Batuk dan Selsema Bayi: Fahami Risiko Ubat Komersial
Batuk dan selsema bayi antara masalah kesihatan yang kerap menyerang si kecil, terutama bila cuaca tak menentu atau selepas mereka mula dihantar ke taska. Bila anak tak sihat, ibu ayah pasti rasa risau dan serba tak kena melihat si manja sukar tidur, hidung tersumbat dan kerap menangis. Namun, tahukah anda bahawa pemberian ubat batuk dan selsema kepada bayi di bawah usia dua tahun sebenarnya tidak digalakkan?
Menurut pakar pediatrik, ubat batuk dan selsema komersial boleh memberi kesan sampingan yang serius kepada bayi kecil. Ini kerana sistem tubuh mereka masih belum matang untuk memproses bahan kimia yang terdapat dalam ubat tersebut. Malah, kebanyakan ubat ini tidak terbukti berkesan untuk bayi dan boleh menyebabkan masalah seperti gangguan pernafasan, mengantuk melampau atau muntah.
4 Rawatan Semula Jadi Batuk dan Selsema Bayi
Sebagai gantinya, ibu ayah boleh membantu anak pulih secara semula jadi dengan cara yang lebih selamat dan lembut. Berikut antara empat rawatan semula jadi yang boleh dicuba di rumah:
1. Gunakan Wap Air Suam
Bawa bayi ke bilik air dan biarkan wap dari air panas memenuhi ruang selama beberapa minit. Wap ini boleh membantu mencairkan hingus dan melegakan saluran pernafasan bayi. Pastikan anda memantau si kecil sepanjang masa untuk keselamatan.
Ads
2. Guna Penyedut Hingus (Nasal Aspirator)
Apabila hidung bayi tersumbat, gunakan penyedut hingus untuk mengeluarkan lendir dengan lembut. Ia membantu bayi bernafas dengan lebih selesa, terutamanya sebelum tidur atau menyusu.
3. Titiskan Larutan Garam (Saline Drops)
Larutan garam steril boleh membantu melembapkan hidung bayi dan mencairkan hingus yang pekat. Titiskan 1–2 titis pada setiap lubang hidung sebelum menggunakan penyedut hingus.
Ads
4. Pastikan Bayi Kekal Terhidrat
Bagi bayi bawah enam bulan, teruskan penyusuan susu ibu dengan kerap. Susu ibu bukan sahaja membekalkan air yang mencukupi, tetapi juga antibodi penting untuk melawan jangkitan. Bagi bayi lebih besar, tawarkan air kosong secukupnya jika sudah mula makan pepejal.
Ads
Langkah Tambahan Untuk Melegakan Batuk dan Selsema Bayi
Selain itu, pastikan bilik tidur bayi bersih dan bebas habuk. Elakkan penggunaan penghawa dingin terlalu sejuk dan jauhkan bayi daripada asap rokok atau bau kuat. Persekitaran yang bersih dan udara lembap membantu mempercepatkan pemulihan batuk dan selsema bayi.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Ingat, batuk dan selsema ringan biasanya akan pulih sendiri dalam masa 7–10 hari. Namun jika anak mengalami demam tinggi berpanjangan, sukar bernafas, tidak mahu menyusu atau kelihatan terlalu lemah, segera bawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Kesimpulan: Penjagaan Kasih Sayang Adalah Ubat Terbaik
Penjagaan penuh kasih sayang dan kesabaran ibu ayah adalah ubat terbaik buat si kecil. Dengan rawatan semula jadi batuk dan selsema bayi yang betul, anak akan cepat pulih dan kembali ceria seperti biasa. 🌼
Petah berkata-kata dan tak lokek dengan senyuman, Wan Ainun Mardhiah Wan Saiful Syahriza, 4 tahun tetap mahu menjalani kehidupan seperti rakan seusianya.
Namun siapa sangka di sebalik senyumannya itu, Ainun disahkan mengalami tiga penyakit kronik iaitu spina bifida (tulang belakang bengkok), hydrocephalus (lebihan cecair dalam kepala) dan buah pinggang bengkak.
Menurut ibunya Hasnizan Mohd Salleh, 37, keadaan Ainun mula di kesan ketika usia kandungan 7 bulan. Masa doktor sahkan yang Ainun mungkin akan lahir tak normal perasaan ketika itu sangat sedih.
“Cukup masa melahirkan Ainun, dia terpaksa dimasukkan di wad NICU selama 3 bulan. Melihat keadaannya saya jadi kuat dan reda takdir yang Allah bagi. Saya percaya Allah nak bagi pahala lebih untuk saya mempunyai anak istimewa ini,” katanya.
Disebabkan tulang belakang bengkok, kawasan situ tiada kulit dan lembik kemerahan. Jadi doktor telah buat pembedahan dengan mengambil kulit belakangnya yang lain untuk tutup tempat yang terbuka itu.
Bagaimanapun pembedahan kali pertama tak berjaya dan terpaksa buat kali kedua. Alhamdulillah ia berjaya.
Lumpuh dari pinggang ke bawah
Penderitaan Ainun masa bayi bukan setakat itu sahaja tetapi dia juga terpaksa melalui pembedahan membuang lebihan cecair di kepala.
Bagi memudahkan pergerakannya, doktor telah memasukkan tiub halus sebesar saiz dakwat pen. Jadi lebihan air itu akan keluar melalui air kencing.
Hasnizan juga menjelaskan walaupun Ainun berusia 4 tahun, dia tak boleh berjalan dan bergerak dengan laju. Segala keperluannya perlu diuruskan. Setiap 3 jam sekali perlu membantunya buang air kecil.
