
Saif Sulaiman, si hero kecil yang ceria dan ‘kaki bola’ benarlah kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah juga dengan si comel, Saif yang dilahirkan pada 30 September 2023 di Johor dengan berat 2.61 kg; mewarisi kehebatan ayahnya yang gemar bermain bola sepak. Inilah anak kesayangan pasangan selebriti Syifa Melvin dan pemain bola sepak negara, Safawi Rasid.
Melangkah masuk ke kediaman pasangan ini, suasana terasa hangat dengan tawa kecil si lincah Saif. Anak kecil berusia dua tahun itu tampak selesa meneroka persekitaran di rumahnya. Wajahnya bulat, senyumannya manis sekali pandang, semua mata di set shooting terpukau. Comel!
“Jujurnya saya sendiri nervous nak shooting hari ni,” kongsi Syifa sambil tersenyum manis melihat keletah anak kesayangannya yang sedang bermain di ruang tamu.
“Sebab anak ni kan dia ada mood dia sendiri. Kadang nak menyusu dulu, kadang nak main. Tapi bila dia dah ‘masuk mood’, barulah dia bagi kerjasama.”
Ternyata, hari itu rezeki Pa&Ma. Sepanjang sesi, Saif Sulaiman menunjukkan sisi manja dan cerianya seolah-olah faham yang hari ini dia jadi ‘hero utama’ di depan kamera.
Menurut Syifa, anak sulungnya itu membesar sebagai anak yang mudah dijaga. Turut disokong oleh suaminya, Safawi Rasid yang mengakui sama. Namun katanya, lumrah ketika awal kelahiran Saif, memang dibuatnya tidak cukup tidur.
“Dia jenis easy baby. Tapi biasalah, awal-awal tu saya juga ada rasa tak cukup tidur sebab dia suka bangun malam,” cerita Safawi sambil tersenyum mengimbau.
Kini, Saif makin aktif dan cepat belajar. “Dari kecil kami dah ajar dia berdikari macam masuk bilik sendiri, nak ke toilet pun cuba buat sendiri. Sebab tu saya rasa seronok bila tengok perkembangan dia hari demi hari,” tambah Safawi.
Syifa sempat berseloroh,
“Mungkin sebab Saif Sulaiman ni anak yang senang jaga, jadi tu nak tambah adik cepat!”
Apabila ditanya mengenai makanan kegemaran Saif, Syifa memberitahu anak sulungnya itu mengikut selera suaminya, Safawi yang berasal dari Terengganu.
“Kalau bab makan, memang ikut ayahnya. Lauk wajib mesti ada ikan. Saif Sulaiman pernah dibesarkan di Terengganu selama setahun. Kat sana memang terkenal dengan hidangan berasaskan ikan boleh kata setiap hari makan ikan!”
“Sampai sekarang, kalau nampak keropok lekor, terus tak boleh tahan. Dia lebih suka ikan dan daging, tapi kalau ayam memang kurang sikit selera. Dan satu lagi dia suka makan belah ekor ikan, bukan bahagian kepala,” ujar Syifa.
Berbicara mengenai alahan pula, masa Saif umur 6 hingga 7 bulan, menurut Syifa, anaknya pernah alami alahan ekzema yang agak teruk merah sampai ke dada.
“Proses nak pulih tu lama, sampai tinggal parut yang nampak macam ‘peta’ kecil di badannya. Lepas tu kami lebih berhati-hati bab makanan. Kami elak bagi ayam, dan lebihkan ikan dalam menu dia. Alhamdulillah,” ujar Syifa.
Dah macam ayahnya, Saif memang budak bola. “Kalau nampak bola, tak kira besar kecil, dia mesti ambil.
“Banyak koleksi bola di rumah. Kadang, Saif suka juga main masak-masak dengan sepupunya,” ujar Syifa sambil ketawa bercerita tentang permainan kegemaran anaknya itu.
Apabila ditanya mengenai minat anaknya suka bermain bola, Safawi tidak meletakkan syarat untuk anaknya terlibat dalam dunia bola sepak sebaliknya memberi kebebasan untuk anaknya memilih bidang apa yang diminati nanti.
