
Insiden tragis melibatkan dua beradik di Batu Pahat baru-baru ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak, terutama ibu bapa. Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas dikelar di leher dan ditikam di badan, dipercayai dilakukan oleh abang kandungnya sendiri yang berusia sembilan tahun.
Menurut laporan Harian Metro, Kejadian berlaku di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, pada Isnin lalu. Mangsa ditemui dengan kesan kecederaan serius sebelum dikejarkan ke Hospital Batu Pahat, di mana dia kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, siasatan awal mendapati insiden itu mungkin dipengaruhi oleh permainan dalam talian popular yang sering dimainkan oleh abang mangsa.
“Berdasarkan siasatan awal, kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak itu berkemungkinan dilakukan oleh abangnya sendiri. Motif kejadian masih dalam siasatan, namun kami tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan permainan dalam talian,” katanya.
Difahamkan, abang mangsa bermain secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta ‘point’ dalam permainan tersebut. Namun, apabila adiknya dikatakan merosakkan telefon pintar abangnya, semua ‘point’ yang dikumpulkan itu hilang serta-merta.
Hasil soal siasat awal mendapati, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu mungkin mengalami halusinasi akibat terlalu tenggelam dalam dunia permainan dalam talian.
“Dia seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya. Dipercayai suspek mengambil pisau di rumah sebelum mencederakan adiknya sendiri,” jelas Datuk Ab Rahaman lagi.
Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk meneliti sejauh mana pengaruh permainan dalam talian terhadap tindakan suspek kecil itu.
Dalam perkembangan sama, ibu dan bapa kepada dua beradik itu masing-masing berusia 41 tahun telah direman dua hari bagi membantu siasatan.
Kedua-dua anak kini ditempatkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana masih di bawah umur. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata) dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kes ini menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa tentang kesan permainan dalam talian jika tidak dikawal dengan betul. Permainan digital kini menjadi sebahagian daripada dunia anak-anak, tetapi tanpa bimbingan, ia boleh menjejaskan emosi, tingkah laku dan tumpuan anak.
Main game bukanlah sesuatu yang salah. Tapi bila anak mula terlalu tenggelam, ibu bapa perlu melangkah masuk dalam dunia mereka — bukan sekadar memerhati dari jauh.
Tragedi di Batu Pahat ini bukan sekadar kisah jenayah, tapi cermin kepada cabaran ibu bapa zaman digital. Semoga kejadian ini membuka mata semua — bahawa kasih sayang, perhatian dan masa bersama anak adalah “permainan” yang paling penting untuk dimenangi.
🌙