
Penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah) kini boleh menarik nafas lega apabila Skim Perubatan MADANI membuka peluang untuk mereka mendapatkan rawatan percuma di klinik swasta terpilih tanpa perlu risau soal bayaran.
Melalui kerjasama dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), skim ini menawarkan rawatan akut secara percuma kepada penerima STR yang layak di seluruh Malaysia.
Buat masa ini, kemudahan ini tersedia di sepuluh kawasan terpilih iaitu:
* Kuala Lumpur
* Selangor (Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang)
* Johor (Johor Bahru)
* Perak (Kinta)
* Pulau Pinang (Timur Laut)
* Sabah (Kota Kinabalu)
* Sarawak (Kuching)
Antara perkhidmatan percuma yang ditawarkan termasuk:
* Konsultasi doktor
* Pemeriksaan kesihatan
* Ubat-ubatan
* Prosedur asas
* Rujukan susulan (jika perlu)
Had peruntukan yang disediakan mengikut kategori adalah seperti berikut:
* RM250 untuk setiap isi rumah berkeluarga
* RM125 untuk warga emas tanpa pasangan
* RM75 untuk kategori bujang
Cara nak mendapatkan rawatan?
Bagi penerima STR yang layak hanya perlu bawa kad pengenalan ke klinik swasta berdaftar. Tiada pendaftaran awal diperlukan.
Untuk menyemak kelayakan dan mencari klinik terdekat, orang ramai boleh melayari laman web rasmi ProtectHealth di bahagian Skim Perubatan MADANI. Klik SINI.
ProtectHealth selaku pelaksana skim ini yakin Skim Perubatan MADANI bukan sahaja memberi akses lebih luas kepada perkhidmatan kesihatan, tetapi turut membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.