
Kes terbaharu Januari 2026 sekali lagi merobek emosi masyarakat apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam kereta selama hampir sembilan jam. Insiden ini bukan yang pertama, dan malangnya, masih berulang walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan.
Tragedi seperti ini sering mengundang kecaman, persoalan, dan emosi yang bercampur-baur. Namun pakar menegaskan, kejadian sebegini bukan semata-mata soal kecuaian atau kasih sayang, sebaliknya berkait rapat dengan satu fenomena psikologi yang dikenali sebagai Sindrom Terlupa Bayi.
Cakna mengenai kejadian yang menyentuh hati ini, menerusi perkongsian Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias di Facebook miliknya, beliau berkongsi semula pandangan yang pernah dikongsikan sebelum ini dan masih relevan sehingga hari ini.
Semoga keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan, dan semoga tragedi ini membuka mata kita semua terutama ibu bapa bekerja dan majikan bahawa pencegahan memerlukan usaha bersama, bukan menyalahkan satu pihak semata-mata.
Sindrom Terlupa Bayi merujuk kepada keadaan di mana seorang penjaga selalunya ibu atau bapa secara tidak sedar terlupa kehadiran anak di dalam kenderaan, walaupun hubungan emosi dengan anak tersebut sangat kuat.
Menurut pakar, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira tahap pendidikan, profesion atau latar belakang keluarga. Malah, terdapat kes melibatkan golongan profesional seperti doktor, guru dan eksekutif korporat.
Dalam temubual bersama The Merdeka Times, Dr Alizi Alias menjelaskan bahawa terdapat tiga faktor utama yang meningkatkan risiko berlakunya Sindrom Terlupa Bayi, dan ketiga-tiganya berkait rapat dengan persekitaran kerja.
Stres bukan sekadar tekanan emosi biasa. Ia boleh berpunca daripada:
Apabila minda berada dalam keadaan “survival mode”, otak akan mengutamakan perkara yang dianggap paling kritikal selalunya berkaitan kerja dan menutup sementara memori rutin lain, termasuk menghantar anak ke taska.
Kurang tidur memberi kesan besar kepada fungsi kognitif. Antara penyumbangnya ialah:
Apabila seseorang bekerja dalam keadaan letih berpanjangan, otak mudah beroperasi secara “auto-pilot”, dan inilah keadaan paling berbahaya untuk rutin yang melibatkan tanggungjawab besar seperti penjagaan anak.
Perubahan rutin harian seperti:
Perubahan kecil inilah yang sering menjadi pencetus kepada Sindrom Terlupa Bayi, kerana otak masih berfungsi berdasarkan “skrip lama”.
Menurut Dr Alizi, majikan tidak boleh lepas tangan dalam isu ini. Walaupun tidak semua faktor boleh dikawal sepenuhnya, sokongan organisasi mampu mengurangkan risiko secara signifikan.
Apabila pekerja berada dalam keadaan lebih tenang, cukup rehat dan disokong, risiko kesilapan kritikal seperti ini dapat dikurangkan.
Dr Alizi menegaskan bahawa usaha mengawal stres, tidur dan rutin bukan sahaja mampu mencegah Sindrom Terlupa Bayi, malah turut meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat.
Tragedi yang berlaku bukan untuk dijadikan bahan kecaman, tetapi peringatan bersama bahawa kasih sayang sahaja tidak cukup tanpa sistem sokongan yang betul.
Kerana dalam sekelip mata yang alpa, sebuah nyawa boleh terkorban dan penyesalan itu akan kekal seumur hidup.