Pasangan selebriti yang sering mencuri perhatian ramai, Nad Zainal dan suaminya Ungku Ismail, sekali lagi membuktikan mereka bukan sekadar berbakat dalam bidang seni, tetapi juga bijak mengambil peluang dalam dunia teknologi dan pendidikan. Terbaru, pasangan ini melancarkan sebuah aplikasi pendidikan interaktif yang dinamakan “Power Congak” khas untuk kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Aplikasi Bijak, Anak Seronok Belajar
Power Congak bukan sekadar permainan digital biasa. Ia dibina dengan objektif untuk mengasah kemahiran mengira dan logik kanak-kanak dalam suasana yang menyeronokkan. Direka khas dengan grafik mesra kanak-kanak dan sistem pembelajaran yang interaktif, aplikasi ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk memperkenalkan konsep matematik secara santai sejak awal usia.
Menurut Ungku Ismail, aplikasi ini direka agar mudah diakses oleh semua golongan masyarakat, dengan harga yang sangat berpatutan. “Kami mahu lebih ramai anak-anak Malaysia dapat akses kepada pembelajaran berkualiti dalam bentuk digital,” ujarnya.
Dapat Pujian Ramai
Netizen rata-rata memuji inisiatif pasangan ini yang dilihat bukan sahaja memperjuangkan pendidikan awal kanak-kanak, tetapi juga memanfaatkan platform mereka untuk memberi inspirasi. Ramai ibu bapa yang sudah mencuba aplikasi ini berkongsi pengalaman positif, malah ada yang mengatakan anak mereka lebih fokus belajar mengira selepas menggunakan Power Congak.
Ads
“Anak saya memang suka! Tak sangka congkak boleh jadi secanggih ni dalam bentuk digital,” kata salah seorang pengguna.
Menariknya, dalam satu perkongsian di Threads oleh @rumahdanrawat, beliau memuji Power Congkak sebagai antara usaha selebriti yang patut dicontohi. Beliau turut menyatakan sokongan dengan melanggan aplikasi tersebut dan menyifatkannya sebagai sangat mampu milik.
“Apps Power Congak by Ungku Ismail untuk anak seawal 5 tahun. Sebab dia produce benda bagus, ak support dan subscribe terus. Murah je bulanan dia.”
Beberapa komen lain turut menyentuh latar belakang pasangan ini yang berilmu dan bijak:
“Memang Ungku Ismail ni guna kebijakkan dia pada masyarakat. Dapat pula wife yang supportive mcm Nad.”
“Kan. Both sangat educated dan bijak!”
“Ungku Ismail pun budak pandai… grad overseas… course engineering, tak silap…”
Ads
Tak kurang juga yang berkongsi keterujaan menggunakan aplikasi ini:
“Setuju, plus apps ni bukan budak-budak je download, aku yang mak budak ni pun excited menjawab hahaha.”
Inspirasi Untuk Ibu Bapa Muda
Langkah Nad dan Ungku membuka mata ramai bahawa pendidikan kini tidak lagi terhad kepada buku dan bilik darjah. Dengan pendekatan yang kreatif dan inovatif, ibu bapa muda juga mampu mencipta solusi pembelajaran yang menarik dan efektif untuk anak-anak mereka.
Antara tip untuk ibu bapa yang ingin mencipta aplikasi sendiri:
Fahami sasaran usia dan reka bentuk sesuai.
Gabungkan pembelajaran dengan hiburan.
Tetapkan harga yang mampu milik.
Gunakan kisah atau naratif yang menyentuh hati.
Dapatkan maklum balas pengguna awal.
Inisiatif ini turut menjadi pemangkin kepada lebih ramai selebriti dan individu berpengaruh untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan cara yang bermanfaat.
