“Ramadan Pertama Tanpa Arwah, Rindu Air Tangan Sarah.” Demi Anak Shuib Kuat!

Share

Tahun ini sememangnya cukup berbeza buat pelawak Shuib Sepahtu apatah lagi menyambut Ramadan tanpa isteri tercinta, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Mengakui berasa sedih, Shuib berkongsikan kenangan mereka ketika Ramadan dimana dia dan arwah Sarah suka pergi ke bazar bersama-sama untuk pilih dan membeli kuih-muih.

“Tahun ini, kali pertama Ramadan tanpa dia (Sarah), memang sedih, gementar pun ya. Fikirkan perasaan anak-anak termasuk diri sendiri juga.

“Kami suka pergi bazar Ramadan sama-sama. Pilih kuih, cari pajeri nanas. Dan kalau nak cakap apa yang tak boleh lupa ketika Ramadan, saya memang akan minta Sarah masakkan pajeri nanas.

“Dia pun tahu saya memang suka pajeri nanas. Jadi, dia memang takkan tak buat dan dia mesti buat (masakkan). Itu yang dirindui, pajeri nanas. Selain itu, ada lagi satu masakan kegemaran Sarah iaitu dia suka masak kerutup ayam atau kerutup daging. Ya Allah, sedapnya,” katanya.

Bercerita mengenai keperibadian arwah isterinya, Shuib berkata aktiviti Sarah ketika Ramadan, dia kerja macam biasa dan di sebelah petang pasti akan banyak masa di rumah untuk masak dan menyiapkan juadah berbuka untuk keluarga.

“Jadi, Ramadan kali ini tak ada persiapan dan saya lebih kepada perancangan untuk bersahur serta berbuka dekat mana, dengan siapa. Sambutan pun biasa-biasa saja,” katanya.

Niatkan sedekah untuk arwah Sarah

Dalam pada itu, Shuib berkata bulan Ramadan ini adalah ruang terbaik untuk dia dan keluarga berbuat amal jariah, beribadat dan sedekah untuk arwah isterinya.

“Insya-Allah, harap tahun ini boleh menjalani puasa dengan baik dan dapat perbanyakkan lagi amal ibadat. Dapat buat banyak sedekah khususnya untuk Siti Sarah,” katanya.

Terdahulu, Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas tiga hari melahirkan anak keempat mereka, Ayash Affan kini berusia tujuh bulan secara pembedahan pada 6 Ogos tahun lalu.

Kredit: Metro

Nak beri didikan agama pada anak-anak biarlah sejak mereka kecil. Ajarkan anak solat dengan cara simple dan anak mudah ‘tangkap’, baru dia teruja. Ketahui macam mana nak latih anak solat secara fun, jom daftar ke Kem Solat Anak: Mudah, Seronok & Berkesan sekarang! Klik https://toko.ideaktiv.com/product/kem-solat-anak/

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)

 

IKLAN