“Tolonglah jaga prosedur operasi standard (SOP) kerana saya sudah kehilangan isteri dan anak kerana Covid-19. Kasihanilah anak, isteri dan suami masing-masing serta duduklah di rumah kerana boleh alami nasib sama seperti saya,” kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.

Menurutnya, isterinya, Umaisarah Azmi, 25, yang hamil tujuh bulan disahkan meninggal dunia semalam pada 1.25 tengah hari selepas dijangkiti Covid-19, malah anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Mengadu sesak nafas, sakit kepala 

Katanya, isterinya yang tidak bekerja menghembuskan nafas terakhir ketika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, selepas mengadu sesak nafas dan sakit kepala yang teruk.

“Perginya Tanpa Pesan”. Hilang Isteri & Anak Dalam Kandungan Kerana Covid

“Isteri saya tidak pernah menghidap penyakit atau mengalami alahan sejak mengandung anak ketiga mereka.

“Bagaimanapun, dia mengejutkan saya kira-kira 4 pagi semalam (17 Julai) selepas mengadu tidak boleh bernafas, kaki dan tangannya menjadi lemah.

IKLAN

“Saya terus membawanya ke HSAH kerana bimbang melihat keadaannya yang semakin lemah sebelum dia dimasukkan ke Zon Merah HSAH.

“Tidak lama kemudian doktor mengesahkan dia meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Isteri tak sabar nak sambut kelahiran bayi ke-3

IKLAN

Mohd Fadli yang menetap di Kampung Pokok Asam di sini, tidak menyangka perubahan sikap isterinya yang tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi mereka adalah petanda dia akan pergi buat selamanya.

Katanya, ketika mengandungkan anak sulung mereka, Muhamad Adam, 3, persiapan yang dilakukannya hanya biasa-biasa tetapi kali ini dibelikan barang yang mahal.

“Saya sentiasa menemani isteri di rumah kerana tidak dapat bekerja disebabkan tempat kerja ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya agak terkilan kerana tak sempat bersama di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir dan hanya melihat tubuhnya kaku ketika doktor panggil untuk tujuan pengesahan,” katanya.

Reda pemergian isteri 

IKLAN

Mohd Fadli yang bekerja di sebuah pusat menjual kereta di Padang Temusu di sini, reda dengan pemergian isterinya itu dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam pada 4 petang (18 Julai).

Menurutnya, dia bersama dua anaknya dan ibu mentua juga menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini dan diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin hingga 26 Julai ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo ketika dihubungi mengesahkan berlaku kematian seorang ibu hamil di HSAH kerana Covid-19 dan keluarga mangsa juga diarahkan untuk dikuarantinkan.

Kredit: Metro

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI