Selepas kejayaan Pa&Ma Baby Fiesta pada Ogos lalu, Pa&Ma sekali lagi mengorak langkah bagi meneruskan ekspo jualan buat kelengkapan kanak-kanak serta seisi keluarga. Pa&Ma Superkids Fiesta 2019 yang bakal berlangsung pada 1 hingga 3 November ini mencatat sejarah tersendiri buat jenama Pa&Ma.
Bukan hanya menawarkan kelengkapan, peralatan dan keperluan bayi semata-mata bahkan kali ini Pa&Ma tampil menawarkan kelengkapan untuk kanak-kanak hingga pada usia 12 tahun. Pastinya ibu bapa lebih banyak pilihan untuk berbelanja buat kesemua anak-anak.
Menariknya untuk fiesta julung kali diadakan ini, Pa&Ma Superkids Fiesta bakal diadakan di sebuah pusat membeli belah yang berlokasi strategik iaitu di Quill City Mall, Kuala Lumpur. Lokasi yang menarik ini pastinya memberi lebih ruang dan peluang untuk pengunjung berkunjung ke sini.
IKLAN
Bukan hanya menyenaraikan rangkaian booth-booth jualan menarik bahkan fiesta kali ini turut mengetengahkan pelbagai acara yang melibatkan penglibatan anak-anak yang sedang membesar.
Sepanjang tiga hari ini, Majalah Pa&Ma sendiri akan turut menjalankan pelbagai aktiviti menarik. Pada 1 November, Keluarga Talk @ Pa&Ma bakal menemui semua. Acara yang bakal berlangsung pada jam 10 30 pagi ini bakal menyenaraikan panel-panel jemputan tersohor bagi membincangkan topik Ibu Bapa Excellent Anak Genius.
IKLAN
Malah kemunculan penceramah terkenal, Ustazah Dr Nik Salida Suhaila, Profesor Madya Fakulti Syariah & Undang-Undang dari Universiti Sains Islam malaysia (USIM) yang menjadi panel utama pastinya mampu memberikan input yang terbaik dalam menjadi ibu bapa cemerlang. Begitu juga dengan moderator cantik manis, Irma Hasmie yang bakal menerajui Keluarga Talk ini.
Pada Sabtu, 2 November pula, dengan kerjasama SSPN, Pa&Ma bakal menampilkan Himpunan Cita-Cita yang melibatkan penyertaan kanak-kanak berusia dari 4 hingga 12 tahun. Para peserta yang terdiri daripada berkumpulan dan secara individu ini akan mempamerkan aksi lakonan dan daya kreativiti masing-masing dalam menampilkan cita-cita dan impian mereka. Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan acara menarik ini.
IKLAN
Pa&Ma tampil memberi kelainan dalam menganjurkan acara Bakat Pa&Ma Cilik yang menempatkan 16 peserta akhir, yang bakal berentap di gelanggang final. Menariknya kesemua peserta melalui ujibakat dan saringan lebih awal yang diadakan pada 12 & 13 Oktober lalu dan 16 peserta daripada 70 orang peserta telah berjaya terpilih ke peringkat akhir yang bakal berlangsung pada 3 November nanti. Pastinya bakat-bakat hebat anak-anak ini bakal dicungkil melalui program ini.
Bukan itu sahaja malah sepanjang tiga hari ini, pentas utama juga bakal diisi dengan pelbagai aktiviti lain seperti Pertandingan Mewarna, VIP Princess Gathering, Superkid Face Painting dan juga Superkids Beyblade Battle yang pastinya memberi pengalaman bermakna buat anak-anak yang sedang membesar.
Jangan lupa berkunjung ke sini serta memeriahkan majlis dan tidak ketinggalan memberi pendedahan baru buat anak-anak kecil kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seminggu yang lalu, bekas pelakon siri muzikal Glee, Naya Rivera dilaporkan hilang di Tasik Piru di Selatan California. Menurut laporan media, dia dan anaknya Josey Hollis Dorsey dikatakan bersiar-siar dengan bot yang disewa sebelum anaknya ditemui bersendirian tiga jam kemudian.