Power Congak bukan sekadar aplikasi. Ia adalah simbol semangat, kreativiti dan keprihatinan terhadap masa depan generasi muda. Tahniah buat Nad Zainal dan Ungku Ismail – semoga terus maju jaya dan menjadi inspirasi buat ibu bapa di luar sana!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seronoknya mama papa bila dengar perkataan pertama si kecil tersayang. Ada yang siap rekodkan video bila anak sebuat perkataan pertama dan ada juga tulis dalam jurnal untuk dijadikan sebagai kenangan bila mereka besar nanti.
Kemahiran anak untuk bercakap merupakan perkara penting dalam tumbesaran si kecil, jadi untuk mendidik mereka supaya cekap bercakap ada beberapa perkara yang boleh dibuat oleh mama papa sendiri.
Seperti yang disebutkan dalam penulisan Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Ketahui lebih lanjut dalam artikel di bawah:
8 PETUA MENDIDIK SI KECIL UNTUK CEKAP BERCAKAP
Kemahiran berbahasa atau bercakap merupakan suatu kemahiran yang penting, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun (tahun-tahun sebelum pendidikan formal bemula di sekolah rendah kelak). Kita semua manusia yang hidup dalam dunia sosial sama ada dalam unit keluarga, komuniti atau masyarakat. Kemahiran berbahasa atau bercakap dapat membina jambatan antara si kecil dengan dunia sekeliling seawal usianya.
Untuk memahami betapa pentingnya kemahiran komunikasi lisan ini, anda sebagai papa dan mama hanya perlu membayangkan kepayahan yang dihadapi oleh seorang anak kecil yang tidak boleh bercakap kerana dilahirkan dalam keadaan kurang upaya atau yang lambat bercakap kerana faktor fisiologi, psikologi dan sebagainya. Dalam keadaan seperti, walaupun ia tidaklah bererti dunia sudah pun berakhir, banyak kepayahan yang perlu dihadapi sebelum si kecil dalam memahirkan diri dengan bahasa isyarat misalnya.
Oleh itu, memandangkan betapa pentingnya kemahiran berbahasa atau bercakap dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia sebelum pendidikan praformal bermula, pada bulan ini izinkan saya berkongsi dengan mama, papa dan pendidik prasekolah semua lapan petua yang boleh dicuba supaya si kecil akan cekap bercakap.
Pertama: Cuba gunakan bahasa orang dewasa dalam percakapan seharian
Memang benar, tujuan proses komunikasi lisan ialah untuk memastikan kita memahami maksud yang disampaikan oleh orang lain dan kita dapat pula menyampaikan hasrat, maksud atau menzahirkan perasaan yang kita rasai. Walaupun papa atau mama mahu si kecil memahami anda dengan cepat lagi mudah, itu tidak bermakna anda tidak boleh memasukkan perkataan orang dewasa ke dalam perbendaharaan kata mereka.
Sesekali gunakan perkataan, frasa atau ayat yang anak anda mungkin tidak faham, tetapi yang sering digunakan dalam perbualan orang dewasa. Pastikan anda galakkan si kecil anda untuk meminta penjelasan apabila dia tidak memahami sesuatu dan pastikan anda bersedia memberi penerangan. Penggunaan bahasa bayi (baby talk) memang comel tetapi bila dibiarkan hanya akan menjengkelkan dan mungkin memalukan si kecil anda kelak.
Dua: Berhenti membaca cerita dan minta si kecil anda untuk mula bercerita
Mungkin anda antara mama dan papa yang beruntung kerana dapat membaca cerita dongeng setiap malam kepada anak anda atau bergiliran berbuat demikian. Sudah tentu, ini cara terbaik untuk mengembangkan kemahiran membaca dan berbahasa si kecil. Apa kata selepas ini, anda simpan sahaja buku cerita si kecil dan minta si kecil anda pula untuk merekacipta kisah dongengnya sendiri, dengan bantuan anda pastinya.
Aktifkan skema minda (schema activation) si kecil dengan menunjukkan gambar, permainan atau apa sahaja bahan yang boleh membuatkan dia mula berfikir lantas berimaginasi. Pastikan anda bertanya soalan retorik semasa si kecil bercerita untuk memperkenalkan perkataan dan konsep baharu. Hasilnya kelak, bukan sekadar kemahiran komunikasi lisan si kecil yang akan berkembang maju tetapi juga kemahiran berfikirnya.
