
Seorang pelajar di sebuah sekolah di sini cedera selepas dipercayai dipukul, ditumbuk, ditendang dan hampir dijerut dengan dawai oleh sekumpulan pelajar lain dalam satu kejadian pada Selasa.
Kejadian tersebut didakwa berlaku sekitar jam 10 pagi apabila enam pelajar Tingkatan Empat menyerang mangsa sebelum disedari oleh seorang guru yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Pendedahan itu dibuat oleh ibu saudara mangsa melalui satu hantaran di Facebook miliknya. Menurutnya, anak saudaranya bukan sahaja ditumbuk dan ditendang, malah turut dipukul, ditampar serta dilondehkan seluar hingga paras lutut. Lehernya juga hampir dijerut menggunakan dawai.
“Jika guru tidak lalu pada waktu itu, mungkin anak saudara saya sudah mati di tangan pembuli,” tulisnya di media sosial.
Wanita itu juga mendakwa pada malam hari yang sama, enam keluarga pelajar terbabit datang ke rumah ibu bapa mangsa bagi memohon supaya kes tersebut ditarik balik.
“Semua pembuli itu baru berusia Tingkatan Empat, namun berani melakukan perbuatan sehingga ke tahap ini. Apa akan jadi bila mereka mencecah umur 20 tahun?” katanya lagi.
Sementara itu, ibu kepada pelajar terbabit ketika dihubungi media mengakui anaknya masih trauma akibat kejadian tersebut. Beliau menjelaskan, kes ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian buli tersebut dan siasatan sedang dijalankan.