Kebanyakan ibu berhasrat untuk menyusukan anak secara eksklusif. Namun ada ketikanya impian itu tak kesampaian sehingga ibu asyik cakap susu sikit, takut anak lapar.
Bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, persediaan awal penting supaya dapat melancarkan proses penyusuan selepas melahirkan anak. Antaranya ialah:
#1 Yakin boleh menyusu sepenuhnya
Perkara utama adalah yakin bahawa puan boleh menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu. Yakin yang susu sentiasa cukup untuk bayi, seolah-olah tiada pilihan lain selain menyusukan bayi secara eksklusif. Hasil kajian mendapati 80% kegagalan ibu menyusu secara eksklusif adalah kerana faktor psikologi ibu sendiri yang kurang yakin susu adalah cukup untuk bayi terutamanya di awal kelahiran di saat susu matang belum dihasilkan.
#2 Fahami proses penghasilan susu ibu
Adalah sangat penting untuk puan faham tentang bagaimana susu ibu dihasilkan. Lebih tinggi pemahaman tentang bagaimana tubuh bertindak dalam penghasilan susu ibu, lebih tinggi peluang untuk berjaya menyusu bayi sepenuhnya dengan susu ibu. 95% daripada ibu yang melahirkan anak boleh menyusu sebaik kelahiran. Punca kebanyakan ibu yang beranggapan susu tidak ada adalah disebabkan kurangnya ilmu tentang fisiologi susu ibu itu sendiri. Bila tidak faham, puan akan mudah mengalah. Puan boleh mula buat pembacaan, menghadiri seminar tentang susu ibu atau menyertai Kumpulan Sokongan Susu Ibu bagi mendapatkan informasi dan fakta yang tepat tentangnya. Adalah sangat baik jika suami ikut serta belajar tentang ilmu penyusuan. Hal ini kerana untuk berjaya menyusu, sokongan daripada suami dan keluarga adalah sangat penting.
Ads
#3 Mulakan di awal kelahiran
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang disusukan dengan susu ibu seawal empat jam pertama sejurus lepas kelahiran adalah lebih mudah untuk berjaya menyusu berbanding bayi yang lambat memulakan penyusuan pertama. Sebelum kelahiran bayi, bincang bersama doktor tentang pelan kelahiran. Nyatakan hasrat puan mahu menyusukan bayi hanya dengan susu ibu seawal kelahiran untuk mengelakkan bayi diberi susu formula di hospital yang boleh menyebabkan masalah lain seperti keliru puting.
Ads
#4 Sentuhan kulit-ke-kulit
Puan juga boleh meminta untuk melakukan sentuhan kulit-ke-kulit iaitu dengan meletakkan bayi di atas dada, keduanya tanpa pakaian sejurus selepas kelahiran.Apabila bayi berada dalam pelukan puan, bayi akan tenang lalu memudahkan proses lekapan penyusuan pertama. Sentuhan kulit-ke-kulit juga boleh dilakukan ketika bayi dalam pantang atau semasa dia mempunyai masalah untuk menyusu secara langsung. Sentuhan kulit-ke-kulit dapat membantu meningkatkan hormon oksitosin untuk pengeluaran susu ibu yang lebih banyak.
#5 Menyusu mengikut keperluan bayi
Ads
Paling penting menyusulah mengikut permintaan iaitu keperluan bayi menyusu ketika di dalam pantang. Jangan menyusu mengikut jam. Susukan bayi bila-bila masa diperlukan. Kenal pasti tanda-tanda awal bayi menyusu seperti mulut kelihatan seperti mengunyah atau mengalihkan kepala ke kiri dan kanan. Tujuannya membolehkan puan menyusukan bayi secepat mungkin sebelum dia mula menangis. Jika bayi sudah mula menangis, dia bayi sahaja lapar tetapi dalam keadaan marah. Situasi ini akan menyukarkan proses pelekapan dan penyusuan bayi.
#6 Teknik pelekapan yang betul
Pastikan bayi melekap dengan betul pada bahagian tampok hitam (areola), bukan menghisap di bahagian puting. Mulut bayi mesti ternganga luas dan aerola dimasukkan ke dalam mulut hampir sepenuhnya. Jika teknik lekapan tidak betul, susu tidak dapat dikeluarkan dengan sepenuhnya sekali gus boleh menyebabkan masalah bengkak susu dan puting melecet. Sabar dan beri masa untuk bayi belajar melekap dengan betul. Bulan pertama menyusu adalah masa pembelajaran untuk bayi. Bayi akan dapat menguasai teknik menyusu dengan betul apabila masuk ke bulan berikutnya. Apabila bayi melekap dengan betul dan menghisap secara efektif hingga payudara kosong sepenuhnya, ia akan membantu lebih banyak susu dihasilkan.