Namun semalam, misteri kehilangan pelakon tersebut akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di tasik berkenaan. Naya dipercayai mati lemas dan dikenal pasti berdasarkan pakaian terakhir yang dipakai.
Sherif daerah Ventura Bill Ayub, dalam satu kenyataan berkata, tidak terdapat sebarang unsur jenayah atau bunuh diri setakat ini.
Menurut anaknya yang berumur 4 tahun, dia dan ibunya ada turun berenang namun ibunya tidak timbul-timbul.
Pihak polis percaya, Naya Rivera menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk membawa anak ke bot tetapi tidak cukup kuat untuk menyelamatkan diri sendiri.
Malah, anaknya yang berumur empat tahun pernah memberitahu polis ibunya membantu dia kembali ke bot tetapi sebaik sahaja menoleh ibunya sudah tenggelam.
Kata polis lagi, aktiviti berenang sememangnya dibenarkan di tasik berkenaan tetapi kebiasaannya hanya untuk rekreasi kapal air. Selepas ini, mungkin petisyen akan dibuka untuk melarang aktiviti berenang di tasik yang meragut nyawa itu.
Kronologi kejadian menunjukkan pada jam 1 tengah hari, 8 Julai, Naya Rivera menyewa satu bot di Tasik Piru, yang terletak 60 batu daripada Los Angeles. Tiga jam kemudian, lebih kurang jam 4 petang, sebuah bot yang lain membunyikan penggera selepas melihat seorang budak lelaki sedang tidur bersendirian di atas bot yang hanyut.
Jam 6.30 petang, pihak polis dan keselamatan melakukan proses pencarian untuk memeriksa sekiranya ada mangsa lemas. Pada masa yang sama, polis menemui kereta Naya Rivera di kawasan parking. Seterusnya, jam 10.30 malam, polis mengesahkan pelakon siri muzikal popular Glee tersebut hilang selepas pencarian menggunakan helikopter di kawasan tasik tidak menunjukkan sebarang tanda.
Seorang suami harus menjaga kebajikan isterinya sejak dari hari pertama bernikah sehingga bila-bila. Ketika isteri diminta untuk berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga, pastikan anda bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku. Apakah cabaran sepanjang perkahwinan?
Ikuti perkongsian penuh manfaat dari Akhtar Syamir ini:
Ramai suami yang tidak sedar, mereka membogelkan isteri sendiri sehingga menjadi papa kedana.
Yang saya maksudkan dengan ayat di atas ialah, seorang isteri yang sebelum ini mempunyai segala-galanya menjadi tidak mempunyai apa-apa.
Sama ada dalam masa yang singkat, atau pun dalam jangka masa yang panjang. Sedikit, demi sedikit kepunyaan isteri diambil.
Kita bukan berbicara mengenai harta benda sahaja, tetapi dari segi keupayaan isteri untuk berdikari.
Sebelum berkahwin, si isteri ada kerjaya, ada kereta atau kenderaan sendiri, ada barang kemas dan duit simpanan. Lengkap hidup seorang wanita untuk meneruskan kehidupan seorang diri.
Sehinggalah dia bertemu dengan kekasih hati yang diharap dapat melengkapkan lagi perjalanan hidup dirinya di muka bumi ini.
“Sayang tak perlu kerja, Abang boleh sara hidup sayang. Duduk rumah je nanti jaga anak-anak kita”.
Gelap mata sekejap si isteri membayangkan “impian” ramai wanita, menjadi isteri yang taat dan bermain dengan anak setiap hari waktu suami keluar mencari rezeki.
Senario itu terpancar di minda isteri yang menganggap “akhirnya, aku akan lalui saat indah ini”.
Persetujuan diberi, isteri meletakkan jawatan. Satu pengorbanan dari si isteri dan ada yang terlupa, sebenarnya satu kehilangan punca pendapatan buat si isteri.
Kerja sudah berhenti, bagaimana nak bayar ansuran kereta? “Jualkan sahaja. Kalau bernasib baik, dapat duit lebih. Boleh bantu beli barang rumah”, usul si suami.