Tiga: Banyakkan percakapan bukan sama-sama menatap telefon pintar / tablet
Hari ini kita semua rata-rata seperti tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau tablet, lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini. Memang benar, si kecil boleh belajar berbahasa, menyanyi malah berjoget apabila menonton video di atas talian. Namun, kemahiran bahasa si kecil kesayangan anda sebenarnya lebih cepat meningkat apabila anak anda dan anda bercakap lebih banyak.
Maka, mulakanlah perbualan dengan lebih kerap sebelum si kecil comel anda ke peringkat usia remaja dan dia semakin ‘malas’ bersembang dengan anda. Kanak-kanak pada usia pendidikan praformal sentiasa menyerap semua yang mereka dengar. Semakin mereka mendengar anda bercakap, semakin banyak anda boleh mengajar mereka dan berkongsi masa dan luahan rasa dengan penuh bermakna.
Empat: Cuba main alat permainan bahasa yang sudah sedia ada
Kita semua tahu tentang permainan Sahibba atau Scrabble. Maka, jika ada pendapatan lebih silakan dibeli permainan bahasa seperti ini untuk dimainkan bersama-sama si kecil anda yang lebih tua sekitar usia 5-6 tahun. Untuk yang lebih muda, ada banyak permainan kata lain yang boleh anda cuba dengan si kecil comel anda. Hari ini, aplikasi telefon pintar atau tablet boleh dimuat turun untuk pembelajaran bahasa yang lebih bermakna dan percuma.
Cuma pastikan anda menghadkan masa yang digunakan untuk gajet dan aplikasi elektronik lain. Tidak dapat kita nafikan bahawa si kecil zaman ini teramat suka bermain dengan telefon pintar atau tablet. Oleh sebab itu, petua keempat ini memperkenalkan aplikasi belajar bahasa dengan santai sebagai helah untuk menarik tangan dan minda si kecil ke alam pengajaran dan pembelajaran tanpa dia sedari.
Lima: Tampal label-label untuk memberi nama kepada barangan di rumah
Hujung minggu ini, silakan ambil masa untuk mencetak atau menulis dengan cantik-cantik nama-nama barang rumah dan tampal sebanyak mungkin untuk manfaat si kecil kesayangan anda. Melekatkan label di atas item isi rumah anda ialah suatu cara yang hebat untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada perbendaharaan kata baharu, tidak kira usia mereka. Namun usaha ini amat baik untuk si kecil 0-3 tahun yang baru belajar bercakap.
Lebih menarik lagi, tidak kira usia anak anda walaupun dia masih belum boleh bercakap atau masih pelat dalam percakapan, label-label seperti ini dapat membantu si kecil itu mengaitkan perkataan bertulis dengan item atau barang tertentu. Pastikan papa dan mama sama-sama menyemak setiap item dengan si kecil sambil menyebut, kemudian sama-sama mengeja (apabila dia semakin cekap berbahasa).
Enam: Pantau perbendaharaan kata si kecil dan perkembangan bahasanya
Tidak ada alasan lagi, mama dan papa perlu mengambil peranan proaktif supaya si kecil dapat cepat lagi cekap bercakap serta berkomunikasi. Sekiranya papa dan mama mahu kemahiran berbahasa si kecil menjadi lebih elok dalam tempoh masa yang pendek, sila pantau perbendaharaan katanya secara serius, lebih-lebih lagi untuk si kecil 4-6 tahun yang sedang bersedia untuk memulakan pendidikan secara formal di sekolah rendah.