#7 Bantuan pakar laktasi
Dapatkan bantuan pakar laktasi atau Persatuan Sokongan Ibu Menyusu untuk membantu dalam isu-isu yang berkaitan penyusuan. Sokongan adalah sangat diperlukan untuk membina keyakinan ibu agar berjaya menyusu sepenuhnya dengan susu ibu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina kongsi cabaran bila kandungan masuk trimester ketiga, pergerakan jadi terhad, kena banyak sabar. Pada trimester ketiga kehamilan, iaitu antara minggu ke-28 hingga melahirkan, badan ibu mengalami beberapa perubahan ketara kerana janin sudah berkembang sepenuhnya dan bersiap untuk dilahirkan.
Berbanding trimester pertama dan kedua, trimester ketiga adalah trimester yang paling mencabar bagi ibu hamil. Ia bukan sahaja menguji tahap fizikal ibu tersebut, tetapi juga menguji keadaan mentalnya.
Pada trimester ini, terdapat lebih banyak perubahan yang berlaku kepada ibu hamil. Untuk bayi dalam kandungan pula, terdapat juga beberapa perubahan yang akan berlaku. Ini termasuklah pertambahan berat badan dan pergerakan yang lebih kerap di dalam rahim.
Ini turut dialami oleh Uyaina Arshad yang kini kandungannya sudah masuk trimester ketiga. Melalui hantaran di laman Instagramnya, Uyaina berkongsi pengalamannya apabila kandungan memasuki trimester ke tiga.
Berikut beberapa aspek keadaan ibu hamil pada tempoh ini:
Pertumbuhan Bayi
Bayi berkembang pesat, mencapai saiz hampir kepada yang baru lahir. Ibu akan merasai pergerakan yang kuat dan kerap kerana ruang dalam rahim semakin berkurang.
Perubahan Fizikal
Peningkatan Berat Badan: Berat badan meningkat akibat pertumbuhan janin, plasenta, cecair amnion, dan perubahan tisu badan ibu.
Kesukaran Bernafas: Rahim yang membesar menekan diafragma, menyebabkan sesak nafas.
Kaki Bengkak: Pengumpulan cecair dalam badan boleh menyebabkan pembengkakan di kaki dan buku lali.
Sakit Belakang: Berat bayi yang bertambah memberi tekanan pada tulang belakang, menyebabkan sakit belakang.
Kelesuan dan Gangguan Tidur
Kepenatan mudah berlaku disebabkan berat badan yang meningkat dan masalah tidur kerana posisi yang tidak selesa.
Braxton Hicks
Ibu mungkin mengalami kontraksi ringan yang dikenali sebagai kontraksi Braxton Hicks, yang merupakan persediaan badan untuk proses kelahiran.
Persediaan Melahirkan
Posisi Bayi: Janin mungkin mula turun ke bahagian pelvis untuk bersedia bagi kelahiran.
Pemeriksaan Kesihatan: Pemeriksaan berkala dengan doktor penting untuk memantau kedudukan bayi, tekanan darah, dan kesihatan ibu secara menyeluruh.
Latihan Pernafasan dan Kelas Kelahiran: Persediaan mental dan fizikal bagi menghadapi kelahiran adalah penting pada tempoh ini.
Perasaan Emosi
Kegembiraan bercampur kebimbangan tentang kelahiran yang akan datang adalah perkara biasa. Ibu perlu sokongan keluarga dan rakan-rakan bagi membantu menghadapi cabaran trimester ketiga.
Pada trimester ketiga ini, ibu disarankan untuk kerap berunding dengan doktor dan memastikan pemakanan yang baik serta rehat yang mencukupi untuk mempersiapkan diri secara optimum menjelang kelahiran.
Pelbagai hadiah menarik menanti anda selain boleh berhimpun bersama ratusan ekor kucing Oyen comel di sini. Apa lagi daftar sekarang dan jadi sebahagian peserta kami.
Berdasarkan amalan berpantang masyarakat Melayu, wanita lepas bersalin tidak digalakkan untuk mandi secara kerap. Malah, air mandian juga tidak boleh terlalu sejuk kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya.
