Parenting A+ Forum Pa&Ma 2026, Jadi Ruang Berkongsi Ilmu & Harapan Menjadi Ibu Bapa Terbaik!

Share

Menjadi ibu bapa hari ini bukan sekadar membesarkan anak, tetapi membimbing sebuah jiwa yang bakal mencorak masa depan. Menyedari hakikat itu, Pa&Ma dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal menganjurkan Parenting A+ Forum pada 31 Januari 2026 bertempat di SACC Convention Centre, Shah Alam.

Forum ini menghimpunkan seramai 300 ibu bapa daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang dalam satu wadah perkongsian ilmu keibubapaan dan kesihatan anak yang holistik.

Langkah Pertama Pa&Ma Menyemarakkan Tahun 2026

Dikelolakan oleh pengacara televisyen berbakat besar, Farah Diana Anuar, Parenting A+ Forum merupakan acara pembuka tirai kepada pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang oleh Pa&Ma sepanjang tahun 2026.

Forum ini bukan sekadar acara ilmiah, tetapi sebuah permulaan kepada gerakan menyokong ibu bapa dalam mendidik anak-anak dengan lebih sedar, terancang dan penuh empati.

Smart Parent, Generasi Berkualiti

Antara panel jemputan utama ialah Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Pemasaran, PTPTN, yang akan membincangkan topik Smart ParentS, Bina Generasi Berkualiti. Perkongsian ini akan membuka minda ibu bapa tentang kepentingan perancangan simpanan pendidikan anak sejak awal usia, demi memastikan laluan masa depan mereka lebih terjamin dan tersusun.

Anak Bukan Mesin A+, Mereka Punya Nilai Tersendiri

Forum ini turut diserikan dengan kehadiran tokoh motivasi tersohor, Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah yang akan mengupas topik Anak Bukan Mesin A+, Fahami Potensi Unik Mereka. Slot ini dijangka menyentuh hati para peserta dengan mesej bahawa setiap anak dilahirkan dengan kelebihan tersendiri dan peranan ibu bapa adalah mencungkil, bukan memaksa.

Keibubapaan Dari Perspektif Islamik

Turut berkongsi pentas ialah Da’i Fuad Mokhtar, pendakwah bebas yang akan menyampaikan pandangan keibubapaan secara Islamik. Perkongsian ini mengajak ibu bapa untuk menilai semula perspektif terhadap anak-anak, khususnya anak yang aktif dan sering dilabel sebagai “nakal”. Hakikatnya, sikap aktif itu sering menjadi petanda awal kepada potensi besar yang tersimpan tenaga, keberanian dan keinginan untuk meneroka dunia.

Kesihatan Anak, Tanggungjawab Bersama

Aspek kesihatan anak turut diberi penekanan menerusi perkongsian oleh Dr. Nisa Khalil dan Dr. Syed Abdul Khaliq. Para peserta akan didedahkan dengan ilmu berkaitan sistem imuniti anak, serta isu kesihatan seperti Influenza dan Respiratory Syncytial Virus (RSV). Slot ini bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa agar lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit dan langkah pencegahan yang boleh diambil.

Gajet, Anak & Batasan Yang Membina

Slot yang tidak kurang dinanti-nantikan ialah perkongsian daripada pasangan selebriti Nad Zainal dan Ungku Ismail. Mereka akan berkongsi pengalaman sebenar berkaitan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak serta bagaimana bimbingan ibu bapa yang tepat mampu membantu anak memanfaatkan teknologi secara positif tanpa menjejaskan perkembangan emosi dan sosial.

Bonding yang Menjadi Akar Karakter Anak

Forum ini turut menampilkan selebriti jelita Anzalna Nasir yang akan mengetengahkan topik ‘bonding’ bersama anak. Perkongsian ini menekankan bagaimana hubungan yang rapat dan penuh kasih sayang antara ibu bapa dan anak mampu membentuk karakter anak yang lebih seimbang, yakin dan berempati.

Ilmu Dibawa Pulang, Manfaat Dirasai

Lebih menarik, setiap ibu bapa yang hadir akan menerima akaun Simpan SSPN bernilai RM30 setiap seorang serta goodies

istimewa tajaan butik TATEH, vitamin untuk anak, CHAMPS, produk barangan bayi dan kanak-kanak, jenama BZU BZU serta pembersih pakaian Sabun BADANG. Setiap hadiah ini dipilih bagi menyokong keperluan keluarga dan kesejahteraan anak-anak.

Membina Anak Hari Ini, Menyulam Masa Depan Esok

Diharapkan penganjuran Parenting A+ Forum ini dapat memberi manfaat berpanjangan kepada semua peserta yang mendaftar, demi memastikan hanya yang terbaik diberikan kepada anak-anak tersayang.

Di tangan ibu bapalah terletaknya benih masa depan yang dibentuk dengan sabar, disiram dengan doa, dan dibesarkan dengan kasih. Anak-anak mungkin tidak sempurna, namun dengan bimbingan yang tepat, merekalah cahaya yang akan menerangi hari esok.

 

Published by
Emy H