Selain mainan, Saif Sulaiman juga dah mula suka buku. “Saya nampak dia cepat tangkap bila kita ajar benda baru. Dia fast learner, dengar cakap, dan yang paling best senang tidur. Asal ada bantal busuk dia, terus lena,” ujar Safawi.
Syifa mengaku, pengalaman bersalin Saif dulu meninggalkan banyak pengajaran. “Waktu tu saya baru 36 minggu lebih. Ingatkan belum sampai masa, tapi tiba-tiba doktor kata dah kena masuk labour room. Suami saya pula terkejut sampai menggigil! Akhirnya, saya bersalin secara emergency caesarean,” katanya ketawa kecil.
Namun selepas itu, Syifa berdepan pula dengan postpartum depression. “Suami masa tu kena pergi main bola wakil Malaysia. Saya di Johor, berpantang di rumah kakak di Shah Alam. Memang waktu tu saya ‘breakdown’ tapi lama-lama saya belajar. Saya rasa bukan saya seorang melalui situasi ini, rasanya ramai ibu lain pun pernah lalui,”
ujarnya berterus terang.Setahun lebih selepas kelahiran Saif, Syifa kini kembali hamil lagi. “Alhamdulillah, saya dah masuk trimester ketiga. Baby kali ni perempuan. Debarnya lain. Walaupun dah ada pengalaman, saya tetap rasa excited dan sedikit nervous. Kena belajar kawal emosi Saif Sulaiman juga sebab dia bakal jadi abang.” Begitu juga dengan Safawi, tidak menafikan perkara yang sama akan berlaku adil dalam membesarkan anaknya.
Mereka mungkin datang dari dunia berbeza—Syifa dengan dunia seni dan kecantikan, Safawi dengan dunia bola sepak—tapi keduanya bertemu pada nilai yang sama: keluarga.
“Safawi seorang yang sangat bertanggungjawab dan baik hati. Sejak sebelum kami berkahwin lagi, dia memang tak pernah berkira sama ada dengan keluarganya mahupun dengan keluarga saya. Tiga tahun kami lalui macam-macam, ada waktu susah, ada masa terpisah tapi akhirnya, jodoh juga yang menyatukan kami semula. Saya doakan hubungan ini kekal sampai bila-bila,” ujar Syifa tentang suami tercinta.
Manakala Safawi memuji Syifa sebagai isteri dan ibu yang sangat rajin, penyayang dan bertanggungjawab.
“Kami mula kenal di Instagram. Dari situ, saya perasan dia lain daripada orang lain—berdikari, banyak buat kerja sendiri dan nampak matang. Mungkin sebab itu saya tertarik, sebab dia pun ada sifat yang sama macam saya.”
“Bila pertama kali jumpa, dia terkejut sebenarnya. Dia ingat saya jenis perempuan yang pakai beg mahal-mahal, tapi lepas kenal barulah dia tahu saya ni simple je orangnya,” cerita Syifa sambil ketawa kecil.
Katanya lagi, “Walaupun muka dia nampak garang, sebenarnya hati dia lembut. Sebagai isteri dan ibu, saya nak terus jaga dia dan anak-anak saya sebaik mungkin. Kami saling menyokong antara satu sama lain. Harapnya kasih ni kekal sampai bila-bila.”
“Kalau boleh, saya nak anak-anak membesar dalam suasana yang penuh kasih sayang. Saya nak mereka ada empati, tahu menghormati orang lain dan jadi insan yang memberi manfaat,” kata Syifa dalam nada lembut di hujung sesi.
Katanya lagi, setiap anak datang dengan rezeki sendiri. “Kita cuma pinjam sementara. Tugas kita sebagai ibu bapa ialah beri kasih, doa dan bimbingan.”
Dan hari itu, sewaktu kamera merakam senyuman kecil Saif Sulaiman di pangkuan ibu dan ayahnya yang melihat tahu, wajah kecil itulah yang jadi lambang cinta dua hati, yang kini bersedia menyambut anugerah baru tak lama lagi.