Oleh sebab itulah, anda yang mengamalkan pantang tradisional Melayu, digalakkan untuk mandi menggunakan air mandian herba pada waktu pagi. Dalam pada itu, had masa mandian adalah sekitar 10 hingga 15 minit.
Mandian herba ibu bersalin ini merupakan rebusan daripada bahan-bahan rempah ratus dan daun-daun herba terpilih yang mudah didapati seperti daun lengkuas, daun mengkudu daun pandan, daun sirih, daun halia, daun inai, daun kunyit, daun limau purut, serai, limau purut dan juga sedikit campuran halba dan kulit kayu manis.
Semua campuran ini boleh dimasukkan ke dalam periuk atau dibunjut dan diikat di dalam secebis kain. Anda juga boleh mengisinya ke dalam kantung kain yang dijahit kemas. Daun-daun dan herba-herba semula jadi ini mampu memberi impak kesegaran dan pemulihan kepada ibu berpantang. Mari kita ketahui kebaikan mandian herba kepada ibu lepas bersalin ataupun wanita-wanita biasa.
1. Menyegarkan badan
Mandian herba berfungsi sebagai aromaterapi. Ia mampu memberi ketenangan dan kesegaran kepada anda yang sudah pasti masih dalam keadaan lemah dan lesu kerana tenaga banyak dihabiskan semasa proses kelahiran.
Mandian ini secara tidak langsung turut menjadi membantu anda menghilangkan tekanan akibat kurang tidur kerana menjaga bayi di waktu malam.
2. Mengelak dan membuang angin
Penggunaan daun dan herba sebagai ramuan mandian herba mampu menyahkan angin di dalam badan.
3. Melancarkan pengaliran darah dan melancarkan susu ibu
Amalan mandi air rebusan herba ini dilakukan selepas proses berurut dan bertuam seluruh badan. Secara tidak langsung amalan ini merupakan penutup kepada proses untuk melancarkan pengaliran darah ibu-ibu berpantang melalui resapan air ke setiap liang roma.
Apabila darah lancar, anda memperoleh kesegaran daripada mandian itu. Pada masa yang sama hormon oksitosin meningkat dan sekali gus pengeluaran susu ibu menjadi lancar.
4. Mengatasi bau badan
Sesetengah ibu hamil mengalami bau badan yang agak kurang menyenangkan akibat perubahan hormon. Kadang-kadang ia akan berpanjangan selepas kelahiran disebabkan halangan pemasangan kipas atau penyaman udara ketika proses berpantang.
Mandian herba mampu memberikan aroma wangi yang segar daripada bau-bauan semula jadi daripada daun dan herba terpilih.
5. Meringankan ketegangan urat saraf dan otot badan
Sememangnya otot-otot dan urat-urat dalam tubuh badan anda mengalami ketegangan. Ia harus dipulihkan sepanjang tempoh berpantang. Dengan mengamalkan mandian herba, ia mampu mengembalikan tenaga dan meringankan ketegangan urat yang dialami.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perasaan rindu pada anak syurga yang telah pergi buat selamanya sukar dipadam dari dalam hati seorang ibu yang tabah melalui dugaan. Puan Hamidah Tajuddin berkongsi pengalaman membesarkan anak Sindrom Downnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser Leukimia.
Sepanjang kehamilan tiada sebarang masalah membuatkan dia dan suami menyangka segalanya berjalan lancar. Sehinggalah tiba hari melahirkan bayi, baru diketahui anaknya mengalami pelbagai komplikasi seperti jantung berlubang, jaundis yang teruk, jangkitan paru-paru dan yang paling terkejut disahkan Sindrown Down.
“Selepas melahirkan, suami hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu hal sebenar. Dia hanya cakap anak okey. Esoknya saya hairan kerana menunggu suami datang tetapi tak kunjung tiba. Lalu doktor yang bertugas memberitahu hal tersebut. Waktu itu sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata perasaan ketika itu. Bayangkan 13 tahun yang lalu, masalah Sindrom Down tidak terlalu ketara dibandingkan dengan sekarang.
Jadi saya rasa tak boleh nak hadapi dan uruskan anak ketika itu. Sampaikan darah tinggi saya naik dan ditahan di wad sedangkan sebelum ini saya tiada masalah darah tinggi dan kencing manis. Bukan kerana saya menolak takdir tetapi saya tidak tahu bagaimana nak uruskan anak istimewa ini.
Apabila petang baru suami sampai dan dia cakap memang dah tahu anak kami istimewa. Dulu waktu saya mengandung 7 bulan, suami ada mengerjakan umrah dan di depan Kaabah, terlintas bayangan anak. Tetapi suami tak ceritakan pada saya. Hanya selepas anak kami lahir baru dia cerita.
