
Ramai ibu bapa menganggap batuk, selesema atau demam anak sebagai perkara biasa yang akan sembuh sendiri. Namun sebenarnya, ada dua jangkitan virus yang kerap berlaku dan boleh menjadi serius jika tidak dikesan awal iaitu Virus Sinsitial Respiratori atau Respiratory Syncytial Virus (RSV) dan influenza.
Dr. Syed Abdul Khaliq, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi, berkongsi tentang topik RSV & Influenza: Ancaman Senyap Pada Si Kecil semasa Parenting A+ Forum pada 31 Januari 2026 di SACC Convention Centre, Shah Alam.
Ayuh, Kenali RSV Dulu!
RSV ialah virus yang menyerang saluran pernafasan, terutama bayi dan kanak-kanak kecil – dan boleh berlaku sepanjang tahun di Malaysia. Di peringkat global, 2 daripada 3 bayi akan dijangkiti RSV sebelum harijadi pertama mereka. Virus ini mudah tersebar melalui titisan pernafasan ketika batuk atau bersin, serta sentuhan pada permukaan yang tercemar. Walaupun nampak seperti selesema biasa, RSV boleh menyebabkan kesan serius terutama pada bayi berumur 1 tahun ke bawah.
RSV: Simptom Awal yang Perlu Diperhatikan
Pada peringkat awal, anak yang dijangkiti RSV mungkin hanya menunjukkan hidung berair, batuk ringan dan demam sederhana. Tetapi apabila virus mula menjejaskan saluran pernafasan, nafas anak boleh berbunyi (wheezing), menjadi laju, dan mereka kelihatan lesu. Bagi bayi, tanda seperti kurang menyusu atau berhenti bernafas seketika adalah isyarat penting yang memerlukan perhatian segera.
RSV: Rawatan dan Pemantauan
Tiada ubat khusus untuk membunuh virus RSV. Rawatan biasanya tertumpu kepada sokongan seperti memastikan anak cukup minum, mengawal demam dan memantau pernafasan dengan teliti. Dalam kes yang lebih serius, rawatan di hospital termasuk bantuan oksigen mungkin diperlukan.
RSV: Risiko Komplikasi
Jika tidak dirawat awal, RSV boleh menyebabkan bronkiolitis, radang paru-paru, dan dalam kes yang lebih serius, kegagalan pernafasan. Kanak-kanak yang pernah dijangkiti RSV juga berisiko mengalami masalah pernafasan berulang di masa akan datang.
RSV: Siapa yang Paling Berisiko
Semua bayi berisiko. Tiada cara untuk meramalkan bayi mana yang akan mengalami komplikasi akibat RSV, dan ia bukan sahaja menjejaskan bayi pramatang atau yang mempunyai masalah kesihatan lain.
“85% kes RSV yang teruk berlaku pada kanak-kanak sihat dan tanpa sebarang penyakit. RSV sukar diramal dan boleh menyebabkan komplikasi serius bagi semua bayi.
”Apa Pula Influenza?
Berbeza dengan RSV, influenza sering dianggap selesema biasa, tetapi simptomnya lebih kuat dan datang secara tiba-tiba. Influenza menyerang saluran pernafasan dan boleh berlaku kepada semua peringkat umur, tetapi kanak-kanak adalah antara yang paling mudah dijangkiti.
Influenza: Tanda-Tanda yang Perlu Ibu Bapa Tahu
Anak yang dijangkiti influenza biasanya mengalami demam tinggi, batuk, sakit tekak, hidung berair, sakit badan, sakit kepala dan keletihan yang ketara. Sesetengah kanak-kanak juga boleh muntah atau cirit-birit sehingga menjejaskan tenaga mereka.
Influenza: Rawatan yang Sesuai
Dalam kebanyakan kes, influenza boleh dirawat di rumah dengan rehat cukup, pengambilan cecair yang mencukupi dan ubat untuk mengawal demam. Doktor mungkin memberikan ubat antiviral jika jangkitan dikesan awal, terutama bagi anak yang berisiko mengalami komplikasi.
Influenza: Risiko Komplikasi dan Golongan Berisiko
Jika tidak dirawat dengan baik, influenza boleh menyebabkan radang paru-paru, jangkitan telinga, dehidrasi dan jarang sekali, keradangan otak dan juga boleh membawa maut. Kanak-kanak bawah lima tahun, wanita hamil, warga emas, serta mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti asma atau diabetes adalah golongan yang lebih mudah terjejas.
“Influenza ialah penyakit pernafasan yang mudah berjangkit. Virus influenza berada di Malaysia sepanjang tahun. Kanak-kanak bawah 5 tahun dan yang mempunyai penyakit lain berisiko lebih tinggi dimasukkan ke hospital serta mengalami komplikasi.”
Langkah Pencegahan yang Mudah Dilakukan
Amalan kebersihan seperti kerap mencuci tangan, mengajar anak menutup mulut ketika batuk atau bersin, serta mengelakkan mereka daripada berada di tempat sesak ketika musim jangkitan boleh membantu mengurangkan risiko RSV dan influenza. Pengambilan vaksin bagi influenza dan imunisasi bagi RSV (vaksinasi ibu hamil, atau imunisasi RSV dengan antibodi monoklonal bagi perlindungan bayi), juga penting untuk membina pertahanan awal dan mengurangkan risiko komplikasi.
Lebih baik mencegah daripada merawat. Ibu bapa perlu lebih peka dengan tahap kesihatan anak, memerhati sebarang perubahan kecil pada rutin atau tingkah laku mereka. Dengan langkah pencegahan yang konsisten dan pemantauan awal, kita dapat melindungi si kecil daripada ancaman senyap RSV dan influenza, dan dapat memastikan mereka membesar dengan lebih sihat dan selamat.
Lindungi bayi anda daripada RSV. Bincanglah dengan pakar pediatrik anda mengenai imunisasi dengan antibodi monoklonal. Layari TogetherAgainstRSV.my untuk maklumat lanjut.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai influenza pula, sila layari: www.actoflove.ifl.my/ms.
Artikel pendidikan kesihatan ini dibawakan oleh Sanofi Malaysia untuk mewujudkan kesedaran lanjut tentang RSV dan Influenza.