
Usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, menyifatkan saat anaknya mula menyambung kalimah Al-Quran sebagai detik paling indah dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 36, mengakui dirinya tidak jauh berbeza dengan ibu bapa lain yang berusaha mendidik anak-anak agar membesar dalam suasana penuh nilai agama dan kasih sayang.
Neelofa turut berkongsi bahawa antara medium yang banyak membantu proses pembelajaran anak sulungnya, Muhammad Bilal, ialah buku audio interaktif yang memuatkan bacaan surah pilihan dan doa harian.
“Bila saya fikir balik, saya dan Haris sama seperti ibu bapa lain di luar sana. Kami ajak anak solat, baca surah bersama. Saya rasa alat atau buku audio yang kita dedahkan kepada mereka sejak kecil sangat membantu,” jelasnya.
Menurut Neelofa, detik paling menyentuh hati ialah apabila Bilal yang ketika itu belum pun berusia setahun, menekan sendiri butang audio dan mengulang bacaan surah berulang kali.
“Itulah saat saya tahu, anak saya mula jatuh cinta pada Al-Quran,” luahnya penuh sebak.
Neelofa percaya pendidikan awal di rumah amat penting untuk membentuk peribadi dan minat anak-anak terhadap agama. Ia bukan sahaja tentang membaca atau menghafal, tetapi juga membina rasa cinta dan tenang apabila mendengar kalimah suci Al-Quran.
“Sebagai ibu bapa, kita kena mulakan dulu. Bila anak lihat ibu bapa suka membaca Al-Quran, mereka akan ikut. Cinta pada Al-Quran itu datang daripada apa yang mereka nampak setiap hari,” katanya.
Dalam nada penuh keibuan, isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu turut berkongsi harapannya agar anak-anak mereka membesar sebagai insan yang beriman dan berakhlak mulia.
“Nak tengok mereka membesar jadi anak soleh, yang dekat dengan Allah, yang hormat pada ibu bapa dan berkhidmat untuk kami. Saya pasti ramai ibu bapa pun ada impian yang sama,” katanya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan kini dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.
✨ Pa&Ma Kata:
Setiap ibu bapa boleh jadikan kisah Neelofa ini sebagai inspirasi. Cintakan Al-Quran bukan datang dengan paksaan, tetapi dengan kasih sayang, teladan dan suasana rumah yang dipenuhi kalimah Allah. Bila cinta itu tumbuh sejak kecil, insya-Allah mereka akan membesar menjadi anak yang menenangkan jiwa kedua ibu bapanya.
Sumber: Instagram Neelofa