Dua hari saya tak pegang atau tengok anak ketika itu. Sehingga suami suruh ambil dan susukan anak. Dia nak saya rasakan apa perasaan sebagai seorang ibu. Terus saya menangis dan apabila memangku Muhammad Syukur, rasa kasih sayang seorang ibu tiba-tiba ada. Saya dakap dan cium dia dengan sepenuh hati,” ujar ibu kepada Muhamad Syafiq, Muhamad Syauqi, Muhamad Syaqir, Farah Shuhada, Farah Shahida dan Muhamad Syukur.
Umur 5 tahun sudah boleh membaca
Ketika dalam pantang tiada masalah menjaga bayi kerana anaknya sangat baik cuma Syukur lebih banyak tidur berbanding menyusu menyebabkan payu daranya bengkak.
“Saya tak pantang sangat sebab keluar masuk hospital kerana Syukur kena jaundis yang teruk. Satu hari kawan suami datang dan beritahu dia juga ada anak istimewa dan katanya tak ada masalah untuk menguruskan mereka.
Jadi saya tetapkan azam dalam masa 5 tahun saya nak all out dengan anak. Saya sekolahkan dia umur 6 bulan di Kiwanis Down Syndroem Foundation. Selepas 44 hari pantang, saya ke Kiwanis, dan ke IJN serta Persatuan Sindrom Down Malaysia. Di Kiwanis ramai anak-anak yang sama dengan anak saya. Daripada situ, semangat saya kian bertambah cuma saya sedih sebab anak orang lain hanya bermasalah Sindrown Down, anak saya siap ada jantung berlubang lagi.
Umur 1 tahun 7 bulan anak saya menjalani pembedahan dan nampak lubang di jantungnya membesar. Alhamdulillah pembedahan tersebut berjaya. Selain itu saya juga bawa anak ke sekolah khas. Anak-anak istimewa ini susah untuk bercakap dan ambil ambil masa, jadi saya tidak harapkan sekolah semata-mata.
Sebaliknya di rumah pun saya ajar anak. Anak-anak istimewa ini lebih mudah dan cepat tangkap kalau kita gunakan Bahasa Inggeris. Saya guna flash card kerana ia sangat membantu. Malah, waktu dalam pantang lagi saya sudah praktikkan. Umur 5 tahun anak saya sudah boleh membaca,” ujar Hamidah yang memberitahu tak perlu kos tinggi jika ibu bapa kreatif, sebaliknya dia menggunakan manila kad untuk buat sendiri flash card.
Anak didiagnos kanser
Reda dan mampu menerima anaknya Sindrown Down, sekali lagi ujian melanda pasangan ini bila mana Syukur didiagnos menghidap kanser .
“Waktu bersekolah di Putrajaya ketika umurnya 7 tahun, tiba-tiba Syukur demam. Waktu itu rasa sesuatu tak kena. Kami bawa ke hospital selepas nampak tanda bintik-bintik merah dan lepas ambil darah, doktor tengok keputusan darahnya rendah dan itu petanda ada kanser. Selepas keluar result doktor beritahu Syukur ada penyakit Leukimia.
Ketika di dalam ambulans nak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya bisik pada diri mulai hari ini, bermulalah episod anak saya sebagai pesakit kanser. Sudahlah dia sindrown down, sekarang bertambah penyakit lain. Bermula dari hari itu, Wad KK3, HKL ibarat rumah kedua kepada saya.
Di wad kanser, rupanya ramai kanak-kanak yang menghidapi pelbagai jenis kanser. Saya berkenalan dengan ramai ibu bapa pesakit kanser kanak-kanak dan kami seperti satu keluarga dan saling menyokong antara satu sama lain. Ramai juga dari ibu bapa ini yang berdepan dengan pelbagai masaalah semasa anak-anak mereka menerima rawatan di HKL.
Jadi, daripada situlah saya tubuhkan kumpulan sokongan kerana kasihan dengan ibu bapa yang masih muda dan tiada sumber kewangan. Dalam masa yang sama mahu beri mereka kekuatan dan tertubuhlah Kumpulan Ibu bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS)” ujar Hamidah sambil memberitahu sambutan diterima baik dan setakat ini sudah ada hampir 500 orang ahli di dalam kumpulan tersebut.
IQ tinggi
Setiap kali anaknya masuk wad, hati ibu gundah gulana dan sentiasa berdoa supaya Tuhan masih panjangkan umurnya dan beri kesempatan pada dirinya untuk membesarkan anak syurga itu.
