
Penyampai radio dan pelakon, Neera Azizi tampil dengan kenyataan penuh rendah diri bagi menjelaskan isu gender reveal yang tular baru-baru ini selepas beliau berkongsi momen pendedahan jantina bayi ketika berada di Tanah Suci.
Menurut Neera Azizi, rakaman video tersebut dibuat semata-mata sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan ALLAH SWT terhadap rezeki kehamilan yang telah lama dinantikan. Namun begitu, beliau mengakui bahawa tanpa disedari, kaedah yang digunakan telah menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan segelintir pihak.

Neera Azizi Akui Kekhilafan Diri
Neera Azizi menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang niat lain selain meluahkan rasa syukur atas anugerah kehamilan yang dikurniakan kepadanya dan suami. Namun, beliau mengakui perbuatan tersebut dilihat kurang beradab kerana dilakukan di lokasi yang sangat mulia.
“Pada awalnya, tujuan video tersebut dihasilkan hanyalah sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan anugerah ALLAH SWT dan tidak mempunyai sebarang niat lain. Namun, tanpa disedari, kaedah yang digunakan telah dilihat sebagai kurang beradab,” jelasnya.
Terima Teguran Dengan Hati Terbuka
Sebagai bakal ibu, Neera Azizi merakamkan penghargaan atas segala teguran yang diterima daripada orang ramai. Beliau menganggap setiap teguran tersebut sebagai satu nasihat yang baik dan dijadikan pengajaran agar lebih peka terhadap adab serta sensitiviti, khususnya ketika berada di Tanah Suci.
“Kami mengucapkan terima kasih atas segala teguran yang diberikan dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Kami akui kekhilafan tersebut dan insya-ALLAH perkara ini tidak akan berulang lagi,” katanya.
Tiada Kaitkan Dengan Mana-Mana Pihak
Dalam masa sama, Neera Azizi turut menegaskan bahawa isu gender reveal ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana pihak lain termasuk agensi pelancongan. Sebaliknya, beliau mengakui sepenuhnya bahawa perkara tersebut adalah kekhilafan dirinya sendiri.
“Ini adalah kekhilafan diri sendiri. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Semoga ALLAH mengampuni dosa kita,” ujarnya.
Pengajaran Buat Bakal Ibu Bapa
Neera Azizi berharap penjelasan yang diberikan dapat menjernihkan keadaan dan isu ini tidak lagi dipanjangkan. Situasi ini juga dilihat sebagai satu pengajaran bersama, khususnya buat ibu bapa yang gemar berkongsi detik bermakna di media sosial.
Keterujaan menanti kehadiran cahaya mata merupakan satu nikmat besar, namun adab, kesederhanaan dan rasa hormat terhadap tempat serta situasi perlu sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan Tanah Suci.
Detik Gender Reveal Di Tanah Suci
Untuk rekod, sebelum isu ini tercetus, Neera Azizi pernah berkongsi momen istimewa mendedahkan jantina bayi sulungnya di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah bersama suami, Ustaz Muhammad Hafizi Mohd Noor.
Pasangan tersebut membuka sampul berisi kad bertulis “Congrats, it’s a baby girl”, sekali gus mengesahkan bahawa mereka bakal menimang cahaya mata perempuan.
Neera Azizi dan suami telah melangsungkan perkahwinan pada Julai lalu, manakala pada Oktober beliau mengumumkan kehamilan pertama. Semoga segala urusan kehamilan Neera Azizi dipermudahkan dan bakal puteri yang dinanti lahir dalam keadaan sihat serta menjadi penyejuk mata kedua ibu bapanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!






