Program Pra Tahfiz KEMAS: Kejayaan Luar Biasa Yang Menyentuh Hati Ibu Ayah

Share

Membesarkan anak yang lembut hati, berakhlak baik dan mencintai al-Quran sejak kecil pastinya menjadi impian setiap ibu ayah. Lebih mengharukan apabila usaha itu kini semakin mudah dengan adanya Program Pra Tahfiz KEMAS yang semakin berkembang dan menunjukkan hasil luar biasa.

Dalam hanya dua tahun pelaksanaannya, program ini telah berjaya melahirkan ribuan anak kecil berusia lima dan enam tahun yang mampu menghafaz sehingga 25 surah al-Quran sebelum mereka melangkah ke Tahun Satu. Perkembangan ini membuktikan bahawa usia prasekolah adalah masa terbaik untuk memupuk kecintaan kepada al-Quran secara santai dan menyeronokkan.

TABIKA Kemas dijangka melaksana program Tabika Pra Tahfiz bagi memperkasa pendidikan al-Quran. FOTO Arkib NSTP.

Lebih 123,000 Murid Terlibat & Hafaz Lebih 25 Surah Dalam Setahun

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS, Zairuddin Mat Zuini, Program Pra Tahfiz KEMAS kini telah dilaksanakan di 8,229 tabika KEMAS di seluruh negara.

Sepanjang tahun ini sahaja, seramai 123,435 murid mengikuti modul hafazan tersebut angka yang cukup besar dan membuktikan sambutan ibu ayah yang sangat menggalakkan.

“Program ini yang dilaksanakan sejak 2023 telah menampakkan kejayaan dengan kebanyakan anak-anak dapat menghafaz lebih 25 surah dalam tempoh setahun lebih,” jelasnya pada Majlis Khatam Perdana Tabika Pra Tahfiz KEMAS Terengganu yang melibatkan 5,600 murid.

Kejayaan ini juga diraikan oleh para guru KEMAS yang melihat perubahan positif anak-anak dari segi tumpuan, hafazan, keyakinan diri dan adab sepanjang pembelajaran.

Tahun Depan: 1,500 Lagi Tabika Akan Ada Program Pra Tahfiz KEMAS

Berita paling menggembirakan ibu ayah tahun hadapan, Program Pra Tahfiz KEMAS akan diperluaskan ke 1,500 tabika KEMAS lagi di seluruh negara.

Peluasan ini memberi peluang kepada lebih ramai anak kecil, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, untuk memperoleh pendidikan awal berteraskan al-Quran. Program ini disusun agar sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak, tanpa tekanan dan dijalankan secara menyeronokkan.

Anak Yang Hafaz 20 Surah Akan Menyambung Ke Program Pelita

KEMAS juga memperkenalkan kesinambungan hafazan untuk murid Tahun Satu iaitu Program Pelita.

Anak-anak yang berjaya menghafaz sekurang-kurangnya 20 surah semasa di tabika akan dipelawa untuk menyertainya. Di bawah Program Pelita, sasaran hafazan adalah lima juzuk al-Quran sebelum usia 12 tahun.

Kelas Pelita dilaksanakan pada hujung minggu, secara bersemuka dan dalam talian — memudahkan ibu ayah untuk menyusun jadual anak tanpa mengganggu persekolahan harian.

Peluang Ke MRSM Ulul Albab Untuk Anak Yang Menamatkan Pelita

Lebih istimewa, anak-anak yang menamatkan Program Pelita akan diberi keutamaan untuk memasuki MRSM Ulul Albab, sebuah aliran pendidikan unggul yang menggabungkan hafazan al-Quran dan kecemerlangan akademik.

Ini merupakan laluan masa depan yang sangat bernilai untuk anak-anak yang berminat dalam hafazan dan pendidikan Islam sejak usia kecil.

Kesan Positif Program Pra Tahfiz KEMAS Pada Perkembangan Anak

Program ini bukan sekadar menghafaz ayat suci. Ia turut membantu:

  • Meningkatkan daya fokus dan memori anak
  • Membangun disiplin secara natural
  • Menguatkan hubungan anak dengan al-Quran
  • Membentuk akhlak dan budi pekerti yang baik
  • Menanam nilai rohani dalam diri sejak awal

Apabila pembelajaran al-Quran bermula dengan cara yang lembut dan menyeronokkan, anak-anak membesar dengan jiwa yang tenang dan hati yang lebih mudah dibentuk.

Program Pra Tahfiz KEMAS bukan hanya tentang hafazan, tetapi tentang membina generasi kecil yang lebih beradab, berakhlak dan dekat dengan al-Quran. Dengan peluasan program ini ke 1,500 tabika tahun depan, lebih ramai anak akan merasai manfaatnya dan lebih ramai ibu ayah dapat melihat sendiri keindahan al-Quran bertunas di hati anak-anak mereka.

BACA LAGI : Prasekolah Di Sekolah Menengah: Inisiatif Baharu KPM Yang Cetus Sejarah Di SMK Bukit Kapar

Sumber : KOSMO

Published by
Nana