Apabila si kecil kesayangan anda bertanya tentang sesuatu perkataan yang telah didengar olehnya, pastikan anda mengambil peluang itu untuk mengajar definisi dan sebutan yang betul. Lakukan yang terbaik untuk memudahkan pemahaman definisi berkenaan, tetapi berikan butiran dan contoh yang banyak. Sekiranya anda ditanya oleh si kecil, “Papa, apa maksud ‘raksasa’?” Berilah jawapan dan gambaran yang lebih daripada ‘besar.’ Buat perbandingan misalnya gajah amat ‘besar’ jika dibandingkan dengan manusia, tetapi gajah adalah ‘raksasa’ jika dibandingkan dengan semut.
Tujuh: Tidak perlu diperbetulkan semua kesilapan si kecil dalam percakapan
Memang suatu yang semulajadi bagi kanak-kanak untuk tersalah cakap atau salah dalam penggunaan perkataan baharu. Yang paling utama, anda janganlah pula terus-menerus menegur atau terlalu cepat memperbetulkan anak kecil anda apabila dia membuat kesilapan yang tidak terlalu serius.
Sebaliknya, beri pujian dan sokong usaha si kecil anda itu. Tunjukkan perkataan yang dia sebut dengan betul, kemudian semak cara yang lebih tepat untuk menggunakan atau mengucapkan perkataan tersebut. Semakin menyeronokkan dan positif pengalaman yang dirasai, semakin tinggi minat si kecil untuk bercakap dan berkomunikasi!
Lapan: Banyakkan bersabar dalam mendidik si kecil anda untuk cekap bercakap
Mama dan papa mungkin perlu mengulang perkataan dan makna beberapa kali sebelum si kecil memahami konsep itu. Ini perkara normal dalam peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun. Selanjutnya, jika anak jiran atau anak saudara yang sebaya dengan anak kecil anda sudah boleh bersembang seperti seorang pembaca berita lagaknya, ingatlah bahawa mendidik si kecil bukan suatu peraduan!
Kanak-kanak berkembang maju mengikut acuan dan kadar mereka sendiri. Hormati dan imbangi keperluan mereka supaya pembelajaran tidak menjadi suatu penyeksaan! Walaupun anda mahu si kecil kesayangan anda maju, anda tentu tidak mahu dia merasai perasaan negatif atau tekanan yang tidak wajar, bukan?
Penyelidikan di Universiti Arizona, Amerika Syarikat membuktikan bahawa pendedahan kepada buku, pendedahan kepada bahasa, penjelasan tentang dunia sekeiling – semua ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk cekap bercakap kelak. Apabila papa dan mama melihat si kecil manja lagi comel anda bertambah cekap berbahasa kelak, anda pasti akan lega dan puas hati dengan segala-gala usaha yang dilakukan selama ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai ibu bapa tentu kita nak anak hormat kita. Jadi jangan pandang ringan layanan pada anak sejak mereka kecil lagi.
Sedar atau tidak, kadang-kala kita sebagai ibu bapa sendiri yang mendidik anak dalam aura negatif.
Asal anak buat salah sahaja, cepat kita marah dan tengking tanpa mengambil kira faktor usia anak tersebut.
Menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak hormatkan kita tapi diri sendiri terpekik terlolong marahkan si anak yang teruja nak berkongsi lukisan yang dibuat di sekolah kerana kita penat baru balik dari kerja.
Betullah seperti hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau, hari ini memang ramai ibu bapa yang bagi layanan terbalik kepada anak-anak. Hasilnya anak membesar sebagai individu penuh dendam dan tidak menghormati orang tua.
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.
Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.
“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.
Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.
Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.
Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.
LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA
Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.
Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.
Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”
Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.
YOP KENA MARAH
“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.
Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.
Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.
Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.
“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.
“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.
“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.
“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.
Anak saya mengangguk.
“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.
Saya tergamam.
Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.
Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.
Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.
NASIB ABANG DAN KAKAK
Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.
“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.
Anak sulung sering disuruh mengalah.
Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.
Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.
Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.
Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.
Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/
Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik. Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.
Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.
Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.
“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”
Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.
