
Setiap tujuh bayi yang dilahirkan di Korea Selatan hari ini, seorang daripadanya merupakan hasil rawatan kesuburan IVF di Korea Selatan atau kaedah bantuan perubatan lain seperti inseminasi buatan. Statistik ini mendedahkan satu realiti baharu dunia keibubapaan apabila rawatan kesuburan kini menjadi tonggak utama dalam usaha pasangan mendapatkan zuriat.
Menurut laporan The Korea Herald, data daripada Perkhidmatan Semakan dan Penilaian Insurans Kesihatan menunjukkan sebanyak 15.1 peratus daripada keseluruhan bayi yang lahir pada tahun 2024 adalah hasil rawatan kesuburan. Angka ini melonjak hampir dua kali ganda berbanding hanya 8.7 peratus pada tahun 2019.
Dalam tempoh lima tahun lalu, jumlah bayi yang dilahirkan menerusi rawatan kesuburan IVF di Korea Selatan meningkat kira-kira 37 peratus, daripada sekitar 26,000 bayi pada 2019 kepada 36,000 bayi pada 2024.
Namun dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan kelahiran di negara itu merosot dengan ketara daripada 302,000 kepada hanya 238,000 bayi. Keadaan ini menunjukkan bahawa tanpa sokongan teknologi perubatan moden, kadar kelahiran Korea Selatan berkemungkinan jatuh ke paras yang lebih membimbangkan.
Bagi ramai pasangan, rawatan kesuburan bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya satu keperluan untuk merealisasikan impian bergelar ibu dan ayah.
Antara faktor utama peningkatan rawatan kesuburan IVF di Korea Selatan ialah trend perkahwinan pada usia yang lebih lewat. Menurut Kementerian Data dan Statistik Korea Selatan, purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki meningkat daripada 33.15 kepada 33.86 tahun antara 2018 dan 2024.
Bagi wanita pula, purata umur perkahwinan pertama meningkat daripada 30.4 kepada 31.55 tahun dalam tempoh yang sama. Faktor usia memberi kesan langsung kepada tahap kesuburan, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada rawatan perubatan.
Data turut menunjukkan kumpulan pesakit berusia 40-an kini menyumbang bahagian besar penerima rawatan kesuburan, dengan peratusan meningkat daripada 25.5 peratus kepada 40.3 peratus.
Seiring peningkatan permintaan, kos rawatan kesuburan IVF di Korea Selatan
turut melonjak dengan ketara. Rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan perbelanjaan rawatan kesuburan meningkat daripada 227.7 bilion won pada 2018 kepada 555.5 bilion won pada 2024.Menyedari cabaran penuaan penduduk dan kadar kelahiran yang kritikal, kerajaan Korea Selatan mengambil langkah agresif dengan meluaskan sokongan terhadap rawatan kesuburan. Piawaian kelayakan dilonggarkan, bilangan kitaran rawatan bersubsidi ditambah dan bajet diperluas sehingga 3.5 kali ganda.
Hasilnya, jumlah kes rawatan yang disokong kerajaan meningkat sebanyak 142.6 peratus daripada 92,000 kes pada 2020 kepada 223,000 kes pada 2024.
Walaupun kadar kejayaan rawatan kesuburan IVF di Korea Selatan masih mencabar iaitu sekitar 30.9 peratus bagi IVF dan 17.5 peratus bagi inseminasi buatan, statistik ini tetap membawa sinar harapan buat pasangan yang masih menanti kehadiran zuriat.
Realiti di Korea Selatan menjadi peringatan bahawa isu kesuburan bukan lagi perkara luar biasa, malah semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat moden. Setiap usaha, doa dan pengorbanan dalam perjalanan mendapatkan zuriat adalah lambang kasih sayang yang tidak ternilai.
Majalah Pa&Ma percaya, setiap anak yang lahir sama ada secara semula jadi atau menerusi rawatan kesuburan IVF di Korea Selatan tetap satu anugerah istimewa yang hadir pada waktu terbaiknya.
BACA LAGI : 15 Tahun Menanti, Akhirnya Bergelar Ibu Ayah. Bayi Ke-150 TAFF Selamat Dilahirkan
Sumber : Harian Metro