
Bila dikurniakan cahaya mata, siapa yang tak teruja mahu berkongsi wajah comel anak dengan keluarga, sahabat dan pengikut di media sosial? Apatah lagi apabila melihat si kecil tersenyum, tidur lena atau menunjukkan pelbagai keletah yang mencuit hati.
Namun, dalam keterujaan berkongsi momen indah itu, ada juga ibu ayah yang memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak kepada umum, terutama ketika masih bayi. Antara sebab yang sering menjadi perhatian ialah kebimbangan terhadap penyakit ain dan keinginan untuk menjaga privasi anak.
Malah, amalan menutup, mengaburkan atau menangguhkan perkongsian wajah anak turut dilakukan oleh beberapa selebriti terkenal seperti Neelofa dan Fattah Amin bersama Fazura ketika awal kelahiran anak mereka.
Bukan sekadar mahu menjaga privasi, langkah ini juga sering dikaitkan dengan usaha melindungi anak daripada penyakit ain, yang sememangnya disebut dalam ajaran Islam.
Persoalannya, adakah ibu ayah perlu menyembunyikan wajah bayi daripada media sosial? Dan sejauh manakah perkongsian gambar anak boleh dikaitkan dengan penyakit ain?
Neelofa & Fattah Amin Antara Selebriti Yang Pernah Tidak Dedahkan Wajah Anak
Jika diperhatikan, semakin ramai ibu ayah kini lebih berhati-hati apabila berkongsi gambar anak di media sosial.
Ada yang hanya menunjukkan gambar dari belakang, menggunakan pelekat emoji untuk menutup wajah, malah ada juga yang langsung tidak memuat naik gambar anak sehingga mereka mencapai usia tertentu.
Pendekatan sama pernah menjadi perhatian apabila selebriti popular, Neelofa dan suaminya, PU Riz, memilih untuk mengehadkan pendedahan wajah anak-anak mereka, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas, di media sosial.
Malah, pada Februari 2026, Neelofa turut menjelaskan bahawa dia lebih tenang apabila tidak terlalu mendedahkan wajah anak kepada umum, sekali gus mengelakkan komen serta perbandingan daripada pengguna media sosial.
Begitu juga pelakon Fattah Amin dan bekas isterinya, Fazura, yang pernah mengambil pendekatan tidak menunjukkan wajah penuh anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya, sejurus selepas kelahirannya pada Oktober 2020.
Ketika itu, pasangan berkenaan memilih untuk berkongsi momen tertentu tanpa mendedahkan wajah bayi secara jelas sebelum akhirnya memperkenalkan wajah Fatima kepada umum beberapa bulan kemudian.
Walaupun setiap keluarga mempunyai sebab dan pendekatan tersendiri, tindakan sebegini memperlihatkan bahawa tidak semua momen membesarkan anak perlu dikongsikan kepada orang ramai.
Kadangkala, menjaga sesuatu yang berharga juga bermaksud memilih untuk tidak berkongsi segala-galanya.
Amin Idris Nasihat Ibu Ayah Berhati-hati Kongsi Wajah Bayi

Dalam perkongsian mengenai penyakit ain, penceramah dan personaliti motivasi, Amin Idris, turut mengingatkan ibu ayah supaya lebih berhati-hati ketika berkongsi gambar bayi yang baru dilahirkan.
Menurutnya, berbeza dengan individu dewasa yang sudah boleh membaca doa untuk diri sendiri, bayi masih bergantung sepenuhnya kepada penjagaan dan doa ibu bapa.
“Kalau kita yang sudah dewasa ini sekurang-kurangnya kita boleh baca doa sendiri.
“Masalahnya bayi ini baru lahir, dia tak boleh berdoa untuk diri sendiri sebagai pelindung daripada ain. Maka menjadi adab dan akhlak kita sebagai ibu bapa, kalau lah nak muat naik gambar anak, tutup muka.