Hasrizal Abdul Jamil
Sumber: abah.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak anak cepat pandai dan boleh membaca. Ini antara yang selalu diperkatakan oleh ibu bapa hari ini. Betul apa yang kita niatkan ini baik tetapi adakah kita terfikir perkembangan anak dari awal itu lagi penting berbanding dengan dua aspek itu. Jika aspek perkembangan awal ibu bapa dah gagal jangan nak harapkan yang lebih pada anak.
Sebab itu, ibu bapa kena faham flow anak-anak supaya mereka tidak rasa tertekan di peringkat awal lagi dan akan sentiasa seronok meniti usia kecil mereka. Jika aspek perkembangan anak ibu bapa berjaya capai, automatik anak pandai dari semua aspek. Percayalah!
Perkongsian dari Terapis Cara Kerja (Paediatrik) Liyana Raya ini boleh memberi panduan pada ibu bapa untuk lebih peka.
Saya tak against mana2 kanak2 pun utk membaca di usia 4 tahun. Yang saya against kan kalau:
1. Anak masih tidak pandai bercakap dan berkomunikasi.
Di usia 4 tahun,anak sepatutnya sudah berupaya untuk bercerita dan membina ayat lebih dari 4 patah perkataan dalam satu masa. Anak sudah boleh memberitahu,mengadu dan membuat cerita serta tahu bagaimana untuk melihat rakan2 sebaya buat apa… observe mereka,ajak main sama2 atau duduk dgn kawan2 yang mereka suka. Di usia ini mereka sudah tahu sedikit sebanyak nak mengkritik (bukan membuli) hasil kerja rakan2. Ini fitrah. Dtgnya mereka ke sekolah dalam keadaan boleh dengar arahan,faham arahan,tahu kedudukan meja,kerusi,kelas dan sbgnya serta boleh ikut rutin dengan baik.
Jika anak anda masih menyanyi-nyanyi,mumbling entah apa2,masih banyak menangis daripada bercakap,masih tak tahu rakannya buat apa, ini menunjukkan anak tidak sesekali BERSEDIA UNTUK MEMBACA.
2. Jika anak masih tidak toilet trained.
Well,usia paling awal anak ke toilet adalah 2 tahun. Logiklah,usia 4 tahun sepatutnya anak dah ready kot ke toilet terutamanya kencing di toilet. Berak kdg2 masih nak pakai pampers lagi itu biasa. Tapi usia 5 tahun patut dah boleh dah berak kat toilet.
Dlm proses nak ke toilet ni,anak patut sudah tahu beza kencing dan berak. Boleh indicate needs (tahu yang dia perlu kencing/berak skrg),sudah tahu cuci (walaupun kdg tak bersih mana),sudah tahu minta di flush kan toilet atau flush sendiri.
Jika anak anda masih lagi tak tahu beza antara kencing dan berak,masih nak main dengan najisnya sendiri di usia 4 tahun,jangan memandai-mandai nak suruh dia membaca. Setelkan yang ini dulu.
3. Jika anak masih memasukkan benda dalam mulut,semua benda nak dikacau,dipanjat,dan dicapai.. makna kata,tak faham fungsi objek2 sekeliling… tak payahlah sibuk2 nak suruh anak pandai membaca.
Tolonglah… usia 4 tahun ni dia patut dah tahu la kerusi boleh buat untuk duduk,time cikgu ajak main panjat kerusi (untuk balancing skill) dia boleh ikut,meja untuk belajar cikgu nak letak buku,bukan dipanjat panjat. Nanti meja tu guna untuk letak makanan jugak time rehat… senang cerita,boleh ikut arahan la…
4. Jika anak masih lagi tidak tahu nak kongsi barang,nak beratur ikut garisan,nak bersabar,tahan diri dari mengamuk untuk benda remeh…takde makna dia pandai membaca.
Isu sosial seperti ini amatlah penting dalam pembentukan sahsiah dan peribadi seseorang insan. Bayangkan kalau kita ada kawan2 pejabat yang memang bagus pun belajar,tapi bila bab nak handle dengan konflik sikit,tau nak mengamuk,baling barang,coping mechanism lemah. Kita pun stress dengan kawan kita tu.