Kereta itu pun dijual. Satu lagi pengorbanan isteri. Tetapi ramai yang terlupa, sebenarnya ini satu kehilangan di dalam keupayaan untuk berdikari.
Saban hari dan tahun, kehidupan menjadi susah. Bukan semua orang mampu membesarkan keluarga dengan 1 punca pendapatan. Ada yang terpaksa meminta bantuan isteri menjual dan menggadaikan barang kemasnya apabila simpanan peribadinya sudah habis.
Benar, keluarga itu tanggungjawab bersama. Ramailah yang mencanang ayat ini sambil berjalan ke pajak gadai. Tinggallah isteri menangis redha di rumah dengan tiada apa-apa lagi di badan serta akaun yang kosong tiada pendapatan.
Nafkah? Suami tak mampu. “Tak nampak ke yang abang kerja siang malam pagi petang nak cari duit untuk bagi kita makan? Nak nafkah apa lagi? Dah ada rumah, tak kebulur pun dah cukup bagus tau tak?”
Benar, isteri perlu beri keredhaan supaya berkat bantuan yang diberikan. Ramai isteri yang redha. Ramai juga yang redha sehingga bogel tiada apa lagi yang tinggal.
Yang suami tidak sedar, segala bantuan, pengorbanan itu sebenarnya dalam masa yang sama, membuatkan isteri secara individunya jatuh miskin papa kedana tanpa apa-apa. Yang tinggal hanyalah suami dan anak-anak jika ada.
Masalah timbul apabila suami meninggal dunia. Di waktu hidup pun sudah tidak punya apa-apa, apatah lagi apabila sudah tiada?
Si isteri hilang segala-galanya. Punca pendapatan tiada, kenderaan tiada, harta benda tiada. Kerjaya pun tiada. Nak mula bekerja, umur pun sudah lanjut dan tidak tahu apa kerja yang boleh dibuat kerana selama ini bergantung penuh kepada suami.
Bagaimana nak meneruskan kehidupan? Jika ada anak, bagaimana nak beri mereka makan? Nak tidur di mana?
Ditanya mengenai pewaris KWSP, ditempelak dituduh tak sabar nak suami mati.
Dicadangkan tukar penama dari ibu kepada isteri untuk waris rumah, dimarahi kerana gilakan harta.
Diusulkan supaya buat hibah, tidak diendahkan dan menggagap si isteri hanya fikir si suami mati sahaja.
Insurans nyawa? Tiada kesedaran langsung.
Apa sahaja isteri yang telah dibogelkan ini warisi? Hutang. Rumah yang masih hutang, kereta yang masih hutang, perabot yang masih hutang. Semua itu akan hilang dalam masa sebulan dua.
Itu situasi yang “tidak sedar”. Bagaimana pula dengan situasi yang sedar?
Ulangi semua situasi di atas, tetapi kesudahannya bukan kematian suami, tetapi penceraian atau suami berkahwin lagi.
Buat yang masih bertanggungjawab untuk memberi nafkah anak-anak, mungkin dapat membantu. Tetapi bagaimana dengan isteri yang telah tiada apa-apa ini? Hendak memulakan kehidupan baru di pertengahan usia atau setelah beberapa tahun kahwin sangatlah susah. Tiada harta benda, tiada kenderaan dan pekerjaan. Umpama kehidupan setelah butang reset ditekan.
Apabila tiada apa-apa yang tinggal, inilah yang saya maksudkan dengan isteri yang dibogelkan dan menjadi papa kedana.
Ada juga kes membela biawak hidup, tetapi tidak perlu saya huraikan di sini kerana semua sedia maklum apakah maksudnya. Yang menjadi mangsa tetap si isteri.
Tidak ketinggalan kes di mana suami membuat pinjaman atas nama isteri. Tak kiralah pinjaman kereta, rumah atau pinjaman peribadi. Apabila berpisah, apabila suami tiada, semuanya iateri yang menanggung.
Namun, tidak adil jika kita beri semua keadaan ini tanpa jalan penyelesaian. Ini kerana, dalam kehidupan ini, kita pasti akan diuji. Yang penting, kita perlu bersedia.
