Banyak golongan yang terjejas sepanjang tahun ini apabila Covid-19 melanda negara kita. Tidak semua orang bernasib baik dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dan terpaksa bersusah-payah hanya untuk mendapatkan bekalan makanan buat keluarga. Bagi membantu golongan ini, banyak NGO yang telah bekerjasama untuk menghulurkan bantuan.

Inisiatif yang diambil oleh beberapa badan kebajikan bersama Community Transformation Initiative Berhad (CTI) telah berjaya membantu golongan yang memerlukan dengan bekalan makanan. Ikuti penjelasan lanjut dari pihak penganjur tentang usaha murni mereka ini :

Bagaimana tercetusnya kerjasama antara funder dan badan kebajikan untuk sama2 menganjurkan aktiviti csr ini?

Projek kolaborasi ini dibawa oleh kerjasama antara beberapa pihak di CTI merupakan NGO pelaksana utama projek ini. CTI telah mempertimbangkan implikasi Laporan UNICEF 2018, “Children Without” dan ingin cuba mencari peluang untuk memenuhi keperluan pemakanan ibu mengandung dan bayi untuk 1000 hari pertama terutamanya ketika pandemik Covid-19. Semasa pandemik bermula, bantuan makanan secara umum dihulurkan kepada NGO untuk komuniti yang memerlukan. Barang makanan itu biasanya tidak mengandungi buah-buahan yang segar, sayur-sayuran serta sumber protein seperti daging, ikan dan telur. Disebabkan oleh kerumitan menghantar  makanan segar, kebanyakan makanan yang disumbangkan adalah makanan kering, termasuk kentang dan bawang yang boleh disimpan tanpa peti sejuk.

Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Makanan kering yang dibekalkan pada bulan September 2020

Pada masa yang sama, pengasas Graze Market, sebuah syarikat keusahawanan sosial yang menyelamatkan sayur-sayuran daripada pembaziran, Puan Clara Wan, telah mendengar tentang Prudence Foundation Chairman’s Challenge Fund yang menyediakan dana untuk program bantuan semasa Covid-19, dan memberi cadangan kepada CTI, yang  merupakan pengedar PRUkasih (sebuah Rancangan Perlindungan Pendapatan CSR oleh Prudence Foundation), untuk memohon dana ini. Graze Market bercadang untuk bekerjasama dengan CTI untuk memudahkan logistik pengedaran dan pada masa yang sama memenuhi misi mereka untuk mengurangkan pembaziran makanan.

Sementara itu, CTI mula mencari rakan kerjasama yang sesuai untuk membawa pengetahuan pemakanan kepada peserta.  Pejabat Perhubungan Komuniti International Medical University Malaysia (IMU), IMU Cares telah bersetuju untuk membawa Bahagian Dietetik dan Pemakanan IMU untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka. 2 pensyarah dan 5 pelajar tahun akhir dari Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pemakanan, telah terlibat dalam penyampaian bengkel pemakanan (5 kali penyampaian-4 secara bersemuka  dan 1 atas talian), dan juga bengkel Facebook Live berkaitan dengan pemakanan dan cara masakan secara sihat pada 6 Disember 2020. Peranan CTI adalah sebagai pelaksana projek utama, dan bertanggungjawab untuk mengambil masuk keluarga yang memerlukan dan memenuhi kriteria, mendapatkan statistik kesihatan pra-program dan post-program melalui ukuran, dan mendirikan komuniti Whatsapp dan Facebook untuk menyediakan ekosistem sokongan demi peserta untuk pembelajaran dan sokongan antara satu sama lain secara berterusan.

Mengapa keutamaan diberikan kepada ibu hamil dan anak berusia dua tahun ke bawah?

