebih tenang jika kita tidur dalam keadaan sudah mohon maaf dan juga memaafkan orang lain. Ia adalah sifat yang mulia dan sangat diredai oleh Allah SWT. Tidur dalam dendam akan membuatkan kita menjadi manusia yang negatif.
Sekiranya anda sedang bertelagah dengan pasangan. Dalam hati terasa amarah yang teruk, jangan lupa untuk terus beristighfar dan bolehlah baca doa ini.
Sebenarnya, kepentingan bermaafan ini sangat banyak. Kesimpulannya, katakan jika pasangan kita ‘pergi’ ketika dalam tidur (minta dijauhkan), sekurang-kurangnya kita sudah pun bermaafan dengan satu sama lain.
Apabila dapat memberi kebaikan dan mafaat kepada orang lain, alangkah bertuahnya kehidupan kita kan? Apa lagi jika kebaikan yang kita berikan itu, pahalanya mudah-mudahan berpanjangan dan berbalik keindahannya untuk kita pula.
Pengacara dan penyamapi radio popular, Nabil Ahmad berkongsi tentang rancangannya untuk membina sebuah madrasah di rumah keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan. Kata bapa kepada tiga orang cahaya mata perempuan ini, kos untuk menjayakan pembinaan madrasah tersebut mencecah RM500,000.
Nabil turut memberitahu perancangan dan proses kerja dijangka bermula awal tahun hadapan dan tambahnya, madrasah tersebut akan merangkumi penempatan khas untuk pelajar tahfiz. Keluasan tanah untuk projek madrasah ini adalah sekitar satu ekar setengah dan Nabil memberitahu yang dia mahu setiap inci tanah itu digunakan sepenuhnya.
“Sekarang saya biaya sendiri untuk proses pembinaan madrasah tu tapi insya-Allah saya akan buka untuk sesiapa yang nak sama-sama menyumbang.
Ramai yang mesej saya, nak sama-sama turut serta bila saya kongsikan tentang perancangan saya untuk membina madrasah ni.”
Kos pembinaan bukan saja untuk penempatan pelajar tahfiz tetapi turut melibatkan tempat tinggal para pengajar dan ruangan untuk orang luar datang belajar mengaji. Tambah Nabil lagi, setakat ini kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh dirinya sendiri namun berkemungkinan dia akan turut membuka peluang untuk orang lain yang mempunyai niat untuk menyumbang.
Kata Nabil, dia mengharapkan ibunya berpeluang untuk sama-sama melihat proses pembinaan madrasah itu kerana itu adalah antara hasrat ibunya juga. Tambah Nabil, ibunya sering bertanyakan perkembangan pembinaan madrasah tersebut kerana sudah lapan tahun menjalani rawatan dialisis.
“Ibu selalu tanya, dia risau sebab dia pun dah tua. Dia mahu jadikan madrasah itu untuk jadi bekalan di akhirat.”
Pengacara program Meletop itu turut mempunyai impian agar ibunya dapat melihat madrasah itu siap dan didiami pelajar serta beroperasi kerana itulah salah satu harapan ibu kesayangannya.
Keputusan untuk memiliki anak bukanlah sesuatu yang mudah bagi kebanyakan pasangan hari ini. Selain perlu bersedia dari segi emosi dan fizikal, ibu bapa turut memikirkan kos sara hidup, penjagaan anak, kestabilan pekerjaan serta kemampuan untuk membesarkan keluarga dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.