
Foto Gemini AI
Nama Mikayla sering menjadi pilihan dalam kalangan ibu bapa moden kerana bunyinya yang lembut dan eksklusif. Namun, dalam keghairahan memilih nama yang sedap didengar, ramai yang terlepas pandang maksud sebenar di sebaliknya.
Semua ibu ayah pasti mahu memberikan nama yang terbaik buat anak. Nama yang bukan sahaja indah disebut, tetapi juga membawa maksud yang baik dan menjadi doa sepanjang hayat mereka. Setiap pilihan dibuat dengan penuh harapan agar anak membesar dengan identiti yang baik, akhlak yang terpuji dan masa depan yang cerah.
Namun, ada perkara penting yang kadang-kadang diabaikan iaitu memahami maksud sebenar sesuatu nama secara mendalam.
Nama Mikayla antara yang sering menjadi pilihan kerana bunyinya yang moden, mudah disebut dan kelihatan eksklusif. Ia juga sering digunakan dalam pelbagai variasi ejaan seperti Miqayla, menjadikannya lebih unik di mata ibu bapa muda.
Namun, populariti sesuatu nama tidak semestinya menjamin maksudnya tepat atau sesuai digunakan, terutamanya dalam konteks agama dan budaya.
Baru-baru ini, media sosial hangat membincangkan isu berkaitan nama Mikayla selepas perkongsian oleh di Fb miliknya , Dzulkhairi Khairi yang mengulas tentang penggunaan serta ejaan nama tersebut.
Menurut beliau, trend penggunaan nama ini semakin meluas, tetapi ramai ibu bapa sebenarnya tidak mengetahui maksud sebenar. Kebanyakan hanya bergantung kepada carian di Google yang belum tentu tepat atau mempunyai rujukan sahih.
Ada yang mendakwa nama ini membawa maksud “pemberian Allah”, namun tafsiran itu tidak mempunyai sandaran yang jelas. Ini menimbulkan kebimbangan kerana maksud nama adalah perkara yang sangat penting dalam Islam.
Beliau turut menjelaskan bahawa nama Mikayla mempunyai kaitan dengan nama Michael yang berasal daripada tradisi Barat dan sering dikaitkan dengan kepercayaan agama lain seperti Yahudi dan Kristian.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar ibu bapa mengelakkan penggunaan nama yang mempunyai unsur keagamaan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan dari segi akidah.
Ada juga yang mengaitkan nama ini dengan malaikat Mikail. Namun, persoalan timbul sama ada “Mikayla” benar-benar mempunyai sandaran dalam sebutan yang sahih.
Dalam qiraat, sebutan yang hampir hanyalah Mikayil (مِيكَايِيل), bukan nama Mikayla. Jika benar ia berkait dengan nama malaikat, timbul pula persoalan tentang kesesuaian penggunaannya untuk anak perempuan.
Lebih membimbangkan, dalam kepercayaan ahli kitab, nama Michael dikaitkan dengan maksud “yang seumpama Allah”, satu tafsiran yang dianggap melampau dan tidak sesuai dijadikan rujukan oleh umat Islam.
Bagi mengelakkan kekeliruan seperti isu nama Mikayla, ibu bapa boleh mengikuti beberapa panduan penting ini:
Gunakan nama daripada bahasa Arab, Melayu atau bahasa lain seperti Urdu dan Parsi, selagi tidak berkait dengan kepercayaan agama lain. Nama yang jelas asal-usulnya lebih selamat digunakan.
Jangan hanya bergantung kepada carian internet semata-mata. Sebaiknya rujuk kepada individu yang berilmu seperti ustaz atau pakar bahasa bagi memastikan maksud nama tersebut tepat.
Memilih nama kerana populariti boleh menyebabkan kita terlepas pandang aspek penting seperti makna dan kesesuaian. Nama adalah identiti yang akan dibawa sepanjang hayat.
Isu nama Mikayla ini membuka mata ramai bahawa pemilihan nama bukan sekadar soal sedap didengar. Ia melibatkan makna, identiti dan juga tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Biarlah nama yang dipilih bukan sahaja indah disebut, tetapi juga jelas maksudnya, tidak mengelirukan, dan membawa kebaikan kepada anak di masa hadapan. Dalam hal ini, berhati-hati adalah langkah terbaik.
Sumber: Facebook Dzulkhairi Khairi