Habis tu,anak2 kita tak mcm tu ke? Pandai baca memanglah pandai,tapi bab handle konflik je.. lemah. Setakat kawan tertolak dia sikit saja dengan tidak sengaja,dah melenting bagai. Kawan nak pinjam brg dia,tak nak share. Mengamuk. Tak boleh tolerate dengan kawan2 sekeliling.
A’ah ye baca memang pandai tapi bab handle emosi,ke laut. Silap haribulan boleh pecah brg2 sekeliling dibuatnya akibat tak pandai handle konflik remeh temeh seperti itu.
5. Jika anak masih perlu makan sambil tengok gadget,hentikanlah semua tu. Bagi anak boleh makan tanpa gadget baru dia ready nak hadap apa yang dimakan di sekolah. Bila too much depending on the gadget,pandai baca mcm mana pun… takleh handle isu konflik ringkas. Ini biasa berlaku.
Pemilihan tadika adalah di tangan masing2.
Saya tiada isu nak hantar anak ke tadika mana,asalkan mengikut konteks kemampuan masa,wang dan tenaga masing2.
Mostly tadika create silibus mengikut silibus KPM. Ya utk prepare anak2 ni menghadapi silibus yang you all rasa takut sangat tu.
Tapi tadika yang bagus adalah tadika yang masih mengamalkan aktiviti bermain. Yang sepenuhnya bermain pun tiada masalah.
Apa yang penting adalah ibu bapa janganlah menekankan anak sangat. Bab mengajar tu taulah cikgu nak jalankan kerja mereka.
Kita ni sbg mak ayah kenalah faham… anak tu bila dah jumpa kita,dia nak kita main dengan dia.. layan dia… sembang ngan dia.. toksah la dok sibuk balik rumah je kena ulangkaji pelajaran,hantar tuisyen bagai sedari usia 4 tahun. Allahu kesian anak…….
Kalau cikgu bagitau dia belum boleh baca lagi,please be alert that usia membaca adalah di usia 6-10 tahun. Ni usia membaca. So kalau dia masuk tadika usia 4 tahun tak boleh membaca lagi itu normal lah… anggap saja pergi tadika tu utk memupuk semangat bersosial,utk jadikan anak lebih berdikari,dan memupuk readiness utk faham rules®ulations di sekolah. Kalau cikgu kata kat tadika mereka usia 4-5 tahun banyak bagi aktiviti bermain,lagi bagus. Itulah namanya meraikan fitrah anak2.
Anak2 suka pergi sekolah.
Anak2 suka aktiviti di sekolah.
What else do you expect?
Sebab bermain mmg bagus utk pembentukan perkembangan emosi anak2. So what? Let them enjoy themselves la.
Ni sibuk tanya cikgu,anak saya dah boleh baca belum? Hadoi padahal cikgu sibuk nak tengok anak dia dah boleh ikut arahan ke belum,pandai urus diri ke belum,dan sbgnya.
Tapi kalau ada tadika yang awal2 lagi dah expect anak utk pandai membaca sebelum masuk ke tadika lagi,lupakanlah. Tak patut wujud pun tadika jenis mcm ni. So nonsense kalau nak bagi test membaca utk anak usia 4 tahun.
Anak kalau dia dah ready semua ni,sekejap je membaca tu jadi lancar. Peranan kita bagi je anak bermain dengan baik. Wujudkan bonding kita dan anak di situ. Bab membaca itu semua tugas guru. Jadikan aktiviti membaca ngan kita sebagai selingan saja. Bukan aktiviti wajib.
Sumber: Liyana Raya (Occupational Therapist Paediatric)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cara Potong Buah Untuk Anak yang betul dapat membantu mengurangkan risiko tercekik. Ketahui teknik potongan buah mengikut umur, jenis buah dan panduan keselamatan penting untuk ibu bapa.