Nahas kira-kira pukul 1 tengah hari itu menyebabkan seorang ibu dan anak perempuannya berusia tiga tahun maut, manakala suami mangsa dan dua lagi anak mereka berusia antara sembilan dan enam tahun yang turut berada di dalam kenderaan terbabit mengalami kecederaan.

MENINGGAL DI TEMPAT KEJADIAN

Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian menyayat hati itu ialah Roshila Ishak,38, dan puteri bongsu keluarga itu, Nur Zahara Fauzi.

Difahamkan kereta Perodua Kelisa yang dipandu suami mangsa, Fauzi Fazin terbabas seterusnya merempuh sebatang pokok di kawasan itu.

DALAM PERJALANAN PULANG MEMBELI CAT

Menurut kakak ipar mangsa, Rohaiza Halim,34, keluarga tersebut difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pulau di sini selepas membeli cat di Kangar.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa adik iparnya bersama keluarga ialah pada Ahad lalu ketika mereka berbuka puasa bersama di rumah.

Ujarnya, ketika berbual, Roshila ada memaklumkan kepadanya bahawa ini mungkin kali terakhir mereka sekeluarga berpuka puasa  bersama-sama di rumah tersebut.

Kakak ipar mangsa, Rohaiza Halim.

“Mereka juga ingin mengecat rumah agar kelihatan lebih indah dalam menyambut hari raya. Hari ini, mereka pergi beli cat, tetapi tidak sempat pulang ke rumah apabila Allah SWT lebih sayangkan adik ipar dan anaknya itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Tambahnya, dia dan keluarga reda dengan pemergian Roshila dan anaknya di penghujung bulan Ramadan penuh keberkatan ini.

Katanya, dua beranak tersebut dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau, Simpang Empat di sini selepas selesai proses bedah siasat.