Penderaan Bayi Di Taska Desa Petaling, Luahan Ibu Ini Buat Ramai Mama Luluh Hati

Share

Penderaan Bayi Di Taska Cetus Luka Emosi Seorang Ibu

Hati seorang ibu mana yang tidak luluh apabila membaca berita penderaan bayi, apatah lagi apabila menyedari pusat asuhan yang terlibat adalah tempat yang pernah diamanahkan untuk menjaga anak sendiri. Itulah perasaan yang diluahkan oleh seorang wanita apabila kes penderaan bayi di taska Desa Petaling tular baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di platform Threads, wanita dikenali sebagai Amalina meluahkan rasa bersalah dan sebak apabila memikirkan kemungkinan bayinya turut pernah dilayan secara kasar ketika berada di taska berkenaan. Menurutnya, perasaan itu bagaikan ‘menyagat’ hati seorang ibu yang hanya mampu menaruh harapan pada orang lain ketika keluar bekerja.

Seorang wanita berkongsi kisah dialami bayinya ketika berada di bawah jagaan sebuah taska yang didakwa terlibat dengan kes penderaan.

Naluri Ibu Yang Pernah Memberi Isyarat

Amalina berkongsi, dia mula menghantar bayinya yang ketika itu baru berusia tiga bulan ke taska tersebut pada Februari lalu selepas tamat tempoh cuti bersalin. Seperti kebanyakan ibu bekerja lain, keputusan itu dibuat dengan berat hati namun terpaksa demi kelangsungan hidup.

Walaupun ketika sesi lawatan awal ke taska berkenaan nalurinya memberi petanda kurang menyenangkan, dia tetap meneruskan keputusan itu atas faktor tertentu yang sukar dielakkan.

“Waktu ‘viewing’, hati saya dah berat sebenarnya. Tapi taska itu paling murah dan paling dekat dengan rumah. Jadi saya hantar juga,” luahnya jujur.

Faktor Kos Jadi Pertimbangan Utama

Menurut Amalina, yuran taska tersebut hanya RM500 sebulan bagi bayi berusia tiga bulan, dengan yuran tahunan RM100. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding taska lain di kawasan sama yang mengenakan caj RM800 ke atas serta yuran tahunan mencecah RM2,000.

Keputusan itu dibuat bukan kerana mahu berkira soal keselamatan, sebaliknya realiti kewangan memaksa ramai ibu bapa membuat pilihan yang sukar. Kes penderaan bayi di taska seperti ini membuka mata bahawa harga murah tidak seharusnya menjadi keutamaan utama.

Perkongsian Bukan Untuk Menakutkan Ibu Bekerja

Namun Amalina menegaskan perkongsiannya bukan untuk menjatuhkan semangat ibu-ibu bekerja yang terpaksa menghantar anak ke taska. Sebaliknya, ia sebagai peringatan agar ibu bapa sentiasa peka dan tidak menafikan naluri sendiri.

“Saya pun sekarang dah kerja balik dan alhamdulillah bayi saya dijaga lebih baik. Tolong percaya naluri sendiri. Kalau tak sedap hati, jangan teruskan,” katanya.

Luahan itu mendapat sokongan ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman hampir sama ketika berdepan dilema memilih pusat asuhan.

Rakaman CCTV Bongkar Penderaan Bayi Di Taska

Terdahulu, seorang pengguna Threads @Liyanazulkifli memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan kasar seorang pengasuh terhadap beberapa bayi. Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila jelas menunjukkan bayi diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan.

Wanita itu mendakwa anaknya yang berusia enam bulan merupakan antara mangsa penderaan dan mengalami kesan lebam pada tubuh.

“Anak saya diperlakukan seperti anak patung. Ketika dibedung, dia dicampak, digolekkan dan dipijak. Anak saya baru enam bulan dan tidak tahu apa-apa,” katanya dengan penuh emosi.

Tindakan Polis Dan Siasatan

Susulan video tular tersebut, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memaklumkan seorang pengasuh wanita berusia 26 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Pihak polis menerima tiga laporan berkaitan kejadian itu melibatkan bayi berusia enam dan sembilan bulan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Peringatan Buat Semua Ibu Bapa

Kes penderaan bayi di taska ini menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa bahawa murah dan dekat bukan jaminan selamat. Percayalah pada naluri keibubapaan kerana ia adalah benteng pertama dalam melindungi anak yang belum mampu bersuara dan mempertahankan diri.

BACA LAGI : Cara Guna Baby Carrier Dengan Betul: Elak Risiko Kecederaan Pinggul Bayi 

SUMBER : Kosmo Online

Published by
Nana