“Dulu saya ingat, Neelofa dan PU Riz dahulu, pertama dia ambil masa untuk mereka muat naik gambar anak mereka Bilal, dan sampai satu masa bila mereka nak muat naik juga mereka ‘blur’ kan gambar untuk mengelak benda-benda beginilah”.
Nasihat tersebut boleh dijadikan peringatan kepada ibu ayah agar tidak terlalu terburu-buru berkongsi gambar anak, lebih-lebih lagi ketika mereka masih kecil.
Bagaimanapun, tindakan menutup wajah bayi merupakan salah satu pilihan berjaga-jaga dan bukannya kewajipan agama atau jaminan bahawa anak akan terhindar daripada penyakit ain.
Apa Itu Penyakit Ain? Ibu Ayah Perlu Faham
Dalam Islam, penyakit ain merujuk kepada kemudaratan yang berlaku dengan izin Allah SWT, yang dikaitkan dengan pandangan seseorang sama ada disertai perasaan hasad, dengki atau kekaguman.
Rasulullah SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ
Maksudnya: “Penyakit ain itu adalah benar (wujud). Jika ada sesuatu yang dapat mendahului takdir, nescaya ain itulah yang dapat mendahuluinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Kewujudan penyakit ain sememangnya diakui dalam Islam. Namun, ini tidak bermakna setiap pujian, pandangan atau perkongsian gambar bayi akan menyebabkan anak terkena penyakit tersebut.
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada larangan khusus dalam Islam untuk memuat naik gambar bayi di media sosial kerana dikhuatiri terkena penyakit ain.
Sebaliknya, ibu ayah disarankan mengambil langkah berjaga-jaga, mengamalkan doa perlindungan dan sentiasa memohon keberkatan daripada Allah SWT.
Apabila melihat bayi yang comel atau sesuatu yang mengagumkan, kita juga digalakkan mendoakan keberkatan, antaranya dengan mengucapkan Barakallahu fik atau Tabarakallah.
Bayi Kerap Menangis, Adakah Petanda Terkena Penyakit Ain?
Dalam sebuah riwayat daripada Saidatina Aisyah RA, diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mendengar tangisan seorang kanak-kanak.
Baginda kemudian bersabda:
هَلَّا اسْتَرْقَيْتُمْ لَهُ مِنَ الْعَيْنِ
Maksudnya: “Mengapa kamu tidak mengubatnya daripada gangguan penyakit ain?”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Riwayat ini menjadi antara sandaran perbincangan mengenai amalan ruqyah sebagai usaha memohon perlindungan dan kesembuhan daripada penyakit ain.
Namun, ibu ayah perlu memahami bahawa bayi yang kerap menangis tidak semestinya mengalami penyakit ain.
Tangisan merupakan cara utama bayi berkomunikasi, sama ada kerana lapar, mengantuk, tidak selesa, sakit atau memerlukan perhatian.
Sekiranya bayi menangis berterusan, kelihatan lemah, demam, kurang menyusu atau menunjukkan tanda kesihatan yang membimbangkan, pemeriksaan doktor tetap perlu diutamakan.
Doa dan ikhtiar perubatan boleh diamalkan bersama tanpa perlu mengabaikan salah satunya.
Bukan Sekadar Penyakit Ain, Privasi Anak Juga Perlu Dijaga

Sebenarnya, kesedaran untuk tidak terlalu mendedahkan wajah dan kehidupan anak di media sosial bukan hanya berkait dengan penyakit ain.
Dari sudut keselamatan digital, ibu ayah juga perlu mempertimbangkan risiko apabila gambar dan maklumat anak dikongsikan secara terbuka.
Walaupun sekadar gambar comel atau video anak bermain, sesuatu perkongsian boleh mengandungi maklumat yang tidak disedari, termasuk lokasi rumah, sekolah, rutin harian dan identiti anak.
Lebih membimbangkan, gambar yang dimuat naik secara terbuka boleh disimpan, disebarkan semula atau digunakan oleh pihak lain tanpa pengetahuan ibu bapa.
