
Tak sangka, dalam dunia yang serba moden hari ini, masih ada ibu ayah yang berpegang pada kepercayaan lama tanpa memikirkan keselamatan anak sendiri. Amalan yang diwarisi turun-temurun kadang-kadang diterima bulat-bulat, walaupun jelas bertentangan dengan logik, sains dan kesihatan.
Lebih membimbangkan, kepercayaan ini bukan sekadar disimpan sebagai cerita lama, tetapi masih diamalkan secara aktif terhadap bayi yang baru sahaja melihat dunia. Dalam soal membesarkan anak, setiap keputusan yang dibuat ibu bapa akan memberi kesan besar terhadap kesihatan dan perkembangan si kecil.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu amalan lama yang masih diamalkan segelintir ibu bapa, iaitu petua calit najis bayi
di bahagian kening dengan harapan bulu kening anak akan tumbuh lebih lebat apabila dewasa kelak.Walaupun kejadian ini tdiak berlaku di negara ini, semoga ia menjadi kesedaran buat ibu ayah supaya tidak mengikut amalan yang menjejaskan kesihatan bayi yang lemah imuniti badannya.
Walaupun kedengaran sukar dipercayai, amalan ini masih dianggap “biasa” oleh sesetengah pihak kerana ia kononnya diamalkan sejak zaman nenek moyang. Malangnya, kepercayaan ini sering diterima tanpa sebarang persoalan atau penilaian dari sudut keselamatan.
Apabila ditegur dengan niat baik, ada yang memilih untuk mempertahankan amalan tersebut, malah menganggap teguran itu sebagai penghinaan terhadap tradisi keluarga.
Menerusi perkongsian yang tular itu, kelihatan seorang ibu mencalit najis pertama bayinya yang masih melekat pada lampin pakai buang, lalu disapu terus ke bahagian kening bayi yang baru dilahirkan.
Perkara ini dilakukan atas kepercayaan bahawa bulu kening anak akan menjadi lebih lebat dan cantik apabila besar nanti. Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah tindakan tersebut dilakukan tanpa memikirkan tahap imuniti bayi yang masih sangat lemah pada peringkat awal kelahiran.
Najis, walaupun berasal daripada bayi sendiri, tetap mengandungi bakteria dan kuman yang berpotensi menyebabkan jangkitan, terutamanya apabila disapu pada kulit wajah yang sensitif.
Sebagai ibu bapa, kita perlu sedar bahawa bayi bukan bahan eksperimen untuk menguji petua-petua lama yang tidak mempunyai asas perubatan. Kulit bayi sangat nipis dan sensitif, manakala sistem pertahanan badan mereka masih belum matang sepenuhnya.
Pendedahan kepada kuman melalui amalan seperti petua calit najis bayi boleh menyebabkan iritasi kulit, ruam, jangkitan bakteria dan dalam kes tertentu, jangkitan yang lebih serius jika kuman memasuki mata atau mulut bayi.
Lebih menyedihkan, risiko ini sering dipandang ringan hanya kerana niat asal ibu bapa adalah untuk kecantikan dan kebaikan anak.
Parenting bukan soal mengikut apa yang orang lama buat semata-mata. Ia adalah tentang belajar, bertanya, menilai dan memilih yang terbaik berdasarkan ilmu dan fakta semasa.
Menghormati tradisi bukan bermaksud kita perlu mengamalkannya tanpa soal. Banyak amalan lama yang lahir ketika sains dan pengetahuan kesihatan masih terhad, dan tidak semuanya sesuai dipraktikkan pada zaman sekarang.
Dalam dunia hari ini, maklumat kesihatan mudah diakses, dan ibu bapa seharusnya lebih terbuka untuk mendapatkan pandangan pakar sebelum melakukan sesuatu terhadap bayi mereka.
Dalam pada itu, meninjau di ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa terkejut dengan amalan itu. Siapa sangka amalan yang memudaratkan ini masih menjadi amalan.
Sumber: folkkonoha