Kediaman pelakon sensasi Rozita Che Wan, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, telah didatangi pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada pagi ini.
Tindakan tersebut dipercayai diambil susulan kegagalan pelakon itu melunaskan hutang pinjaman dengan agensi berkenaan yang dianggarkan hampir mencecah RM1 juta.
Barangan milik pelakon Rozita Che Wan, dianggarkan bernilai hampir RM100,000, disita oleh pihak mahkamah hari ini.
Memetik laporan Kosmo, ketika serbuan dibuat pagi ini, hanya kelibat ibu pelakon tersebut sahaja yang ada mendiami rumah mewah di Kota Damansara. Manakala salah seorang anak pelakon itu tiba selepas satu jam pihak Mara memasuki rumah tersebut
Ads
Menurut peguam yang mewakili Majlis Amanah Rakyat (MARA), writ penyitaan telah diserahkan kepada ibu pelakon itu kerana Rozita tidak berada di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Hari ini kita serahkan writ, buat penilaian harga barang dan penyitaan. Ini kehadiran kali kedua ke rumah Rozita.
“Kami pernah hadir kali pertama bulan lalu tetapi tidak mendapat kerjasama. Jadi kali ini kami dapat perintah mahkamah untuk masuk.
Ads
“Nilai anggaran barang rumah tadi tidak sampai RM100,000, kebanyakan barangan peribadi,” katanya mewakili Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tambah wanita berkenaan, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya dari mahkamah untuk melakukan proses lelongan, dijangka dalam masa dua minggu lagi.
Ads
Katanya, apa-apa proses rundingan selepas ini perlulah melalui mahkamah.
Kedutaan Besar China di Kazakhstan mengeluarkan amaran berhubung jangkitan baharu “pneumonia tidak dikenali” yang dikatakan lebih berbahaya daripada COVID-19.
Ia selepas negara bekas republik Soviet itu melaporkan peningkatan kes pneumonia sejak Jun lepas, lapor SCMP.
“Angka kematian virus ini jauh lebih tinggi daripada koronavirus baharu.
“Jabatan kesihatan negara sedang melakukan kajian perbandingan mengenai virus pneumonia itu, namun masih belum dapat mengenal pasti virus tersebut,” kata kedutaan dalam peringatan kepada rakyatnya di negara itu.
Laman web kedutaan yang memetik laporan media tempatan menyebut wilayah Atyrau, Aktobe dan bandar Shymkent merekodkan peningkatan kes pneumonia yang ketara sejak pertengahan Jun.
Difahamkan, terdapat hampir 500 kes radang paru-paru di tiga lokasi tersebut dengan lebih 30 pesakit berada dalam keadaan kritikal.
Kazakhstan menyaksikan 1,772 kematian akibat radang paru-paru pada pertengahan pertama tahun ini di mana 628 kes berlaku pada bulan Jun, yang turut melibatkan beberapa warga China, kata kedutaan itu.
“Kedutaan besar China di Kazakhstan mengingatkan warga China di sini agar peka dengan situasi dan meningkatkan pencegahan untuk menurunkan risiko jangkitan,” tambah kedutaan itu lagi.
Berdasarkan laporan daripada agensi berita Kazinform, seramai 300 orang yang disahkan menghidap pneumonia dimasukkan ke hospital saban hari.
Menurut agensi itu lagi, sebanyak 1,700 kes pneumonia dikesan di seluruh negara pada Jun, peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.
Kazakhstan melaksanakan perintah darurat pada 16 Mac lepas untuk membendung penularan COVID-19 tetapi ditarik balik pada 11 Mei.
Begitupun, sekatan dan langkah kuarantin tetap dikenakan di beberapa kawasan susulan peningkatan kes pneumonia di negara itu.
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev sebelum ini mengatakan keadaan kekal serius dan masih terlalu awal untuk melonggarkan sekatan sepenuhnya.
Tambahnya, negara itu “sebenarnya menghadapi gelombang koronavirus kedua ditambah dengan peningkatan besar dalam kes pneumonia,” menurut agensi berita Rusia Tass.
“Saya selalu lihat video wanita memandu treler di TikTok dan ketika itu terfikir kalau mereka boleh, kenapa saya tidak boleh melakukan perkara sama,” kata Siti Hajar Mat Kasa ibu kepada dua cahaya mata.
Siti Hajar, 36, adalah pemandu treler yang menghantar barang hampir seluruh semenanjung Malaysia sejak enam bulan lalu.
Wanita itu juga selalu berkongsi videonya memandu kenderaan berat itu di TikTok dan mendapat perhatian warga aplikasi sosial itu.
Menerusi perkongsian Harian Metro, ibu kepada dua anak lelaki berusia empat dan tujuh tahun itu berkata, dia mendapat lesen E penuh Februari lalu, namun sudah belajar memandu kenderaan berat itu sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, semua itu dilakukan kerana minat dan mahu mencabar keupayaan diri selain mahu merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.
“Sebelum ini saya berniaga pencuci mulut yang dihasilkan dan dihantar sendiri selama lima tahun secara kecil-kecilan. Saya mencari kerja baharu yang ada penyata gaji kerana berhasrat membeli rumah sendiri.