Bagaimana nak elakkan dari membogelkan isteri?
1. Waris KWSP letak nama isteri. Benar ia bukan hak mutlak isteri dan perlu melalui proses faraid selepas itu. Tetapi yang penting, proses itu menjadi tidak susah.
2. Waris penama pinjaman rumah LTAT dan yang seangkatan dengannya letaklah nama isteri dan bukannya nama ibu lagi. Ramai yang tidak ambil peduli bab ini dan apabila terjadi apa-apa pada suami, tempat tinggal pun isteri tiada.
3. Jangan sekat jika isteri mahu belajar kemahiran baru selepas berkahwin. Mungkin dia minat menjahit, minat memasak, minat berniaga, minat berniaga online. Ini semua skill dan kemahiran yang akan membantu dia apabila dia tinggal seorang nanti. Tidaklah hidup dia terkontang-kanting tidak tahu apa yang boleh dilakukan.
4. Buatlah hibah untuk isteri. Tak kira lah RM50k ke, RM100k ke atau lebih lagi. Sekarang hibah ini sudah semakin mudah untuk dibuat dan komitmen bulanan hanya RM 50 dan mungkin ada yang lebih rendah lagi. Nampak ratus ribu tu macam banyak, sebenarnya tidak. Menyara anak-anak seorang diri bukanlah mudah dan memerlukan wang ringgit yang banyak.
5. Berpada-pada apabila meminta bantuan. Jangan ambil jalan mudah apabila memerlukan sesuatu. Jangan jadikan isteri tempat untuk merealisasikan keinginan.
6. Sentiasalah ambil berat tentang nafkah isteri. Ini adalah wajib. Jangan pula apabila nafkah sudah diberi, isteri pula yang perlu membeli barang dapur dan lain-lain.
7. Perlu sentiasa ingat yang segala bantuan yang lebih dari yang sepatutnya si isteri beri, ialah satu benda yang perlu dibayar semula. Jangan pejamkan mata dan jangan anggap ianya habis begitu sahaja.
8. Jika si suami mahu isteri berhenti kerja, kena wujudkan sumber kewangan untuknya.
9. Segala harta peribadi isteri adalah hak mutlak isteri. Ianya tidak jatuh kepada suami secara automatik selepas berkahwin. Jangan ada tanggapan automatik ini.
10. Sayangi, kasihi dan layanlah isteri sebaik mungkin supaya isteri redha di atas segala pertolongan dan pengorbanan yang telah isteri lakukan.
Ingatlah yang tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan itu ialah tanggungjawab suami. Berusahalah sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab itu sebelum mempersoalkan tanggungjawab isteri dalam membantu keluarga.
Semoga dapat membuka mata. Kongsikan jika anda rasa perkara ini penting.
Kepada yang menjaga isteri dengan baik dan mengambil berat kelangsungan hidup isteri apabila anda sudah tiada nanti, ambil penulisan ini sebagai tambahan informasi. Tidak perlu sentap dan marah kerana ianya tidak ditujukan kepada anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Untuk mengekalkan kebahagiaan sesebuah keluarga, ia bukan peranan sebuah pihak sahaja. Semua orang di dalam keluarga itu harus tahu peranan masing-masing. Paling utama, suami dan isteri haruslah saling menyayangi dan inilah yang menjadikan sesebuah keluarga itu lebih sempurna dan bahagia.
Hanya ingat ‘8P’ sahaja. Nak tahu apa ‘8P’ tersebut?
1. PUJI – Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.
2. PELUK – Pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.
3. PENGHARGAAN – Amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.
4. PERHATIAN – Mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.
5. PERSEFAHAMAN – Memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.
6. PERGAULAN – Pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.
7. PERCUTIAN – Perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin.
8. PERMOHONAN – Doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.
Tip yang terakhir dari Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood adalah berdoa kepada Allah. Ada banyak doa yang boleh diamalkan, tetapi salah satunya adalah doa memohon kebahagiaan dunia dan akhirat ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!