
Putera Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen bersama isteri tercinta, Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam akhirnya berkongsi wajah cahaya mata sulung mereka kepada rakyat dan peminat.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram rasmi milik baginda, @tmski, Pengiran Muda Abdul Mateen memangku puteri kesayangan mereka sambil ditemani isteri di sisi dalam suasana penuh ketenangan dan kebahagiaan.
Tidak hanya berkongsi wajah, bahkan pasangan diraja itu turut berkongsi nama buah hati mereka yang diberi nama, Zahra Mariam Bolkiah
. Nama tersebut mencuri perhatian ramai kerana membawa maksud indah dan penuh makna.Dalam kapsyen yang ditulis, baginda dan isteri meluahkan rasa syukur atas kelahiran puteri sulung mereka. Keduanya turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan di JPMC atas penjagaan serta sokongan yang diberikan sepanjang proses kelahiran.
“Zahra Mariam Bolkiah. Anisha dan saya amat bersyukur kepada pasukan Jerudong Park Medical Centre yang luar biasa atas penjagaan dan sokongan yang diberikan. Terima kasih kepada semua atas ucapan dan doa yang baik-baik,” ujarnya.
Pasangan diraja berkenaan juga berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirimkan doa dan ucapan tahniah sejak berita kelahiran tersebut dikongsikan.
Terdahulu, media melaporkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan nama rasmi kepada cucunda baginda iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah
.Penganugerahan nama tersebut memperlihatkan keistimewaan puteri sulung ini dalam institusi diraja Brunei. Ia juga menjadi simbol kasih sayang dan kesinambungan legasi keluarga diraja yang dihormati.
Ahad lalu, media tempatan melaporkan bahawa puteri berkenaan selamat diputerakan pada jam 8.50 pagi dalam keadaan sihat dan selamat.
Dalam kenyataan yang dikongsikan, Pengiran Muda Abdul Mateen dan isteri tidak lupa merakamkan penghargaan kepada pasukan Jerudong Park Medical Centre (JPMC) yang telah memberikan penjagaan profesional sepanjang proses kelahiran.
Terdahulu, Pengiran Muda Abdul Mateen dan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam melangsungkan pernikahan pada 11 Januari 2024 dalam istiadat yang penuh adat dan tradisi diraja Brunei.
Pengiran Muda Abdul Mateen yang terkenal dan sering menjadi perhatian umum merupakan anakanda ke-10 daripada 12 beradik serta putera keempat kepada Sultan Brunei.
Kehidupan peribadi baginda sering menjadi perhatian masyarakat, bukan sahaja kerana status diraja, malah keperibadian dan penampilan baginda yang sentiasa mencuri tumpuan. Kini, dengan kehadiran Zahra Mariam Bolkiah, kehidupan pasangan diraja ini memasuki fasa baharu sebagai ibu dan bapa.
Sumber: Instagram @tmski