12 Red Flag Tingkah Laku Anak Umur 3 Hingga 6 Tahun, Ibu Bapa Perlu Ambil Serius

Share

“Biasalah, budak tengah membesar.”  Itu antara ayat yang sering kita dengar bila anak mula tunjuk perangai  menangis, melawan, atau suka marah. Tapi sebenarnya, tak semua tingkah laku “nakal” itu normal. Ada yang menjadi red flag tingkah laku anak, atau tanda amaran awal bahawa anak mungkin mengalami masalah perkembangan, emosi atau tingkah laku yang perlu diberi perhatian segera.

Dalam dunia psikologi kanak-kanak, istilah “red flag” bermaksud amaran awal (warning sign) sesuatu yang menunjukkan anak mungkin menghadapi kesukaran untuk mengawal emosi, berinteraksi, atau menyesuaikan diri dengan dunia sekelilingnya.

Dan paling penting, usia 3 hingga 6 tahun adalah peringkat kritikal perkembangan otak dan emosi  masa terbaik untuk mengesan tanda-tanda awal sebelum ia menjadi lebih serius.

1. Tantrum Melampau (3–6 tahun)

Normal kalau anak menangis atau merajuk sesekali. Tapi kalau tantrum berlaku setiap hari, sampai anak tak boleh ditenangkan atau menjerit tanpa sebab jelas, itu bukan lagi ‘drama kecil’. Ia mungkin tanda emosi anak terlalu tegang atau mereka belum belajar cara mengawal diri.

2. Mudah Meletup & Tak Tahu Kawal Diri (4–6 tahun)

Bila kecewa, anak terus menjerit, menendang atau baling barang — dan tak tahu cara nak tenangkan diri walaupun dibantu. Ini menunjukkan kelemahan pada kemahiran “self-regulation”, satu asas penting dalam pembentukan emosi yang sihat.

3. Melawan & Enggan Dengar Arahan (3–5 tahun)

Degil biasa lain, tapi bila setiap arahan ditolak dan anak sengaja buat sebaliknya, ini mungkin tanda awal masalah tingkah laku atau gangguan perhatian (ADHD).

4. Suka Menyakiti Orang Lain (3–6 tahun)

Menggigit, menolak atau memukul rakan bukan sekadar nakal. Kalau dilakukan berulang dan anak nampak puas selepas menyakiti, itu red flag kepada masalah kawalan impuls atau emosi agresif.

5. Susah Terima Perubahan Rutin (4–6 tahun)

Contoh: bila disuruh berhenti main untuk mandi atau makan, terus menangis tak henti. Anak yang terlalu “rigid” pada jadual harian mungkin alami anxiety atau sensory processing issue.

6. Elak Rakan & Tak Pandai Bergaul (3–6 tahun)

Kalau anak lebih suka bermain sendiri, tak nak berkongsi atau langsung tak pandai memulakan perbualan, itu mungkin tanda anak lemah dalam kemahiran sosial — atau petanda awal spektrum autisme (NSPT4Kids, 2023).

7. Ketinggalan Dalam Kemahiran Asas (3–5 tahun)

Contohnya, belum boleh bercakap dalam ayat ringkas, tak pandai menconteng, atau sukar pegang pensel. Ini boleh jadi tanda speech delay atau gangguan perkembangan lain yang memerlukan penilaian pakar.

8. Masalah Tidur & Makan Berlarutan (3–6 tahun)

Anak yang selalu takut tidur, bangun malam, atau terlalu memilih makanan hingga menjejaskan berat badan boleh jadi mengalami tekanan emosi atau gangguan deria (sensory issue).

9. Terlalu Melekat atau Pemalu Melampau (3–5 tahun)

Sukar berpisah dengan ibu, menangis bila ke tadika, atau enggan berinteraksi langsung dengan orang lain  kalau berlarutan lebih tiga bulan, ini tanda separation anxiety yang perlu ditangani awal.

10. Kurang Bercakap atau Tak Mahu Berkomunikasi (3–6 tahun)

Jika anak jarang bertanya, tak menyebut nama sendiri, atau tak berinteraksi walaupun diajak berbual, itu red flag besar. Ia boleh petanda language disorder atau gangguan komunikasi sosial.

11. Kembali Ke Perangai Lama (4–6 tahun)

Dah tak pakai lampin, tiba-tiba terkencing semula. Dah boleh bercakap elok, tiba-tiba jadi pelat balik. Regresi ni sering berlaku bila anak mengalami trauma, stres, atau perubahan besar dalam hidup.

12. Bertindak Bahaya (3–6 tahun)

Melompat dari tempat tinggi, menolak kawan ke lantai, atau berlari ke jalan tanpa takut — tingkah laku yang membahayakan diri dan orang lain ni bukan fasa nakal, tapi sinyal anak hilang kawalan impuls.

Kenapa Red Flag Ini Kena Dikesan Awal?

Kajian menunjukkan intervensi awal sebelum umur 7 tahun boleh memulihkan tingkah laku dan kestabilan emosi anak. Pendekatan seperti Parent–Child Interaction Therapy (PCIT) dan Positive Parenting Program terbukti membantu anak belajar kawal diri dan berhubung dengan lebih baik.

Apa Ibu Bapa Patut Buat

  • Catat dan pantau bila perangai tu muncul – pagi, malam, atau waktu tertentu.
  • Bincang dengan cikgu atau pengasuh, sebab mereka kadang lebih awal perasan perubahan anak.
  • Rujuk pakar perkembangan kanak-kanak atau psikologi bila perlu.
  • Elak stigma. Anak bukan “nakal”, cuma perlukan cara bimbingan berbeza.

Usia 3 hingga 6 tahun ialah masa paling penting dalam pembentukan emosi dan personaliti anak. Kalau kita berjaya tangkap red flag tingkah laku anak dari awal, kita sebenarnya sedang selamatkan masa depan mereka.

Ingat, red flag bukan bermaksud anak bermasalah — tapi isyarat lembut dari anak yang sedang minta difahami, bukan dimarahi.

Published by
Nor Yusoff