Percutian Bertukar Tragedi, Dua Beradik Kembar Ditemui Lemas Di Kolam Renang

Share

Tiada ibu ayah yang pernah bersedia untuk kehilangan, apatah lagi kehilangan dua nyawa kecil serentak. Apa yang bermula sebagai percutian hujung tahun untuk mencipta kenangan manis, akhirnya meninggalkan luka yang akan dibawa seumur hidup. Dalam sekelip mata, gelak tawa kanak-kanak bertukar menjadi sunyi yang menyakitkan.

Pada 26 Disember lalu, sekitar jam 3.45 petang, dua beradik kembar berusia tujuh tahun ditemui terapung di sebuah kolam renang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka berada di lokasi tersebut untuk menikmati percutian akhir tahun, dibawa oleh ibu dan bapa saudara mereka, seperti kebanyakan keluarga lain yang mengambil peluang musim cuti sekolah untuk berehat bersama.

Detik cemas itu disedari oleh seorang pekerja pembersihan yang sedang menjalankan tugas di kawasan kolam renang. Pekerja tersebut menjadi individu pertama yang menemui pasangan kembar berkenaan sebelum segera terjun ke dalam kolam dan membawa mereka keluar. Orang di sekeliling cuba sedaya upaya memberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan dan CPR.

Namun, usaha tersebut tidak mampu menafikan takdir. Kedua-dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital. Pihak polis mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas ketika berenang, namun setakat ini kronologi terperinci kejadian masih belum didedahkan kepada umum.

Dalam keadaan penuh duka, pihak keluarga menerima ketentuan yang berlaku dan memilih untuk tidak menjalankan proses autopsi terhadap jenazah kedua-dua kembar tersebut. Apa yang tinggal kini hanyalah kesedihan yang sukar diungkap dengan kata-kata, apabila seorang ibu terpaksa menerima hakikat kehilangan dua cahaya mata dalam satu masa.

Walaupun peristiwa ini tidak berlaku di negara kita, ia wajar menjadi peringatan serius buat semua ibu ayah. Musim cuti sekolah sering dikaitkan dengan percutian, aktiviti air dan kolam renang. Namun, di sebalik keterujaan anak-anak, aspek keselamatan tidak boleh dipandang remeh walau sesaat.

Kanak-kanak boleh tenggelam tanpa sebarang jeritan atau percikan yang kuat. Dalam banyak kes, hanya beberapa detik yang memisahkan antara selamat dan tragedi. Justeru, pengawasan berterusan, fokus sepenuhnya dan tidak bergantung kepada orang lain adalah perkara asas yang wajib dipraktikkan.

Malang mungkin datang tanpa amaran. Tetapi langkah berjaga-jaga sentiasa berada dalam pilihan kita. Semoga kisah ini menjadi pengajaran besar buat semua bahawa nyawa anak-anak adalah amanah paling berharga yang perlu dijaga tanpa kompromi.

Sumber: IDN Times

Published by
Nor Yusoff