Sedangkan anak yang masih kecil belum memahami maksud privasi dan tidak berupaya memberikan persetujuan yang benar-benar bermakna terhadap pendedahan kehidupan mereka di internet.
Justeru, ibu ayah boleh mempertimbangkan beberapa langkah berikut:
- Hadkan perkongsian gambar anak. Tidak semua aktiviti dan perkembangan anak perlu dimuat naik kepada umum.
- Elakkan maklumat peribadi. Jangan dedahkan lokasi rumah, sekolah, alamat atau rutin harian anak secara terperinci.
- Pertimbangkan untuk mengaburkan wajah. Terutama jika gambar dikongsikan di akaun terbuka yang mempunyai ramai pengikut.
- Jaga maruah anak. Elakkan berkongsi gambar ketika mandi, menangis dalam keadaan memalukan atau situasi yang mungkin membuatkan mereka tidak selesa apabila dewasa.
- Dapatkan persetujuan apabila anak semakin besar. Biasakan bertanya sama ada mereka selesa gambar atau video mereka dikongsi kepada orang lain.
Langkah kecil sebegini boleh membantu ibu ayah menjadi lebih bertanggungjawab dalam menguruskan jejak digital anak sejak usia bayi.
Amalkan Doa Perlindungan Untuk Anak Setiap Hari
Selain menjaga batas perkongsian media sosial, ibu ayah juga digalakkan mengamalkan doa perlindungan sebagaimana yang diajarkan Rasulullah SAW.
Antara doa yang dibacakan Baginda untuk cucunya, Hassan dan Hussain, ialah:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Bacaan Rumi
A‘udzu bi kalimatillahit-tammati min kulli syaitanin wa hammah, wa min kulli ‘ainin lammah.
Maksud Doa
“Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa, dan daripada setiap mata yang jahat (ain).”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Ibu ayah boleh membiasakan doa ini dalam kehidupan seharian sebagai usaha memohon perlindungan Allah SWT untuk anak-anak.
Lebih penting, amalan tersebut perlu disertai keyakinan bahawa segala perlindungan dan kesembuhan datang daripada Allah SWT.
Tak Kongsi Wajah Anak Bukan Bermakna Tak Bangga Dengan Anak

Ada ibu ayah yang selesa berkongsi gambar dan video anak di media sosial. Ada juga yang memilih menyimpan momen tersebut untuk tatapan keluarga terdekat sahaja.
Kedua-duanya mempunyai pertimbangan tersendiri dan tidak wajar dijadikan ukuran kasih sayang seseorang terhadap anak.
Tidak menunjukkan wajah anak bukan bermakna ibu ayah tidak bangga dengan kehadiran mereka. Begitu juga ibu ayah yang berkongsi gambar anak tidak sepatutnya terus dianggap cuai atau mengabaikan perlindungan anak.
Apa yang penting ialah setiap perkongsian dibuat dengan penuh pertimbangan terhadap keselamatan, privasi dan kesejahteraan anak.
Dalam masa yang sama, ibu ayah tidak perlu hidup dalam ketakutan berlebihan terhadap penyakit ain sehingga setiap masalah kesihatan, tangisan atau perubahan tingkah laku anak dikaitkan dengannya.
Hakikatnya, anak-anak adalah amanah Allah SWT yang perlu dijaga sebaik mungkin, bukan sahaja daripada aspek fizikal dan emosi, tetapi juga keselamatan mereka di alam maya.
Biarlah tidak semua orang melihat wajah anak kita, asalkan anak membesar dalam keadaan selamat, mendapat kasih sayang dan sentiasa dilindungi dengan doa.
Kerana akhirnya, kebahagiaan membesarkan anak tidak diukur melalui berapa ramai yang melihat atau menyukai gambar mereka di media sosial, tetapi melalui kasih sayang, didikan dan perlindungan yang diberikan oleh ibu ayah setiap hari.
Sumber: Amin Idris
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

