
Dalam satu pengumuman yang dinanti-nantikan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bantuan tunai RM100 secara one-off kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media khas merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Ini bermakna jika sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400. Syukur!
“Alhamdulillah, sebentar tadi saya telah umumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada seluruh rakyat atas dukungan, atas kesetiaan, atas kebersamaan yang mengalirkan tenaga kepada agenda pemulihan dan reformasi negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan beberapa sumbangan lain bagi meringankan beban rakyat. Antaranya adalah seperti berikut:
Antara yang saya umumkan:
• Hari kelepasan am tambahan pada Isnin, 15 September 2025 bersempena Hari Malaysia sebagai tanda penghargaan atas ikatan yang membentuk kita sebagai bangsa
• Peruntukan Jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta, diperluas ke semua 600 kawasan DUN agar harga barangan asas mampu milik lebih dekat dengan setiap keluarga
• Tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya, kerajaan memperuntukkan lebih RM500 juta demi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan tanpa beban tambahan
• Harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia
Sejak hari pertama, inilah azam dan arah kita bahawa setiap dasar, setiap keputusan, setiap ringgit yang dibelanja harus mengangkat darjat dan martabat rakyat.
Semoga langkah-langkah ini benar-benar menjadi nafas kelegaan buat rakyat terbanyak dan menjadi obor keyakinan untuk kita terus melangkah bersama dalam perjalanan reformasi menuju sebuah negara yang lebih adil, makmur dan sejahtera.
Sumber: Anwaribrahimofficial