10 Permainan Video Paling Bahaya Untuk Kanak-Kanak, Ibu Bapa Wajib Ambil Tahu!

Share

Selepas insiden tragik penikaman pelajar di SMK Bandar Utama (4) baru-baru ini, isu permainan video berbahaya untuk kanak-kanak kembali menjadi perhatian ramai. Kebimbangan terhadap pengaruh dunia maya terhadap minda anak-anak semakin meningkat apabila beberapa sekolah Cina di Kuala Lumpur seperti SJK(C) Nan Yik, SJK(C) Kuen Cheng 2, dan SJK(C) Kong Hoe di Klang berkongsi senarai 10 permainan video paling berbahaya di Facebook sebagai amaran kepada ibu bapa.

Menurut perkongsian tular itu, dunia maya berpotensi menjadikan kanak-kanak tidak sensitif terhadap keganasan dan boleh menghakis nilai moral jika tiada kawalan sewajarnya. Sebenarnya, kawalan ibu bapa bukanlah tanda kolot tapi bukti kasih sayang dan tanggungjawab terhadap anak-anak dalam dunia digital hari ini.

10 Permainan Video Paling Bahaya Untuk Kanak-Kanak

Berikut antara permainan video berbahaya untuk kanak-kanak yang dikenal pasti mampu memberi kesan negatif terhadap emosi, akhlak dan perkembangan mental, jika dimainkan tanpa pemantauan ibu bapa.

1. PUBG Mobile

Permainan “battle royale” ini melatih pemain untuk menembak dan membunuh lawan demi kemenangan. Lama-kelamaan, anak mungkin mengaitkan membunuh dengan keseronokan, sekaligus mengikis nilai empati dan kawalan emosi.

2. Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)

Game strategi 5 lawan 5 ini sangat popular di kalangan pelajar sekolah, tetapi boleh menyebabkan ketagihan dan sikap panas baran. Elemen persaingan tinggi dan komunikasi kasar antara pemain menjadikan anak lebih mudah stres dan marah.

3. Call of Duty

Menampilkan suasana peperangan realistik dengan adegan darah dan jeritan, Call of Duty boleh menyebabkan anak tidak sensitif terhadap keganasan dan menganggap tembak-menembak sebagai hiburan biasa.

4. Grand Theft Auto (GTA)

Dalam permainan ini, pemain bebas mencuri, menyerang orang awam dan melanggar undang-undang. Ia menormalisasikan jenayah dan kata-kata kesat, sekaligus memberi kesan buruk terhadap moral dan pemikiran anak-anak.

5. Roblox

Walaupun kelihatan comel, Roblox membenarkan sesiapa mencipta permainan sendiri termasuk kandungan berunsur ganas atau tidak bermoral. Risiko grooming dan eksploitasi dalam talian juga wujud — bahaya tersembunyi yang ramai ibu bapa terlepas pandang.

6. Granny / Scary Teacher 3D

Permainan berunsur seram ini boleh membuatkan anak menikmati penderitaan orang lain. Ia boleh memupuk tingkah laku membuli dan membalas dendam, selain menyebabkan tekanan emosi serta gangguan tidur.

7. Fortnite Mobile

Permainan ini sangat ketagihan kerana gabungan aksi dan kreativiti. Anak boleh bermain berjam-jam tanpa henti demi kemenangan atau ganjaran “skin” baharu. Ia menyebabkan kurang tidur, gangguan tumpuan, dan ketidakseimbangan rutin harian.

8. Squid Game Challenge App

Berdasarkan siri popular Netflix, game ini menjadikan keganasan dan kematian sebagai cabaran interaktif. Walaupun nampak seperti hiburan, ia sebenarnya menormalkan kekejaman dan penderitaan sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

9. Yandere Simulator

Mempromosikan watak pelajar perempuan yang membunuh demi cinta, game ini memberi mesej berbahaya bahawa keganasan boleh diterima dalam hubungan. Ia sangat toksik dan tidak sesuai untuk remaja.

10. Resident Evil / The Last of Us

Permainan ini dihasilkan untuk pemain dewasa, namun sering dimainkan oleh kanak-kanak. Imej zombie dan adegan ganas boleh menjejaskan kestabilan emosi serta tidur anak-anak.

Nasihat Untuk Ibu Bapa, Kawalan Adalah Kasih Sayang

Dalam dunia tanpa sempadan ini, ibu bapa ialah benteng utama melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif dunia maya. Jangan takut untuk menetapkan sempadan — semak rating umur setiap game, hadkan masa bermain, dan sentiasa berbual dengan anak tentang kandungan yang mereka tonton atau main.

Permainan video berbahaya untuk kanak-kanak bukan sekadar isu hiburan, tetapi isu tanggungjawab bersama. Didikan dan bimbingan dari rumah mampu membentuk keseimbangan antara hiburan dan nilai moral.

👉 Ingat, mencegah lebih baik daripada merawat. Apa yang anak lihat dan main hari ini akan membentuk siapa mereka pada masa depan.

BACA LAGI :

Published by
Nana