
“Sebaik menerima panggilan memaklumkan rumah terbakar, saya terus bergegas pulang kerana terlalu bimbang memikirkan keselamatan tiga anak. Dalam keadaan panik dan kelam-kabut, saya terlupa bahawa mereka sebenarnya berada di sekolah ketika kejadian berlaku.”
Itulah detik cemas yang dikongsikan oleh Miss San Ma, 43, salah seorang mangsa kebakaran yang memusnahkan beberapa buah rumah di Jalan Kampung Cina, Kota Bharu, tengah hari tadi.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja di Kampung Kijang sebelum menerima panggilan daripada rakannya sekitar jam 12.20 tengah hari yang memaklumkan kebakaran berlaku di kawasan penempatannya.
Dalam keadaan tergesa-gesa pulang ke rumah, perkara pertama yang bermain di fikirannya hanyalah keselamatan tiga anaknya yang berusia antara tujuh hingga 15 tahun.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya terus pulang ke rumah untuk melihat keadaan sebenar. Dalam keadaan panik, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah keselamatan anak-anak.
“Dalam kekalutan itu, saya cuba menghubungi salah seorang daripada mereka berkali-kali namun tiada jawapan. Pada masa sama, saya turut bertanya kepada jiran-jiran sebelum dimaklumkan bahawa mereka berada di sekolah kerana hari ini adalah hari persekolahan.
“Selepas mendapat kepastian mengenai keselamatan anak-anak, baharulah perasaan cemas saya sedikit reda,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Miss San Ma berkata, sebaik tiba di rumah, dia cuba memasuki kediaman tersebut untuk menyelamatkan beberapa dokumen penting.
Pada masa sama, suaminya, Nasron Ibrahim, 55, bertindak mengeluarkan tong gas bagi mengelakkan risiko letupan yang lebih besar.
Namun, apa yang lebih menyedihkan, rumah yang menjadi tempat berteduh keluarganya selama 15 tahun itu kini musnah dalam sekelip mata.
“Saya terkilan kerana rumah ini baru sahaja dibaik pulih pada Ramadan lalu menggunakan wang pinjaman kira-kira RM20,000 daripada saudara-mara. Kini semuanya tinggal abu,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Nazira Ibrahim, 46, turut melalui detik sukar apabila tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan berharga.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku dia keluar membeli barangan keperluan memandangkan pada hari tersebut dia sedang bercuti.
“Saya menerima panggilan daripada saudara-mara sekitar jam 12.30 tengah hari yang memaklumkan rumah saya terbakar.
“Sebaik sampai, saya hanya mampu melihat api sedang marak membakar rumah saya serta beberapa kediaman penduduk lain,” katanya.
Tambah Nazira, keadaan yang terlalu kelam-kabut menyebabkan tiada apa yang sempat diselamatkan.
“Saya menanggung kerugian besar apabila barang kemas bernilai kira-kira RM7,000 turut hangus dalam kebakaran itu.
“Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku. Dalam sekelip mata, segala harta benda yang dikumpul selama ini musnah dijilat api.
“Buat masa ini, perkara paling penting ialah memastikan keluarga berada dalam keadaan selamat dan mencari tempat untuk meneruskan kehidupan sementara waktu,” katanya.
Lokasi: Jalan Kampung Cina, Kota Bharu
Kejadian: Kebakaran melibatkan 10 rumah
Masa kejadian: Sekitar 12.30 tengah hari
Panggilan kecemasan diterima: 12.34 tengah hari
Anggota dikerahkan: 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu serta Kota Darulnaim
Mangsa cedera: Tiada
Punca kebakaran: Masih dalam siasatan
Jumlah kerugian: Masih dalam siasatan
Sumber: Harian Metro & Berita Harian