“Apa yang menyedihkan, apabila Ainun ingin bergerak dia terpaksa mengengsot guna siku atau berguling-guling kerana dia lumpuh dari pinggang ke bawah. Disebabkan berguling tulang belakangnya kembali luka dan perlu dicuci setiap hari.
“Doktor ada juga mencadangkan untuk melakukan pembedahan menutup tulang belakangnya yang bengkok, kena tunggu dia besar kerana waktu itu mungkin dia dah faham dan boleh hadkan pergerakan.
“Ini kerana apabila melakukan pembedahan sekali lagi, sekurang-kurangnya dua minggu perlu meniarap,” jelasnya.
Bagi memastikan tumbesaran Ainun normal, dia juga perlu minum susu khas seperti yang dicadangkan doktor.
Bab makan pun kena kawal juga sebab Ainun tak boleh makan dalam kuantiti yang banyak. Jika tak dia akan muntah.
Hasnizan bersyukur dalam keadaan sekarang ini bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sangat membantu walaupun dalam sebulan sekurang-kurangnya RM600 perlu diperuntukan untuk keperluan Ainun.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka anak yang dilahirkan sihat tanpa sebarang masalah tiba-tiba terus tak bermaya kerana masalah kesihatan.
Disahkan menghidap penyakit “Nephroblastoma Stage III” (Wilms Tumor) pada 15 Februari lalu dan penyakit ini juga hanya berlaku pada 1:10,000 kanak-kanak seakan-akan memberi tamparan hebat buat kedua ibu bapa adik “Maliq Aryan Ahmad Rafiq.
Menurut ibunya, Nur Syafiqah penyakit ini berlaku bukan disebabkan faktor pemakanan.
“Ada yang ingat tumor ini jadi disebabkan faktor makanan, tapi sebenarnya tidak. Saya dah tanya doktor, doktor cakap tak ada kena mengena dengan pengambilan makanan.
“Nak ikutkan saya beri Aryan makan makanan berasaskan organic. Sayur, buah, biskut dan apa pun yang saya bagi pada dia semua yang organik termasuklah ayam. Tapi itulah siapa kita untuk menolak ketentuannya.
“Masa mula-mula disahkan doktor apa punca terjadinya Wilms Tumor ini doktor pun tak boleh nak pastikan dengan jelas. Ibaratnya Aryan insan terpilih untuk dapat penyakit ini,” katanya.
Berikut perkongsian ibu adik Aryan mengenai keadaan kesihatannya.
Apabila mempunyai anak kecil, pastinya akan ada situasi lampin anak bocor dan air kencing terkena tilam. Adakah cukup sekadar renjis air dan lap pada bahagian yang terkena najis tersebut? Jom ikuti perkongsian ini.
Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu kemusykilan. Bagaimana cara untuk membersihkan najis air kencing anak (najis mutawassitah) di atas tilam tebal dan berat serta susah untuk diangkat? Cukupkah sekadar direnjis air mutlak di atasnya atau perlu dibasuh pada bahagian terkena najis? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.
Pembahagian najis
Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).
Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. NajisMutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)
Cara membersihkan Najis Mutawassitah
Sebelum itu, kita mesti ketahui bahawa setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai cara membersihkan najis Mukhaffafah, kami telah membahaskannya secara panjang lebar di dalam artikel kami :
Irsyad al-Fatwa Siri ke-348 : Bayi Lelaki Yang Diberi Makan Ubat, Adakah Air Kencingnya Masih Mukhaffafah Dan Bagaimana Cara Membersihkannya?[1]
Manakala najis Mughallazah hendaklah dibersihkan dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan air yang bercampur tanah. Bagi mendapatkan perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :
Irsyad al-Fatwa Siri ke-176 : Jenis dan Kaedah Tanah Samak.[2]
Irsyad al-Fatwa Siri ke-221: Hukum Sertu Munggunakan Sabun Taharah.[3]
Mengenai najis Mutawassitah Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.
Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).
(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25 dan Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184)
Begitu juga, belum lagi dikira suci (masih najis), jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak 3 kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun baud an warna sekali atau hanya daripada segi rasa sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu :
Sekiranya hanya tinggal bau sahaja atau warna sahaja, hukumnya adalah dikira sebagai suci.
Sekiranya yang tinggal adalah bau dan warna atau hanya rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.
Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya.
(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
Sekiranya air kencing yang terdapat di atas tilam telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya, maka bagi mensucikannya cukup dengan hanya mengalirkan air padanya. Dan sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199)
Akan tetapi, jika air kencing tersebut meninggalkan ‘ain atau sifat-sifatnya, maka terlebih dahulu hendaklah dihilangkan ‘ain dan sifat-sifatnya.
Kami syorkan lap dan pindahkan air kencing yang bertakung di atas tilam semampu mungkin dengan menggunakan kain atau span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan) sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 181) Kemudian, barulah dialirkan air di atasnya.
Sekiranya air basuhan tersebut tidak dapat mengalir, hendaklah ia juga dipindahkan atau dikeringkan semampu mungkin, dengan menggunakan kain atau span atau seumpamanya. Sekiranya masih berbaki warna atau bau sahaja, tidak mengapa dan ia dikira telah suci.
Akan tetapi, sekiranya masih berbaki warna dan bau sekali atau semata-mata rasa sahaja, hendaklah ia dihilangkan semampu mungkin dengan menggunakan bahan bantuan seperti sabun atau seumpamanya atau dengan menggosoknya sekuat mungkin sehinggalah sifat-sifat yang berbaki tersebut hilang. Sekiranya masih lagi tidak dapat dihilangkan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan serta sah solat di atasnya.
Manakala apa-apa air yang mungkin terserap di dalam tilam semasa proses pembersihan adalah tidak mengapa. Basuhan di bahagian luar sahaja telah cukup. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa :
لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ
Maksudnya : “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.