Seribu hari pertama dalam kehidupan (First 1000 days of life), bermula dari masa mengandung sampai umur 2 tahun (270 + 365 + 365 hari = 1000 hari),  merupakan tempoh yang paling penting untuk pertumbuhan seorang kanak-kanak. Pelbagai faktor termasuk nutrien yang diterima pada tempoh ini akan memberi kesan untuk jangka masa yang panjang ke atas  tahap kesihatan mereka. Sehubungan itu, program ini memberi keutamaan kepada golongan ibu yang hamil dan ibu yang mempunyai kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.

Covid-19 membawa banyak kesusahan kepada seluruh dunia dan negara kita. Penduduk berpendapatan rendah di komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara menghadapi cabaran disebabkan kehilangan kerja dan pendapatan. Wang simpanan yang tidak banyak dan sudah digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Keluarga mereka terjejas kerana keperluan asas pun  tidak dapat dipenuhi. Situasi untuk Ibu hamil dan anak bawah 2 tahun lagi teruk sebab tidak mendapat nutrien yang secukupnya untuk pertumbuhan yang sihat  semasa pandemik Covid-19. Ini akan membawa kesan sampingan  yang besar terhadap pertumbuhan dan kehidupan bayi tersebut untuk jangka panjang.

Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Susunan makanan kering di tempat kutipan semasa bulan November 2020

Dalam kalangan keluarga B40, terdapat juga anak yang memerlukan keperluan khas. Keperluan kesihatan , pemakanan dan perubatan untuk anak mereka telah memberi tekanan yang besar ke atas kewangan keluarga pada hari biasa. Tekanan kewangan adalah lagi besar semasa PKP.

IKLAN

Kami nampak kesusahan ibu-ibu dalam komuniti pendapatan rendah yang tidak dapat memberi pemakanan yang sepatutnya kepada anak mereka kerana kehilangan sumber pendapatan semasa pandemik. Ini merupakan masalah yang sangat membimbangkan kerana ia akan menjejaskan masa depan anak muda mereka.

Melalui projek ini, kami berharap dapat memulihkan 50 keluarga terpilih kepada tahap kesihatan yang lebih baik selepas Covid, membantu mereka  mendapat akses untuk pemakanan yang diperlukan, dan memperkasakan mereka dengan pengetahuan pemakanan supaya dapat membuat pilihan yang lebih baik mengenai pemakanan  pada masa hadapan. Inilah sebab kami ingin tumpukan usaha untuk membantu golongan ini.

Apakah kepentingan pengambilan makanan terbaik pada 1000 hari pertama dalam kehidupan anak kecil?

Seribu hari pertama dalam kehidupan adalah sangat penting untuk pertumbuhan seseorang bayi. Kajian menunjukkan 1000 hari pertama adalah tempoh yang kritikal di mana pengambilan makanan dan nutrien dalam tempoh ini mempunyai impak yang besar, sama ada secara positif atau negatif,terhadap pertumbuhan seorang bayi. Dalam tempoh ini, otak dan badan yang sedang bertumbuh sangat memerlukan nutrien daripada badan ibu dan juga sumber-sumber makanan yang lain. Kekurangan nutrien dalam tempoh ini juga akan meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit yang kronik seperti diabetis, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan penyakit lain. Dengan itu, impak negatif bukan sekadar dari segi kesihatan tetapi juga akan mempengaruhi potensi pembangunan minda dan kecerdasan otak bayi yang akan memberikan kesan jangka panjang terhadap kehidupan mereka sama ada semasa pembelajaran di sekolah mahupun dari segi kemahiran pemikiran kritikal dan pembuatan keputusan sepanjang hidup mereka.

(www.thousanddays.org)

Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Carta pertumbuhan kanak-kanak pada 1000 hari pertama kehidupan

Berapa ramai sukarelawan yang terlibat dalam acara ini?

IKLAN

Dari bulan Ogos hingga November 2020, seramai 65 sukarelawan dari International Medical University (IMU), Eastspring Investments Berhad, Graze Market dan gereja setempat telah terlibat.

Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Gambar berkumpulan dengan sukarelawan dari Eastspring Investments Berhad, Graze Market, CTI dan gereja tempatan semasa penghantaran makanan kering bulan September 2020.

Selain barangan basah, ada sumbangan lain yang diberikan?

Makanan basah diberi setiap minggu selama 12 minggu, dan makanan kering dibekal sekali setiap bulan untuk 3 bulan. Kadang kala, sekiranya terdapat sumbangan dari pihak lain, tepung susu tumbesaran (growing up milk) dan pelitup muka juga diberi kepada peserta.

Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Bekalan makanan basah pada bulan Disember 2020

Selain daripada sumbangan barangan di atas, bengkel pemakanan oleh IMU dan pengwujudan ekosistem sokongan untuk memastikan para peserta memahami kepentingan pemakanan yang diperlukan dalam tempoh 1000 hari pertama kehidupan seorang bayi, serta cara penyediaan makanan yang bersesuaian untuk bayi berumur 6 bulan ke atas dan kanak-kanak, merupakan satu elemen yang penting dalam program ini.

Bagaimana prosedur untuk menentukan golongan yang dipilih untuk menerima bantuan?

Kami membuka pemohonan kepada penduduk PPR Kota Damansara yang pernah mengikuti program kami pada masa lalu. Semasa kami melawat mereka di rumah untuk menilai keadaan keluarga itu, kami juga tanya mereka siapa lagi yang mereka kenal yang memenuhi kriteria kami (cara ‘snowballing’).

IKLAN

Kami menyenaraipendek berdasarkan kriteria berikut:

  1. Mengandung
  2. Bayi bawah 1 tahun
  3. Bayi bawah 2 tahun
  4. Status ekonomi (Pemohon dengan pendapatan sekeluarga yang lebih rendah akan dipertimbangkan dahulu)
  5. Tindakbalas kepada aktiviti kami (Kami keluarkan nama kalau mereka tidak jawab telefon/ whatsapp/tiada di rumah setiap kali kami melawati mereka
Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Data kesihatan pra-program daripada peserta diambil dan direkodkan

 Adakah acara sebegini akan diteruskan untuk golongan yang berbeza?

CTI berharap untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk:

  • Terus menyokong ibu mengandung dan kanak-kanak kumpulan sekarang, di mana anak belum sampai umur 2 tahun – melalui bekalan makanan dan memperkasakan mereka dengan pengetahuan yang lebih mendalam tentang cara pilihan makanan, cara masakan yang sihat dan pemakanan kanak-kanak, cara membentuk hubungan keluarga yang positif dan menguatkan kesihatan psiko-sosial dan kognitif kanak-kanak mereka.
  • Membantu kumpulan baru – keluarga yang ada ibu mengandung dan anak bawah 2 tahun, dengan peserta dari kumpulan pertama sebagai mentor kepada peserta kumpulan kedua, selain daripada bekalan makanan dan bengkel pemakanan yang akan diberikan.

Apakah harapan penganjur untuk acara ini?

Kami harap peserta dan keluarga mendapat manfaat daripada program ini dengan apa yang diberi, termasuk bekalan makanan, pengetahuan pemakanan, kumpulan sokongan ibu-ibu dan perkongsian pengalaman, pengetahuan, resepi dari ahli kumpulan lain.

Prihatin Dengan Ibu Hamil & Tumbesaran Anak Kecil, Bantuan Makanan Diberikan Kepada Golongan Ini
Aktiviti kutipan makanan basah dengan kerjasama Graze Market

Diharap para peserta belajar ilmu pemakanan ibu mengandung dan bayi, cara makan dan masak yang sihat dan mengaplikasikan dalam kehidupan harian mereka. Dengan itu, kesihatan ibu dan bayi meningkat, dan tabiat yang terbentuk ada impak jangka panjang untuk kehidupan mereka sekeluarga.

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI