
Isu penagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak semakin merisaukan apabila ada yang mula terjebak seawal usia 10 tahun, masih di bangku sekolah rendah. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, antara punca penagihan ini adalah taktik licik pengedar yang memberikan gula-gula bercampur dadah secara percuma kepada kanak-kanak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD) berkata, usaha membendung masalah ini tidak boleh diserahkan kepada sekolah dan guru sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama padu daripada ibu bapa dan seluruh masyarakat. Pendidikan awal tentang bahaya dadah perlu bermula seawal prasekolah agar anak-anak lebih bersedia menolak sebarang bentuk cubaan pengaruh negatif.
Menurut laporan Harian Metro, Zahid turut menekankan bahawa sindiket dadah kini semakin kreatif, malah ada yang menyalahgunakan perkhidmatan penghantaran untuk mengedar. Dari luar kelihatan seperti bungkusan belian dalam talian, tetapi sebenarnya penuh dengan dadah. Inilah sebabnya ibu ayah perlu lebih peka dan prihatin terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak, terutama di luar rumah.
Beliau turut berkongsi, penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap kritikal dengan peningkatan 32.5 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya. Statistik juga menunjukkan jumlah penagih melonjak daripada 436 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023 kepada 586 orang pada 2024.
Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa boleh:
Sentiasa berbual dengan anak mengenai bahaya dadah dalam bahasa yang mudah mereka faham.
Pantau rakan-rakan dan aktiviti harian mereka.
Jangan sesekali membiarkan anak terlalu bebas tanpa kawalan, terutama dalam penggunaan gajet dan media sosial.
Ajar anak untuk berani berkata “tidak” kepada apa sahaja yang meragukan.
Ahmad Zahid menegaskan, perang melawan dadah memerlukan strategi menyeluruh termasuk penguatkuasaan, pemulihan serta pendidikan. Apa yang lebih penting, peranan ibu ayah sebagai benteng utama tidak boleh dipandang ringan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika mengurangkan kadar banduan melalui program latihan kemahiran dan peluang ekonomi, membuktikan bahawa dengan kreativiti dan sokongan, masalah dadah mampu ditangani.
Bagi kita sebagai ibu bapa, mesejnya jelas – jangan tunggu hingga nasi menjadi bubur. Anak-anak adalah anugerah yang perlu dijaga sebaik mungkin. Cegah mereka daripada terjebak dengan dadah bermula dari rumah, dengan kasih sayang, perhatian dan didikan berterusan.