Berita

Hamil Anak Ke-14 & 15, Isteri Alami Preeklampsia & Gigi Tertanggal

Share

Preeklampsia ketika hamil bukanlah keadaan yang boleh dipandang ringan. Walaupun kisah ini berlaku di luar negara, ia tetap boleh menjadi satu iktibar buat pasangan suami isteri, terutama apabila melibatkan kesihatan dan keselamatan seorang ibu sepanjang kehamilan.

Anak sememangnya satu rezeki yang tidak ternilai. Namun dalam merancang keluarga, keadaan tubuh dan kesihatan isteri juga tidak boleh dipandang ringan. Kehamilan bukan proses yang mudah dan setiap kehamilan membawa risiko yang berbeza.

Lebih-lebih lagi apabila seorang ibu sudah melalui banyak kehamilan, melahirkan anak dalam jarak yang rapat atau mula mengalami komplikasi. Pada ketika itu, keselamatan ibu perlu menjadi antara perkara paling utama untuk dipertimbangkan bersama.

Hamil Kembar, Bakal Timang Anak Ke-14 Dan 15

Baru-baru ini, kisah sebuah keluarga di Indonesia menjadi perhatian selepas keadaan seorang wanita yang sedang hamil kembar diperkatakan di media sosial.

Berdasarkan perkongsian yang tular, pasangan berkenaan dikatakan sudah mempunyai 13 orang anak sebelum si isteri sekali lagi hamil. Kehamilan kali ini merupakan kehamilan kembar yang bakal menjadikan mereka ibu bapa kepada 15 orang cahaya mata.

Menurut maklumat yang dikongsikan, anak pertama pasangan tersebut dilahirkan pada tahun 2006, manakala anak-anak seterusnya dilahirkan pada 2007, 2009, 2010, 2012, 2013, 2014, 2015, 2017, 2018, 2019, 2021 dan 2023.

Ini bermakna sebahagian besar kelahiran berlaku dengan jarak yang agak dekat.

Doktor Dedah Isteri Alami Preeklampsia

Apa yang lebih membimbangkan, seorang doktor yang mendakwa pernah merawat wanita tersebut tampil menjelaskan mengenai keadaan kehamilannya.

Doktor berkenaan menjelaskan bahawa kesemua anak pasangan itu merupakan hasil perkahwinan dengan seorang isteri dan bukannya empat isteri seperti yang didakwa sesetengah pihak di media sosial.

Menurutnya, wanita berusia 35 tahun itu sedang mengandungkan anak ke-14 dan ke-15 serta mengalami preeklampsia.

Preeklampsia merupakan komplikasi kehamilan yang melibatkan tekanan darah tinggi dan boleh disertai tanda gangguan pada organ badan. Keadaan ini memerlukan pemantauan perubatan kerana boleh menjadi serius jika tidak dikawal dengan baik.

Menerusi perkongsian yang tular, turut didakwa bahawa wanita tersebut pernah mengalami kekejangan ketika hamil.

Apa pun keadaan sebenar individu berkenaan, situasi seperti ini mengingatkan kita bahawa apabila komplikasi kehamilan sudah berlaku, ia bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh.

Selepas Bersalin Kembar, Difahamkan Rancang Tubektomi

Doktor berkenaan turut mendakwa wanita tersebut telah melahirkan hampir setiap tahun dan tubuhnya kini kelihatan keletihan selepas melalui banyak kehamilan.

Dalam perkongsian sama, pasangan itu dikatakan merancang supaya kelahiran kembar dilakukan melalui pembedahan caesarean dan dalam masa sama menjalani prosedur sterilisasi atau tubektomi bagi mencegah kehamilan pada masa akan datang.

Perancangan seperti ini tentunya perlu dibuat selepas mendapat penerangan serta penilaian doktor kerana keadaan kesihatan setiap wanita adalah berbeza.

Preeklampsia Jadi Peringatan, Suami Isteri Sama-Sama Bertanggungjawab

Tidak dinafikan setiap pasangan mempunyai hak untuk menentukan saiz keluarga masing-masing.

Namun tanggungjawab seorang suami bukan sekadar menyediakan keperluan anak-anak. Kesihatan isteri yang melalui proses mengandung, melahirkan dan berpantang juga perlu diberi perhatian.

Ada ibu yang kembali hamil ketika tubuhnya masih belum benar-benar pulih daripada kehamilan terdahulu. Ada juga yang mempunyai masalah kesihatan tertentu yang menjadikan kehamilan berikutnya lebih berisiko.

Sebab itulah keputusan berkaitan kehamilan dan perancangan keluarga sebaiknya tidak dibuat oleh sebelah pihak sahaja.

Berbincanglah bersama pasangan dan dapatkan pandangan doktor, terutama jika isteri mempunyai sejarah komplikasi kehamilan.

 

@budi.abu.muhammad 🥰 Anak No. 13 Bahagia Banget Digendong ❤️ MasyaAllah, wajah bahagianya ketika digendong bikin hati ikut bahagia 🥰❤️ Sesederhana digendong, tapi begitu besar rasa nyaman dan kasih sayang yang dirasakan. Semoga anak-anak kami selalu sehat, bahagia, dan menjadi anak-anak yang shalih/shalihah. 🤲✨ #AnakNo13 #AnakBanyak #KeluargaBesar #AnakSholeh #AnakSholehah ♬ suara asli – Budi Galaxy – Budi Galaxy 13

Jangan Anggap Isteri Akan Sentiasa Mampu Bertahan

Kadang-kadang seorang ibu kelihatan kuat kerana dia tidak mempunyai pilihan selain meneruskan rutin menjaga anak dan keluarga.

Namun tubuh wanita juga mempunyai had.

Apabila doktor sudah memberikan amaran mengenai kesihatan ibu, nasihat tersebut wajar dipandang serius. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula memikirkan keselamatannya.

Kehadiran anak memang membawa kebahagiaan, tetapi seorang anak juga memerlukan ibu yang sihat untuk membesar bersama mereka.

Sebab itu, selain memikirkan soal menambah zuriat, pasangan juga perlu bertanya, adakah tubuh isteri masih bersedia untuk melalui satu lagi kehamilan?

Anak Rezeki, Kesihatan Ibu Juga Amanah

Kisah yang berlaku di luar negara ini bukan untuk menghukum atau mempertikaikan pilihan mana-mana keluarga.

Sebaliknya, ia boleh dijadikan peringatan bahawa setiap kehamilan perlu dipantau dan setiap komplikasi termasuk preeklampsia perlu diambil serius.

Anak adalah rezeki, tetapi menjaga kesihatan isteri juga satu amanah.

Jika doktor menasihatkan supaya kehamilan seterusnya dielakkan atau perlu dirancang dengan lebih teliti atas faktor kesihatan, berbincanglah dengan baik sebagai suami isteri.

Kerana pada akhirnya, bukan sekadar berapa ramai anak yang dimiliki menjadi ukuran, tetapi bagaimana mama dan papa memastikan setiap anak mendapat kasih sayang, penjagaan dan paling penting, membesar bersama ibu yang berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Sumber: Budi Abu &  refinatrianii

Published by
Nor Yusoff