Pemandu Van Ditahan Selepas Rakaman Video Tular Bahayakan Pelajar Sekolah

Share

Polis menahan seorang pemandu van selepas rakaman video memaparkan tindakannya menurunkan dan mengambil dua pelajar sekolah ketika kenderaan masih bergerak tular di media sosial. Perbuatan tersebut bukan sahaja mengundang risiko terhadap keselamatan pelajar, malah turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video berdurasi singkat itu selepas ia dimuat naik di akaun Facebook Malaysia Baru New semalam sekitar jam 5.43 petang.

“Hasil semakan mendapati van berkenaan dalam keadaan bergerak ketika menurunkan serta mengambil dua pelajar sekolah. Tindakan itu jelas membahayakan kerana pelajar berisiko terjatuh atau dilanggar, selain boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pemandu Berusia 59 Tahun Ditahan

Susulan pendedahan tersebut, polis berjaya mengesan serta menahan pemandu van terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman berat ke atas pemanduan secara melulu atau berbahaya.

Polis menegaskan pihaknya memandang serius isu keselamatan pelajar sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang mengambil mudah tanggungjawab membawa murid.

Published by
Noel