“Itu yang mendorong saya memilih kerjaya pemandu lori. Saya mulanya ikut rakan untuk belajar cara memandu, turun dan naik bukit dan di selekoh. Lesen memandu lambat diperoleh sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Bawa pelbagai muatan seperti makanan dan kayu
Siti Hajar berkata, treler yang dipandunya ketika ini adalah yang ketiga yang mana dua kenderaan berat terdahulu adalah jenis kontena dan hanya menghantar barang dari pelabuhan ke sekitar Johor serta selatan ke utara sahaja.
Katanya, sekarang dia membawa pelbagai muatan barang seperti makanan dan kayu ke seluruh Semenanjung kecuali Terengganu.
“Ironinya kerjaya ini mencabar walaupun orang melihat kami berkerja secara santai tetapi kami perlu menahan mata untuk perjalanan yang jauh lebih 200 kilometer (km) sehari, tidur pun di tepi jalan atau di hentian rehat, makan pun kadang-kadang tak sempat.
“Pada mulanya memang agak sukar nak pandu kenderaan berat tetapi selepas kita tahu cara yang betul itu tidak menjadi masalah asalkan kita ada keyakinan serta keberanian,” kata anak jati Kampung Cahaya Baru, Masai.
Niat cari rezeki halal
Menurutnya, kenangan tidak dilupakan apabila pernah dimarah kerana mengambil masa lama untuk membuat pusingan U, dipertikaikan keupayaan memandu kenderaan berat, selain pernah dipuji kerana berani memandu treler.
“Ada juga yang terkejut kerana mereka ingatkan lelaki yang pandu dan saya juga kadang-kadang ada memakai baju kurung ketika ketika pulang menghantar barang sebab kurang sibuk dan tetap memakai seluar panjang di dalam kain.
“Sebelum ini, ibu bapa juga tak benarkan saya memandu treler, malah mereka minta saya cari kerja lain tetapi akhirnya bersetuju. Pada saya ini usaha saya mencari rezeki halal,” katanya.
Mengenai perkongsiannya di TikTok, Siti Hajar berkata, dia hanya mahu menyimpan kenangan dan bukan menunjukkan keupayaan memandu kenderaan berat itu.
“Sebenarnya sudah ramai kaum hawa memandu kenderaan berat dan ia bukan perkara baharu. Saya juga bukan mahu menunjuk boleh menjadi seperti lelaki sebaliknya hanya mencari rezeki halal,” katanya.
Salah satu pencapaian anak yang kita nanti-nantikan adalah apabila dia sudah mula menuturkan beberapa perkataan pertama. Biasanya kita tak sabar menunggu anak memanggil sama ada ibu atau ayahnya terlebih dahulu. Sebaik saja mendengar panggilan pertama itu, hati rasa bahagia dan berbunga-bunga.
Begitu jugalah situasi yang dihadapi oleh pasangan Youtube Ryzal Ibrahim dan Maryam. Di dalam sebuah video yang dikongsikan melalui laman Facebook duriankimchi, kelihatan mereka berdua sedang mengajar Rina perkataan Omma.
Biarpun beberapa kali diajarkan perkataan Omma, Rina tetap menyebut Appa yang merujuk kepada Ryzal. Yang lucunya, setiap kali Maryam meminta Rina menyebut Omma, ada saja yang dibuat untuk mengelak.
Tidak berputus asa, Maryam tetap mengajar Rina untuk memanggilnya. Setiap kali Maryam menyebut perkataan Omma, Rina tetap memanggil Appa. Sampai satu masa, dia menggelengkan kepala tidak mahu melayan permintaan Omma dan Appanya itu.
Berkali-kali Maryam mengajar anak perempuannya itu untuk menyebut Omma tanpa mengenal erti putus asa. Akhirnya selepas beberapa kali percubaan tanpa henti, Rina berjaya menyebut perkataan Omma.
Tengok video Rina sebut Omma;
Mendengarkan panggilan anaknya itu, Maryam sangat gembira. Teruja, dia berlari-lari sambil mendukung Rina keliling rumah. Ryzal yang merakam aksi dua beranak itu hanya tergelak melihat telatah isterinya.
Selepas itu, Maryam cuba meminta Rina untuk memanggilnya lagi. Mungkin sudah bosan, Rina hanya ajak ibunya itu bermain tetapi tiba-tiba menyebut perkataan Omma sekali lagi. Hal itu membuatkan Maryam terkedu sambil disorak oleh Ryzal.
Seronok tengok gelagat mereka bertiga ni. Memang sentiasa ceria dan membuatkan yang mengikuti perkembangan mereka juga gembira. Semoha hubungan Ryzal dan Maryam kekal bahagia selamanya dan Rina terus membesar dengan sihat serta menjadi anak yang cerdik. Good job Rina!
Ibu ayah yang masih belum melengkapkan perlindungan vaksin anak, ada berita baik untuk anda. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan pemberian Vaksin Measles Rubella (MR) sepanjang tahun 2026 sebagai usaha tambahan bagi melindungi kanak-kanak daripada jangkitan demam campak (measles) dan rubella.