
Tiada siapa menyangka perjalanan yang sepatutnya membawa sebuah keluarga pulang dengan selamat bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidup mereka. Dalam sekelip mata, tangisan manja seorang bayi lelaki berusia lima bulan terhenti buat selama-lamanya selepas terlibat dalam nahas lori di hadapan simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik awal pagi Jumaat.
Lebih menyayat hati, bayi kecil yang baru beberapa bulan mengenal dunia itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe, pihak polis menerima panggilan daripada petugas Hospital Baling sekitar jam 12.20 tengah malam memaklumkan mengenai kematian mangsa.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama isterinya berusia 41 tahun serta bayi mereka yang berusia lima bulan.
“Kenderaan tersebut dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Kupang, manakala sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun datang dari arah Kelantan menuju ke Pulau Pinang.
“Akibat daripada nahas lori tersebut, kesemua pemandu dan penumpang kereta mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, detik paling meruntun jiwa apabila bayi lelaki pasangan itu yang mengalami kecederaan parah gagal diselamatkan.
“Satu mangsa penumpang bayi yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Baling,” katanya lagi.
Lebih mengejutkan, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati pemandu lori terbabit positif dadah sebelum dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Jenazah bayi malang itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Pemergian si kecil ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang bahaya memandu di bawah pengaruh dadah. Satu kesilapan dan kelalaian bukan sahaja memusnahkan hidup sendiri, malah meragut nyawa insan tidak berdosa.
Kini, yang tinggal hanyalah tangisan, kenangan dan penyesalan yang tidak mungkin dapat mengembalikan semula nyawa seorang bayi yang baru lima bulan menikmati dunia.
Sumber: Sinar Harian