Walaupun Syukur tidak bersekolah, tetapi tahap IQnya cukup tinggi. Tanyalah apa sahaja pasti Syukur boleh jawab. Malah, dia juga pandai Google sendiri tanpa perlu diajar. Waktu umurnya masuk 11 tahun, doktor beritahu kansernya sudah tiada dan sebagai ibu memang gembira dan bersyukur tak terkata.
“Tapi, kegembiraan itu tak panjang apabila Syukur lagi sekali diserang kanser pada usia 12 tahun. Tuhan mahu menduga kami lagi dan doktor cakap tiada harapan. Bayangkan kimo yang perlu Syukur lakukan 3 kali ganda lagi kuat dari sebelum ini.
Sekali buat kimo, Syukur terus dimasukkan ke ICU dengan ulser penuh di mulut, muntah darah dan sebagainya. Sedih hati sebagai ibu apabila melihat keadaan dia ketika itu. Tapi Syukur seorang yang kuat dan dia jugalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk melalui semua ini.
“Disebabkan dia tak boleh makan, jadi saya kisar bubur dan guna sringe suapkan dia. Bila dia tak boleh makan saya nangis dan terus dia cakap Mummy don’t cry Mami, I’m strong. Lepas tu dia sapu air mata di pipi saya,” cerita Hamidah.
Kanser Merebak Dalam Darah
“Arwah mula disahkan relapse pada bulan September tahun lalu di mana kansernya dapat di kesan dalam darah. Mula-mula kami pelik dia sakit pinggang. Tiga minggu lepas tu baru dapat tahu bila ambil darah yang kanser dia ada dalam darah sebanyak 50%. Dari mula dia sakit pinggang, dia tak boleh berjalan sehingga arwah meninggal.
Doktor beritahu kansernya tidak boleh dirawat lagi dengan kaedah kimoterapi kerana dia sudah banyak kali membuat rawatan tersebut. Ini kali kedua dia relapse. Dari situ kami rasa tertekan dan memang sedih sebab dia telah banyak melalui kimoterapi tapi masih tidak sihat. Tapi bila kami fikir, itu semua kuasa dari Allah.
Kami bangkit dan nekad akan buat yang terbaik untuk cari rawatan lain selain dari datang ke HKL untuk transfuse darah dan platelet. Dalam masa 3 bulan tu kami memang 100% uruskan dia. Alhamdulillah anak-anak lain beri sepenuh perhatian dan turut membantu menguruskan adik dengan penuh kasih sayang.
Semua adik-beradik rapat dengan adik mereka. Semua yang adik inginkan akan dituruti cuma masa 3 bulan tu kesihatan Syukur mula merosot. Setiap 3 hari blood count dia mesti drop dan akan ke HKL untuk masuk darah dan platelet. Kadang-kadang mulut keluar darah dan sentiasa sakit perut kerana hati dan limpa mula membengkak.”
Akhirnya Syukur pergi tinggalkan Mummy
Selesai rawatan tiba-tiba kanser Syukur menyerang kali ke-2 pada bulan September lalu sehingga dia meninggal dunia pada 26 November 2018 ketika berusia 13 tahun.
“Ketika itu kami sudah tak boleh buat apa lagi. Bila sakit, Syukur akan dibawa ke HKL. Pada dua minggu sebelum Syukur pergi buat selamanya, dia dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.
Bermula dari situ berat badannya turun kerana tiada selera makan dan tak boleh nak makan solid food. Dia hanya minum air dan makan bubur sahaja. Semasa akhir hayatnya, langsung dia tidak menunjukkan tanda yang akan meninggalkan kami Cuma dia selalu cakap yang dia saying dan rindukan Mummy dan Ayah.
Di awal dia sakit dia selalu cakap terima kasih kerana lahirkannya. Tiga jam sebelum dia meninggal masih bercakap lagi dan panggil ayah dan cakap adik sayang Ayah, adik sayang Mummy,” cerita Hamidah dalam nada sayu.
Hamidah menganggap Syukur anak yang sangat menyenangkan hati dan tak banyak mengeluh bila sakit. Arwah selalu minta Mummy dan Ayah serta keluarga mendoakan dia cepat sembuh tapi perancangan Allah adalah yang terbaik.
“Kami nampak dan rasa dia kritikal hanya beberapa jam sahaja, Allah permudahkan dia pergi. Memang senang,” akhiri Hamidah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!