
Isu nafkah anak tiada tarikh luput, kerana ia adalah amanah seorang bapa terhadap darah dagingnya sendiri. Itulah mesej yang cuba disampaikan oleh pelakon Rita Rudaini apabila tampil mempertahankan tindakan rakan selebriti, Raja Azura, yang kembali ke mahkamah menuntut hak tiga anaknya.
Walaupun sudah lebih 15 tahun berpisah dengan bekas suami, langkah berani Raja Azura itu membuktikan bahawa nafkah anak bukan isu remeh. Ia adalah hak anak-anak yang wajib ditunaikan tanpa mengira masa.
Menurut Rita Rudaini, nafkah anak tidak seharusnya dikaitkan dengan tempoh masa perpisahan kerana tanggungjawab seorang bapa tidak pernah tamat.
“Saya sokong penuh. Nafkah anak bukan soal masa, tapi tanggungjawab dan tanggungjawab tiada tarikh luput. Hutang tetap hutang,” tegasnya.
Rita turut mengingatkan bahawa sikap culas dalam menunaikan nafkah akan memberi kesan buruk kepada hubungan seorang bapa dengan anak-anak di kemudian hari.
“Nanti bila sudah tua, dah sakit, sibuk nak salam, nak peluk, nak minta duit pada anak. Lepas tu kalau anak tak peduli, mak pula dituduh hasut, anak dituduh derhaka. Shame on you!” katanya penuh makna.
Dalam kenyataannya kepada media, Raja Azura menjelaskan bahawa tuntutan nafkah yang difailkan bukan bertujuan untuk berbalah, sebaliknya mahu memastikan hak anak-anaknya terbela. Beliau sedar bahawa keperluan pendidikan, kesihatan dan kebajikan anak-anak tidak boleh dipandang ringan.
Hakikatnya, ramai ibu tunggal di luar sana senasib dengan Raja Azura. Mereka terpaksa bekerja keras, menggalas dua peranan sekaligus sebagai ibu dan bapa, di samping berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Kisah Raja Azura hanyalah satu daripada ribuan cerita ibu tunggal di Malaysia. Ada yang bertahun-tahun berjuang di mahkamah, ada yang memilih untuk berdiam diri kerana penat, dan ada juga yang tidak pernah berhenti menuntut hak anak-anak walau apa pun cabarannya.
Buat para bapa, ingatlah bahawa perceraian hanya menamatkan hubungan suami isteri, bukan hubungan seorang ayah dengan anak-anak. Nafkah adalah kewajipan, bukan pilihan.
Keberanian Raja Azura menuntut hak menjadi inspirasi kepada ramai ibu tunggal untuk tidak berdiam diri, manakala suara lantang Rita Rudaini pula menjadi penguat semangat bahawa seorang ibu sanggup lakukan apa sahaja demi anak-anak.
Kerana akhirnya, anak-anak yang mendapat nafkah secukupnya bukan sahaja terjamin kebajikan dan masa depan mereka, malah akan membesar dengan rasa hormat dan kasih terhadap kedua-dua orang tua.